Gerakan Tukar MB Johor Memudaratkan - Prof. Madya Dr. Mohd Izani Mohd Zain | CORPORATE STRATEGY AND COMMUNICATIONS OFFICE
» ADVOKASI PUTRA » Kemanusiaan, Pendidikan, Politik, Ekonomi & Tadbir Urus » Gerakan Tukar MB Johor Memudaratkan - Prof. Madya Dr. Mohd Izani Mohd Zain

Gerakan Tukar MB Johor Memudaratkan - Prof. Madya Dr. Mohd Izani Mohd Zain

Baru-baru ini, kita telah dikejutkan dengan dakwaan wujudnya satu gerakan untuk menukar Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. UMNO Johor menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut sebagai malah Khaled sendiri mengakui tidak tahu ada gerakan untuk menjatuhkannya. Sebaliknya, Khaled akan tetap memberi fokus kepada tugasnya sebagai Menteri Besar.

Semalam Khaled memberi kenyataan bahawa beliau sendiri tidak tahu sejauh manakah kebenaran dakwaan untuk menggugurkannya. Sehingga hari ini, Khaled mendapat sokongan padu daripada pelbagai pihak termasuk kumpulan anak muda. Terbaharu, Presiden Mahasiswa Anak Johor, Mohd Syahrul Nizam Mohd Ariff menyatakan pemimpin mahasiswa Johor akan terus bersatu, menyokong dan sentiasa mempercayai kepimpinan Menteri Besar Johor. Sokongan ini amat signifikan kerana UMNO sememangnya memerlukan kepercayaan dan dukungan anak muda.

Usaha menukar Menteri Besar Johor tidak akan memberi banyak manfaat kepada UMNO kerana apa yang sewajarnya menjadi keutamaan kepada UMNO ialah memperkukuh kekuatan parti dan mendengar suara akar umbi. Pertembungan elit politik dalam UMNO tidak sepatutnya mengheret parti itu menimbulkan lebih banyak isu yang akhirnya boleh memecah belahkan  dan melemahkan parti.

UMNO Johor adalah benteng kekuatan UMNO dan itu perlu dipertahankan. Manakala Khaled adalah aset UMNO. Beliau adalah antara pemimpin UMNO yang rasional serta prihatin dengan lantang bercakap soal masa depan UMNO dan mengakui perlunya parti itu bijak merancang arus perubahan politik. Pada tahun lalu, beliau telah melancarkan badan pemikir, iaitu Bait Al Amanah yang dimiliki sepenuhnya oleh UMNO Johor sebagai sumber rujukan UMNO Johor meneroka dasar-dasar baharu, merekayasa dasar sedia ada dan menyusun strategik lebih berkesan dalam perjuangan UMNO.

Penubuhan Bait Al Amanah ini satu langkah strategik dalam usaha menarik penyertaan kumpulan profesional dan anak muda untuk mendekati sekaligus menyertai UMNO. Hal ini jelas membuktikan Khaled mempunyai visi dan misi untuk memperkukuh kedudukan UMNO dan bukan sebaliknya.

Kematangan politik Khaled

Setelah tiga tahun dilantik sebagai Menteri Besar Johor, Dato’ Khaled Nordin telah menunjukkan komitmen yang tinggi untuk membangunkan Johor sebagai negeri contoh yang mempunyai pelan pembangunan tersendiri. Ini boleh dilihat melalui gagasan Muafakat Johor, Johor Berkemajuan dan agenda pembangunan inklusif dalam memastikan pembangunan Johor benar-benar dirasai oleh rakyat.

Pengalaman Khaled yang pernah memegang jawatan sebagai Menteri Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi dan Menteri Pengajian Tinggi sebelum ini adalah kekuatan beliau menerajui Johor. Pengalaman beliau dalam konteks keusahawanan dan pengajian tinggi sebelum ini menjadi asas dan kekuatan untuk memimpin negeri selatan tanah air itu.

Kekuatan UMNO tidak harus dipandang dalam soal politik dan kuasa semata-mata. Akan tetapi, melihat kepada peranan dan sumbangan kepada kesejahteraan rakyat. Bukankah kekuatan UMNO selama ini adalah baktinya kepada rakyat. Khaled adalah seorang ahli politik yang sentiasa mendahului rakyat dengan pelbagai dasar dan perancangan yang baik untuk rakyat Johor.

Selain itu, Khaled sentiasa memastikan hubungan yang baik antara Johor dan Kerajaan Persekutuan walaupun harus diakui terdapat cabaran dan pengaruh seperti kewujudan tokoh politik daripada Johor, iaitu mantan Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Kerajaan Johor di bawah kepimpinan Khaled khususnya sentiasa memberi platform kepada Kerajaan Pusat terutama YAB. Perdana Menteri untuk memastikan sokongan terhadap UMNO dan Perdana Menteri sentiasa baik dan boleh diperkukuhkan. Kehadiran PM ke Majlis Projek Pembangunan Forest City pada Mac yang lalu membuktikan Johor sentiasa bekerjasama dengan Kerajaan Pusat dan Perdana Menteri sendiri.

Memimpin sebuah negeri yang bejiran dengan sebuah negara maju bukan satu perkara yang mudah. Persaingan dan pembangunan ekonomi menjadi taruhan utama. Kesempatan ini telah diambil oleh Khaled bukan sahaja untuk membangunkan Johor semata-mata tetapi memastikan pembangunan Johor menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia melalui Pelan Pertumbuhan Strategik Johor yang dilancarkan oleh Perdana Menteri bulan lalu.

Sejak khabar angin untuk menggantikan Menteri Besar tersebar, Khaled tidak melatah. Ketenangan beliau menangani isu ini adalah kualiti perwatakan yang sewajarnya perlu ada pada pemimpin politik yang lain. Pengalaman politik yang diraih oleh Khaled selama ini telah menjadikan beliau seorang pemimpin politik yang matang. Malah, isu pengguguran Menteri Besar ini telah meningkatkan populariti Khaled sebagai seorang pemimpin yang dekat di hati rakyat.

Khaled juga seorang pemimpin politik yang setia. Walaupun ada cubaan untuk mengaitkan beliau dengan pemimpin dan individu yang tidak sehaluan dengan kepimpinan Perdana Menteri, beliau tidak mahu membuang masa untuk bertelagah tetapi mengutamakan kerja dan tangggungjawabnya kepada rakyat.

Apa yang jelas, usaha menukar atau menggulingkan Menteri Besar Johor adalah tidak relevan dan membawa lebih banyak keburukan kepada UMNO dan rakyat. UMNO mesti mengekalkan pemimpin yang kurang politiking tetapi mempunyai pemikiran dan idea yang strategik untuk membangunkan negara. Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa Khaled adalah khazanah dan masa depan UMNO.

Akhir sekali, sebarang usaha menukar Menteri Besar memerlukan restu dan persetujuan pihak istana. Hubungan yang baik antara Khaled dan Sultan Johor tidak memungkinkan pertukaran Menteri Besar boleh menjadi kenyataan. Wallahu a’lam.

Artikel ini telah diterbitkan oleh akhbar Berita Harian pada 10 April 2016

 

Prof. Madya Dr. Mohd Izani Mohd Zain
Pensyarah
Fakulti Ekologi Manusia

Updated:: 02/05/2017

MEDIA SHARING

SEE ALSO
CORPORATE STRATEGY AND COMMUNICATIONS OFFICE
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 8946.6003
03 8946.8972
C1511264453