Generasi Ulul Albab Bukti Kecemerlangan - Prof. Dr. Zainal Abidin Talib | CORPORATE STRATEGY AND COMMUNICATIONS OFFICE
» ADVOKASI PUTRA » Kemanusiaan, Pendidikan, Politik, Ekonomi & Tadbir Urus » Generasi Ulul Albab Bukti Kecemerlangan - Prof. Dr. Zainal Abidin Talib

Generasi Ulul Albab Bukti Kecemerlangan - Prof. Dr. Zainal Abidin Talib

Pendidikan dilihat sebagai salah satu agenda utama untuk memastikan pembangunan negara dapat dilaksanakan dengan lebih pesat dan efisyen. Menerusi dasar pendidikan 60:40 (Sains/Teknikal:Sastera) yang termaktub dalam sistem pendidikan negara sejak tahun 1976, ia jelas menunjukkan, kerajaan amat menekankan pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM) di peringkat sekolah, mahupun di peringkat pengajian tinggi.

Program Ulul Albab merupakan program yang menggabung jalin mata pelajaran sains tulen, Al-Quran dan As-Sunnah dalam reka bentuk kurikulumnya. Program ini disifatkan sebagai pemangkin penjanaan sumber tenaga professional yang menguasai sumber ilmu aqli (akal fikiran) dan naqli (wahyu), serta menguasai bidang pengajian STEM.

Pada asasnya, program ini direka bentuk untuk menghasilkan pelajar yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, terutamanya dalam bidang STEM, malah mempamerkan atribut individu yang membawa nilai berasaskan Al-Quran dan As-Sunnah.

Antara objektif utama program Ulul Albab adalah melahirkan individu yang mempunyai akhlak terpuji sebagai asas utama pembangunan modal insan yang holistik. Program ini memfokuskan kepada tiga komponen utama, iaitu ensaiklopedik, ijtihadik dan Quranik. Modul Quranik memberi penekanan hafazan dan Bahasa Arab. Modul ensaiklopedik pula fokus kepada aspek multidisiplin dan multilingual, sementara modul ijtihadik melatih pelajar untuk pemikiran aras tinggi. Untuk menyokong elemen ijtihadik, pelajar juga digalakkan mengikuti program ko-kurikulum seperti menunggang kuda, memanah dan berenang.

Menyepadukan konsep Ulul Albab dengan kurikulum kebangsaan, menyebabkan pelajar dibebani lambakan tugasan pada setiap hari persekolahan. Ini mungkin akan menyebabkan pelajar aliran ini merasa tertekan dengan suasana pembelajaran dan pengajaran. Sering kali ini menyebabkan fokus pelajar tersasar dan disiplin menyusut.

Bagaimanapun, kajian mendapati wujud korelasi tinggi antara sahsiah pelajar dengan hafazan Al-Quran. Pelajar menunjukkan akhlak dan sahsiah  positif dan berfikiran terbuka dan ke hadapan. Peruntukan masa yang diberikan oleh pelajar untuk hafazan tidak menjejaskan prestasi akademik kerana secara amnya pelajar yang menunjukkan pencapaian cemerlang dalam hafazan Al-Quran juga cemerlang dalam akademik. Gabungan ketiga-tiga elemen yang menjadi asas program Ulul Albab telah berjaya mencabar minda pelajar yang menggalakan mereka menerokai ilmu sains melangkaui kurikulum kebangsaan.

Kejayaan ini boleh didasarkan kepada sistem pendidikan berasaskan pedagogi yang berkonsepkan Ar-Rahman dan Ar-Rahim yang mana elemen kasih sayang yang diterapkan di dalamnya. Pengajaran dan pembelajaran yang berasaskan kasih sayang adalah asas dalam memupuk akhlak yang baik. Ini sangat kritikal kerana objektif utama program Ulul Albab ini ialah melahirkan pelajar berpengetahuan tinggi dengan nilai moral tinggi, setia, mulia, bertanggungjawab dan komited kepada agama, bangsa dan negara.

Dalam sistem sebegini, pentadbir sekolah, guru dan ibu bapa memainkan peranan sangat penting. Mereka sendiri mesti menghayati pendekatan program ini ketika melaksanakannya dan juga perlu memahami hak pelajar. Hubungan dan interaksi guru dan pelajar mesti sentiasa positif dan maklum balas negatif perlu dielakkan. Ini boleh direalisasi melalui program mentor-mentee atau Homeroom seperti diamalkan Maktab Sains Rendah MARA.

Kurikulum berkesan perlu direka untuk memenuhi piawai sekolah, pelajar, guru dan jangkaan masyarakat. Kurikulum yang diguna pakai untuk kebanyakan program Ulul Albab hanya memperuntukkan elemen Quranik secara berasing kepada sistem pendidikan sedia ada. Reka bentuk kurikulum sedia ada perlu dibuat semakan dan diperkemas dengan mengintegrasikan elemen Quranik dalam mata pelajaran akademik secara jelas dan sistematik.

Pihak yang terbabit dalam program Ulul Albab juga perlu mempertimbangkan jumlah mata pelajaran akademik pelajar dan memansuhkan mata pelajaran tertentu jika difikirkan bertindan. Kejayaan setiap program pendidikan bergantung kepada kaedah pelaksanaan, hala tuju, dan kesinambungan program itu. Justeru, wajarlah program Ulul Albab ini perlu ada kesinambungan di peringkat pengajian tinggi agar generasi Ulul Albab tidak berakhir pada peringkat sekolah menengah sahaja.

Model pendidikan Ulul Albab bertepatan hasrat kerajaan menjadikan Malaysia contoh kepada negara Islam lain di peringkat global, melalui pengembelingan tenaga ke arah menjadi pusat kecemerlangan pendidikan bertaraf antarabangsa.

Selari dengan hasrat kerajaan, dalam konteks hafazan, Darul Quran di Kuala Kubu Baru, Selangor, telah mengambil inisiatif memformulasi program persijilan hafazan, dengan kerjasama tiga universiti tempatan. Kesinambungan program Ulul Albab akan dapat memastikan kegusaran pelajar sekolah menengah mengenai hala tuju program ini, terjawab. Sistem pendidikan tinggi yang diterap dengan program Ulul Albab ini dapat melahirkan ahli professional, teknokrat, usahawan yang mempunyai kemahiran dalam bidang keagamaan berlandaskan Al-Quran dan As-Sunnah sebagai generasi Ulul Albab seperti yang tercatat dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025).

Satu piawai atau garis panduan perlu diwujudkan bagi pelaksanaan program itu pada peringkat sekolah dan universiti yang mampu mengekalkan kemandirian program berkenaan pada peringkat sekolah mahupun universiti.  

Artikel ini telah diterbitkan oleh akhbar Berita Harian pada 19 September 2016

Prof. Dr. Zainal Abidin Talib
Dekan
Fakulti Sains

Updated:: 02/05/2017

MEDIA SHARING

SEE ALSO
CORPORATE STRATEGY AND COMMUNICATIONS OFFICE
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 8946.6003
03 8943.1296
C1505963231