Ihsan Tonggak Kecemerlangan UPM - Prof. Datin Paduka Dr. Aini Ideris | CORPORATE STRATEGY AND COMMUNICATIONS OFFICE
» ADVOKASI PUTRA » Kemanusiaan, Pendidikan, Politik, Ekonomi & Tadbir Urus » Ihsan Tonggak Kecemerlangan UPM - Prof. Datin Paduka Dr. Aini Ideris

Ihsan Tonggak Kecemerlangan UPM - Prof. Datin Paduka Dr. Aini Ideris

Semalam saya telah menyampaikan Perutusan 100 Hari Naib Canselor. Dalam perutusan tersebut, saya mengambil kesempatan untuk mengetengahkan beberapa agenda dan inisiatif penting kepada warga universiti untuk melonjakkan kecemerlangan Universiti Putra Malaysia (UPM) ke tahap yang lebih tinggi. Agenda dan inisiatif ini termasuklah memperkasa bakat dan kepimpinan, menggungguli pertanian dan meraikan multidisiplin, menerajui kelestarian hijau untuk kesejahteraan kampus, membudayakan kesukarelawanan, cabaran pendanaan dan kewangan universiti, kesejahteraan warga kampus dan citra UPM sebagai ‘taman ilmu dan pemikiran’.

Usaha untuk merealisasikan agenda dan inisiatif ini bukanlah satu kerja yang mudah. Ia sebenarnya memerlukan komitmen dan iltizam yang tinggi. Lebih penting, usaha ini mesti didasari dengan nilai dan budaya yang tepat dengan memberi penekanan kepada soal kualiti, kesempurnaan, ketelitian kerja dan kecemerlangan dalam budaya kerja warga universiti.

Menurut Islam, kesemua aspek di atas difahami dan diungkapkan dalam satu istilah yang disebut sebagai ihsan. Secara umum, ihsan merangkumi setiap amal perbuatan atau pekerjaan yang baik, yang dilaksanakan dengan betul, mahir, efisien dan cekap, dengan tujuan mencapai kesempurnaan, mempunyai kualiti yang tinggi, serta kecemerlangan.

Saya percaya bahawa nilai ihsan seperti yang dijelaskan ini perlu diangkat menjadi satu nilai utama universiti sekaligus tonggak kepada kecemerlangan UPM. Lebih-lebih lagi, nilai ini selari dengan “profesionalisme” atau kecekapan kerja yang tinggi serta berkualiti untuk menghasilkan kesempurnaan. Penekanan ini juga bermakna kita menolak sikap melakukan pekerjaan “asalkan siap” yang menyebabkan hasil kerja menjadi tidak sempurna, atau juga sebagai “mediokriti” (mediocrity) berlaku di universiti.

Bagaimanapun, konsep ihsan adalah istimewa dan sedikit berbeza kerana ia bukan sekadar berkaitan dengan pelaksanaan kerja semata-mata tetapi melibatkan aspek keterikatan hubungan antara manusia dengan Penciptanya. Keterikatan hubungan antara manusia dengan Pencipta inilah yang akan melahirkan sifat serta budaya kerja yang sangat menitikberatkan aspek kualiti, kesempurnaan dan kecemerlangan.

Saya percaya kefahaman ini akan menjadikan ihsan seumpama “pendinding kendiri” (self-guard), yang dapat mendorong kita untuk melaksanakan pekerjaan dengan penuh integriti, sekali gus memagari diri daripada melakukan kerja secara sambil lewa atau bertentangan dengan etika. Perlu diingatkan bahawa integriti bukan sahaja melibatkan isu penyalahgunaan kuasa atau penyelewangan, tetapi termasuk juga pengabaian dalam melaksanakan tanggungjawab, serta pembaziran dalam penggunaan sumber.

Perkara ini perlu difahami dengan sebaik-baiknya kerana ada segelintir pihak masih melihat isu integriti hanya berlaku dalam konteks kekuasaan dan pangkat. Malah, pelanggaran integriti hanya difahami berlaku dalam kalangan mereka yang berkedudukan tinggi sahaja. Sebaliknya, integriti melibatkan semua pihak meliputi soal sikap dan tindakan mereka dalam melaksanakan tanggungjawab dan tugas yang diamanahkan.

Dalam konteks di universiti, integriti akademik misalnya sangat penting. Integriti akademik juga berkait rapat dengan nilai teras ahli akademik seperti sentiasa mencari kebenaran, mengejar kecemerlangan, menghormati kepelbagaian ilmu dan ilmuan serta berkongsi ilmu untuk kepentingan awam. Dalam kata lain, ahli akademik ialah ilmuan yang memimpin masyarakat, sentiasa menegakkan kebenaran melalui kebebasan akademik dan berkongsi ilmu dalam kalangan ilmuan dan dengan masyarakat sebagai intelek awam.

Dalam konteks warga universiti yang lebih umum, integriti turut meliputi menghargai serta memelihara kepentingan universiti dan pelanggan, tidak mencemarkan nama baik universiti, dan meletakkan kepentingan universiti melebihi kepentingan diri sendiri. Perkara ini penting kerana ia dapat memelihara reputasi universiti dan mengelakkan daripada berlakunya konflik kepentingan yang boleh mengancam kedudukan universiti sebagai institusi ilmu yang perlu dihormati.

Integriti juga berkait dengan etika, iaitu pegangan moral yang tinggi selari dengan peraturan kerja, nilai masyarakat, dan budaya. Dalam hal ini, warga universiti perlu sentiasa patuh dan akur dengan peraturan dan undang-undang serta menyedari bahawa mereka juga adalah sebahagian daripada masyarakat luar. Perkara ini juga meliputi prinsip untuk tidak menerima hadiah atau keraian daripada pembekal universiti atau pihak yang berkepentingan. Hal ini penting bagi mengelakkan wujudnya sebarang unsur tidak sihat dan tindakan tidak beretika yang boleh menjejaskan imej dan reputasi universiti.

Penekanan kepada soal integriti menjelaskan kepada kita betapa pentingnya konsep ihsan menjadi tonggak ke arah kecemerlangan universiti. Saya memilih untuk bercakap soal ini kerana ia adalah perkara asas dan penting untuk membangunkan sebuah universiti dalam erti kata yang sebenar. Justeru, kita perlu membina warga universiti yang benar-benar memahami tanggungjawab dan menyedari keperluan melaksanakan tanggungjawab tersebut dengan penuh amanah.

Saya percaya seruan untuk membudayakan ihsan dalam kalangan warga UPM seperti dalam perutusan yang disampaikan semalam adalah satu langkah yang tepat. Ia akan menyuntik azam dan pemikiran baharu dalam budaya kerja warga universiti untuk bersama-sama memajukan UPM. Saya yakin, melalui pengamalan nilai ihsan ini, usaha melonjakkan kecemerlangan UPM sebagai institusi ilmuan tersohor dan bereputasi antarabangsa akan menjadi lebih mudah. 

Artikel ini telah diterbitkan oleh akhbar Berita Harian pada 21 April 2016

 

Prof. Datin Paduka Dr. Aini Ideris
Naib Canselor
Universiti Putra Malaysia

Updated:: 02/05/2017

MEDIA SHARING

SEE ALSO
CORPORATE STRATEGY AND COMMUNICATIONS OFFICE
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 8946.6003
03 8946.8972
C1511191413