Hutang Jadi Liabiliti Kepada Ekonomi? - Dr. Mohd Yusof Saari | CORPORATE STRATEGY AND COMMUNICATIONS OFFICE
» ADVOKASI PUTRA » Kemanusiaan, Pendidikan, Politik, Ekonomi & Tadbir Urus » Hutang Jadi Liabiliti Kepada Ekonomi? - Dr. Mohd Yusof Saari

Hutang Jadi Liabiliti Kepada Ekonomi? - Dr. Mohd Yusof Saari

Bermula 2009, rekod hutang Kerajaan Persekutuan telah melangkaui paras melebihi 50 peratus Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) dan tahun lepas, paras hutang negara dilihat seolah-olah tidak menyusut apabila mencatat sebanyak 54.3 peratus KDNK. Walaupun paras hutang negara masih berada di bawah siling 55 peratus KDNK, wujud kebimbangan dalam kalangan rakyat tentang tadbir urus fiskal negara. Persoalannya, adakah hutang negara tinggi baik untuk pertumbuhan ekonomi?

Kajian yang dilakukan penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) mendapati ekonomi cenderung bertumbuh lebih pantas jika kadar hutang kepada KDNK di bawah paras 41.9 peratus, manakala ekonomi dianggap masih tumbuh biarpun perlahan pada paras hutang antara 42 hingga 54.7 peratus, dan paras seterusnya berpotensi memberi kesan negatif.

Sementara itu, hubungan antara paras hutang dan pertumbuhan ekonomi pula dipengaruhi gelagat tadbir urus hutang negara, justeru tidak menjadi kesulitan jika hutang negara melebihi tahap siling asalkan hutang tersebut diuruskan secara efisyen dan produktif. Kadar hutang hanya akan menjadi liabiliti kepada sesebuah negara jika hutang itu dibelanjakan kepada aktiviti ekonomi tidak strategik dan seterusnya memberi kesan kepada pertumbuhan KDNK.

Mengapa tadbir urus hutang negara sangat penting kepada rakyat? Hal ini kerana lebih daripada 90 peratus daripada hutang negara diperoleh daripada sumber dalaman. Jadi ia bermakna secara tidak langsung hutang tersebut dibiayai oleh rakyat. Kerajaan perlu memastikan setiap ringgit Malaysia yang dibelanjakan akan memberi manfaat maksimum kepada rakyat. Jika disandarkan kepada konsep golden rule, kerajaan perlu memastikan bahawa sebahagian besar atau keseluruhan hutang itu digunakan untuk membiayai perbelanjaan pembangunan yang produktif.

Perlu diingatkan, pengurangan cukai hari ini bermaksud peningkatan cukai di masa hadapan. Perbelanjaan pembangunan yang produktif memberi pulangan di masa hadapan dan seterusnya memberi manfaat kepada generasi berikutnya. Tentu kita tidak mahu generasi akan datang menyalahkan kita kerana tadbir urus fiskal yang lemah.

Berikut adalah beberapa saranan untuk memastikan tadbir urus hutang efisien dan produktif. Pertama, perbelanjaan perlu disasarkan kepada sektor ekonomi yang mempunyai kesan pengganda nilai tambah yang tinggi, dan kedua, perbelanjaan perlu terarah kepada usaha untuk mempelbagaikan aktiviti ekonomi yang kompetitif.

Ketiga, kerajaan perlu mempergiat aktiviti eksport yang mempunyai kandungan import rendah, dan paling penting, ketelusan di dalam tadbir urus perbelanjaan negara. Setiap perbelanjaan yang dibuat kerajaan perlu kepada pertimbangan umum kerana rakyat secara tidak langsung membiayai hutang negara.

Artikel ini telah diterbitkan oleh akhbar Utusan Malaysia pada 27 April 2016

Dr. Mohd Yusof Saari
Pensyarah Kanan
Jabatan Ekonomi
Fakulti Ekonomi dan Pengurusa

Updated:: 02/05/2017

MEDIA SHARING

SEE ALSO
CORPORATE STRATEGY AND COMMUNICATIONS OFFICE
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 8946.6003
03 8943.1296
C1506053951