Gilap Potensi Belia Ransang Pembangunan Negara - Prof Madya Dr. Rusmawati Said | CORPORATE STRATEGY AND COMMUNICATIONS OFFICE
» ADVOKASI PUTRA » Kemanusiaan, Pendidikan, Politik, Ekonomi & Tadbir Urus » Gilap Potensi Belia Ransang Pembangunan Negara - Prof Madya Dr. Rusmawati Said

Gilap Potensi Belia Ransang Pembangunan Negara - Prof Madya Dr. Rusmawati Said

Belia adalah aset penting yang menjadi penggerak serta pemacu kepada kemajuan dan pembangunan negara. Segala potensi dan bakat yang ada pada belia, perlu dibangunkan dari segi kepemimpinan, menyumbang idea dan penghasilan reka cipta serta inovasi dalam bidang diceburi.

Merujuk kepada seminar Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES) 2016 dirasmikan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin pada 9 Ogos lalu, peranan belia dalam sesebuah negara perlu dititikberatkan dalam mencapai status negara maju dan berpendapatan tinggi.

Antara elemen penting dalam membawa Malaysia kepada kedudukan negara maju berpendapatan tinggi ialah membangunkan modal insan melalui pembangunan kemahiran belia. Rancangan Malaysia Ke-11(RMKe-11) bertemakan “Pertumbuhan Berpaksikan Rakyat” berlandaskan prinsip inklusif meletakkan rakyat sebagai paksi dan keutamaan dalam semua pembangunan negara.

Enam teras strategik digariskan termasuk pembangunan modal insan melalui pembangunan kemahiran belia. Sebanyak 60 peratus daripada 1.5 juta pekerjaan akan diwujudkan, dijangka memerlukan kelayakan Pendidikan Teknikal, Vokasional dan Latihan (TVET).

Pelajar dimaklumkan dengan jelas peluang ditawarkan TVET dan menjadikan TVET sebagai aliran pendidikan yang menarik. Bagi memenuhi keperluan ini, negara perlu meningkatkan pengambilan pelajar setiap tahun secara berperingkat daripada 164,000 pada 2013 kepada 225,000 pada 2020.

Cabaran bukan hanya mencapai sasaran pengambilan, malah maklum balas daripada pihak industri mendapati wujud jurang antara pengetahuan, kemahiran dan sikap graduan berbanding keperluan di tempat kerja. Pembangunan belia menghadapi banyak cabaran dan halangan dalam memastikan pendekatan aset belia positif berjaya diterapkan.

Kita harus melihat realiti yang berlaku kepada golongan belia pada hari ini. Memetik kajian dijalankan IYRES dengan kerjasama Universiti Putra Malaysia (UPM), masih ada golongan belia dalam kategori NEET (Not in Employment, Education and Training).

Masalah pengangguran dalam kalangan belia juga amat meruncing. Dianggarkan 3.5 peratus kadar pengangguran bagi kumpulan umur 25 hingga 29 tahun, manakala kadar pengangguran kebangsaan ialah 3.1 peratus.

Oleh itu, langkah drastik harus dilakukan kerajaan termasuk mempertingkatkan keupayaan dan pencapaian belia dalam bidang kemahiran supaya impak pengisiannya dapat memberi kesan lebih positif terhadap ekonomi belia dan kestabilan politik serta sosial negara.

Secara keseluruhan, program diusahakan kerajaan dilihat membuka ruang kepada belia yang menganggur untuk mendapatkan kerja, misalnya melalui Program Skim Latihan 1Malaysia (SL1M). Dengan memperkasakan SL1M, golongan yang tercicir boleh menjadi sumber tenaga kerja yang besar untuk menyumbang tenaga kepada negara.

Jika diberi latihan dan dilengkapkan kemahiran yang tepat, mereka akan meningkatkan dengan ketara bilangan pekerja mahir selain menaikkan elaun bulanan sepanjang tempoh latihan.

Selain itu, hubungan antara institusi pengajian tinggi dan industri juga perlu diperluaskan. Maklumat daripada industri mengenai turun naik pasaran buruh, amat diperlukan untuk membantu pihak institusi pengajian tinggi memperkukuhkan aktiviti pengajaran, pembelajaran, penyelidikan dan pembangunan institusi.

Pembangunan belia harus mendapat kerjasama pelbagai kementerian dan agensi. Usaha yang sangat baik oleh IYRES harus dicontohi oleh agensi lain bagi memastikan belia masa kini, tidak terabai.

Prof. Madya Dr. Rusmawati Said
Pensyarah Kanan
Fakulti Ekonomi dan Pengurusan

Updated:: 02/05/2017

MEDIA SHARING

SEE ALSO
CORPORATE STRATEGY AND COMMUNICATIONS OFFICE
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 8946.6003
03 8946.8972
C1511264570