Amalan Menabung Mampu Biayai Pendidikan Tinggi - Prof. Madya Dr. Mohd Izani Mohd Zain | CORPORATE STRATEGY AND COMMUNICATIONS OFFICE
» ADVOKASI PUTRA » Kemanusiaan, Pendidikan, Politik, Ekonomi & Tadbir Urus » Amalan Menabung Mampu Biayai Pendidikan Tinggi - Prof. Madya Dr. Mohd Izani Mohd Zain

Amalan Menabung Mampu Biayai Pendidikan Tinggi - Prof. Madya Dr. Mohd Izani Mohd Zain

Pendidikan adalah pelaburan jangka panjang negara bagi menentukan masa depan yang lebih baik dan gemilang. Justeru, berbelanja untuk pendidikan tidak boleh dianggap sebagai satu perbelanjaan yang ‘hangus’, tetapi pelaburan yang akan menguntungkan negara. Malaysia adalah antara negara yang membuat pelaburan besar untuk sektor pendidikan. Melalui Bajet 2016 yang lalu, kerajaan telah memperuntukkan sejumlah 50 bilion ringgit untuk sektor pendidikan. Daripada jumlah itu, 13 bilion ringgit diperuntukkan kepada sektor pendidikan tinggi negara.

Kita berharap Bajet 2017 yang bakal dibentangkan oleh YAB. Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak pada 21 Oktober nanti, akan dapat mengekal dan seboleh-bolehnya meningkatkan peruntukan untuk sektor pendidikan khususnya sektor pendidikan tinggi negara. Hal ini kerana untuk menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi, bajet untuk pendidikan amat kritikal kerana ia dapat mengupayakan usaha bagi memupuk bakat dan modal insan untuk keperluan pembangunan, kemajuan dan transformasi negara.

Memperuntukkan bajet untuk satu-satu perkara penting seperti pendidikan bererti kita perlu membiayai dengan menyediakan sejumlah wang yang mencukupi. Tidak dinafikan, isu pembiayaan pendidikan tinggi terutamanya semakin mendapat perhatian dalam kalangan masyarakat kita. Hal ini kerana pendemokrasian pendidikan negara semakin rancak dan akses ke pendidikan tinggi semakin meluas selain kemunculan beberapa Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) baharu yang menawarkan pelbagai bidang kursus serta pengajian.

Persoalannya, siapakah yang wajar membiayai pendidikan tinggi rakyat? Apakah tanggungjawab ini menjadi tanggungjawab mutlak kerajaan semata-mata atau ia menjadi tanggungjawab bersama semua pihak, sama ada ibu bapa, masyarakat, IPT dan kerajaan? Tidak dinafikan, soal pendidikan adalah tanggungjawab asas kepada sesebuah kerajaan. Menyediakan sistem pendidikan yang berkualiti tinggi untuk rakyat adalah peranan utama kerajaan selain aspek pertahanan, keselamatan dan kesihatan.

Bagaimanapun, ia tidak bermakna, peranan entiti lain perlu diabaikan, kerana tanggungjawab membiayai pendidikan tinggi mesti digalas oleh semua pihak dan bukanlah menjadi tanggungjawab kerajaan semata-mata. Dalam hal ini, ibu bapa khususnya perlu merancang pembiayaan pendidikan anak-anak mereka lebih awal agar tidak menjadi masalah besar pada kemudian hari.

Ubah paradigma meminjam kepada menyimpan

Untuk menentukan pembiayaan pendidikan tinggi dapat dijayakan dengan baik, kita harus mengubah paradigma daripada meminjam kepada menyimpan. Kita perlu membuang pemikiran bahawa berhutang adalah satu-satunya pilihan yang ada untuk belajar. Peningkatan kos pendidikan dan biasiswa yang terhad tidak boleh dijadikan alasan untuk berhutang sekiranya kita mempunyai pilihan untuk menyimpan wang atau menabung sejak dari awal.

Dalam hal ini, kita harus memuji tindakan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang telah memperkenalkan Skim Simpanan Pendidikan Nasional atau SSPN sejak 2004 bagi menggalakkan rakyat Malaysia yang bergelar ibubapa menyimpan untuk tabung pendidikan anak-anak mereka. Ia membantu mereka menyelesaikan masalah dan kesulitan kewangan apabila anak-anak melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi.

Pada 2015 pula, SSPN i Plus telah dilancarkan bagi menggabungkan keistimewaan SSPN-I dengan kelebihan perlindungan takaful yang komprehensif. Ia dapat membantu meringankan beban waris apabila pendeposit meninggal dunia atau mengalami musibah yang tidak diduga. Ini termasuk pampasan kematian dan hilang upaya kekal, 36 penyakit kritikal, elaun harian hospital dan pelepasan cukai.

Pengenalan SSPN dan SSPN i Plus ini perlu dimanfaatkan sebaik mungkin oleh ibu bapa agar menyimpan untuk tabung pendidikan anak-anak mereka. Malah, mereka boleh membuka akaun SSPN seawal sehari umur anak. Ini bermakna, ibu bapa tidak semestinya menunggu anak mereka memasuki alam persekolahan untuk mula menabung kerana tabung pendidikan anak-anak boleh dibuka seawal sehari usia mereka.

Mengubah paradigma daripada meminjam kepada menyimpan perlu dipasakkan dalam pemikiran ibu bapa. Mereka tidak boleh lagi berharap cara berhutang sebagai satu-satunya jalan untuk anak-anak menyambung pengajian. Jauh sekali meminta pendidikan tinggi sebagai satu perkara yang percuma. Melalui tabungan dan simpanan yang mencukupi, anak-anak boleh belajar dengan sempurna tanpa beban hutang yang menyesakkan. Apabila mereka tamat pengajian dan mula mencari pekerjaan, mereka tidak lagi dibebani dengan keperluan membayar hutang.

Kita percaya, dengan kesedaran yang tinggi dalam kalangan ibu bapa khususnya, budaya berhutang boleh diubah kepada budaya menyimpan. Memang benar, tanggungjawab menyediakan pendidikan adalah tanggungjawab asas kerajaan. Namun perlu diingatkan, ibu bapa juga mendapat nikmat dan menerima hasil sekiranya anak-anak mereka berjaya dalam pengajian. Justeru, pembiayaan pendidikan anak-anak perlu dikongsi bersama oleh ibu bapa secara bijaksana.

Kita mesti menerima hakikat bahawa kos pendidikan tinggi semakin meningkat atas faktor ekonomi dunia yang tidak menentu. Menyediakan payung sebelum hujan adalah penting sebelum kita ‘basah’ dan akhirnya demam dan perlu membeli ubat untuk mengubati demam tersebut. Lebih-lebih lagi, dalam soal pendidikan anak-anak, kita tidak boleh mengambil mudah dan ringan. Berhutang mungkin boleh menjadi pilihan akhir jika tabungan tidak mencukupi tetapi ia bukanlah menjadi pilihan utama atau satu-satunya pilihan untuk kita.

Artikel ini telah diterbitkan oleh akhbar Berita Harian pada 13 Oktober 2016

Prof. Madya Dr. Mohd Izani Mohd Zain
Pensyarah
Fakulti Ekologi Manusia

Updated:: 02/05/2017

MEDIA SHARING

SEE ALSO
CORPORATE STRATEGY AND COMMUNICATIONS OFFICE
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 8946.6003
03 8943.1296
C1506053800