Kawal Perbelanjaan Tangani Beban Kos Sara Hidup - Dr. Mohd Yusof Saari | CORPORATE STRATEGY AND COMMUNICATIONS OFFICE
» ADVOKASI PUTRA » Kemanusiaan, Pendidikan, Politik, Ekonomi & Tadbir Urus » Kawal Perbelanjaan Tangani Beban Kos Sara Hidup - Dr. Mohd Yusof Saari

Kawal Perbelanjaan Tangani Beban Kos Sara Hidup - Dr. Mohd Yusof Saari

Ekonomi tahun depan dijangka lebih mencabar kepada isi rumah, dengan bebanan kos sara hidup yang dijangka akan terus meningkat. Bebanan kos sara hidup pada masa kini disebabkan peningkatan tingkat harga yang tinggi berbanding pertumbuhan tingkat upah. Kenaikan harga makanan menyumbang hampir 52 peratus kepada peningkatan harga dalam ekonomi. Struktur pasaran yang bersifat oligopoli, kejatuhan nilai tukaran ringgit dan rasionalisasi subsidi antara faktor utama, yang menyumbang secara langsung dan tak langsung kepada kenaikan harga makanan.

Isi rumah menerima impak sama ada secara langsung atau tak langsung akibat faktor luaran itu. Justeru, sangat penting kepada isi rumah untuk mengawal dan mengatur perbelanjaan mereka secara berhemah supaya bebanan kos hidup dapat dikurangkan. Lima saranan berikut boleh dipertimbangkan.

Pertama, wujudkan persoalan “kehendak atau keperluan” bagi setiap kali berbelanja ke atas barangan dan perkhidmatan. Contohnya, perbelanjaan bagi aksesori kenderaan dan pakaian berjenama, boleh ditunda terlebih dahulu dengan memberi keutamaan kepada barangan keperluan seperti makanan. Ketika musim jualan mega dan perayaan, konsep “kehendak atau keperluan” sangat membantu isi rumah berbelanja secara berhemat.

Kedua, kurangkan atau elak berbelanja ke atas barangan yang diimport secara langsung atau barangan mengandungi kandungan import yang tinggi. Kejatuhan nilai tukaran ringgit menyebabkan kos import barang penggunaan dan barang mentah dari luar negara menjadi lebih mahal. Akibatnya, harga barangan yang dijual di dalam negara menjadi lebih mahal. Ketiga, elakkan daripada menambah hutang isi rumah. Hutang ke atas pembelian barangan berbentuk “kehendak” seperti kenderaan baharu perlu dielakkan ketika ekonomi tidak menentu ini. Begitu juga, hutang persendirian bagi pasangan yang ingin mendirikan rumahtangga, seboleh-bolehnya perlu dielakkan.

Keempat, gunakan kuasa pengguna untuk menekan penjual yang mengenakan harga tinggi. Pilihlah penjual yang memberi tawaran harga yang lebih rendah dan berpatutan. Apabila permintaan rendah, penjual yang mengenakan harga tinggi akan cenderung untuk mengurangkan harga bagi memastikan kelangsungan perniagaan mereka. Peranan persatuan pengguna setempat perlu diperkukuh agar maklumat kepenggunaan dikemaskini.

Kelima, amalkan berbelanja ke atas barangan keperluan dalam kuantiti yang banyak di pasaraya yang menawarkan harga rendah. Pembelian dalam kuantiti banyak dapat menjimatkan kos ulang alik, selain mendapat tawaran harga menarik. Pemerhatian mendapati, barangan yang dijual di pasaraya selalunya lebih murah berbanding di pasar tani.

Secara keseluruhannya, gelagat isi rumah sangat penting dalam menentukan tingkat harga pasaran. Walaupun peningkatan harga pasaran dipengaruhi faktor luaran, gelagat isi rumah yang bijak mengawal perbelanjaan dan mengguna kuasa kepenggunaan dapat mempengaruhi pergerakan harga.

Artikel ini telah diterbitkan oleh akhbar Berita Harian pada 9 Disember 2016

Dr. Mohd Yusof Saari
Pensyarah Kanan
Jabatan Ekonomi
Fakulti Ekonomi dan Pengurusan

Updated:: 02/05/2017

MEDIA SHARING

SEE ALSO
CORPORATE STRATEGY AND COMMUNICATIONS OFFICE
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 8946.6003
03 8946.8972
C1511264551