Kesan Lambakan Pekerja Asing - Dr. Mohd Yusof Saari | CORPORATE STRATEGY AND COMMUNICATIONS OFFICE
» ADVOKASI PUTRA » Kemanusiaan, Pendidikan, Politik, Ekonomi & Tadbir Urus » Kesan Lambakan Pekerja Asing - Dr. Mohd Yusof Saari

Kesan Lambakan Pekerja Asing - Dr. Mohd Yusof Saari

Di Malaysia, buruh asing kebanyakan terdiri daripada mereka yang berkemahiran rendah. Keputusan pihak kerajaan ke atas pengambilan sebanyak 1.5 juta buruh asing dari Bangladesh memerlukan kepada kajian yang teliti.

Perkara itu bukan sekadar hubungan di antara permintaan dan penawaran buruh semata-mata malah perlu dilihat dalam konteks yang lebih luas terutamanya di dalam usaha mencapai status negara berpendapatan tinggi pada tahun 2020. Berikut tiga alasan mengapa keputusan pengambilan 1.5 juta buruh asing perlu kajian semula.

Pertama, pengambilan buruh asing perlu selari dengan peluang pekerjaan yang dijana oleh ekonomi. Bagi setiap satu peratus peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), sebanyak 38,160 jumlah pekerjaan yang dicipta di dalam ekonomi. Dengan unjuran KDNK 2016 sekitar 4.5 peratus, maka sebanyak 171,721 peluang pekerjaan yang akan wujud. Jika 1.5 juta buruh asing dibawa masuk dalam tempoh lima tahun, ini bermakna setiap tahun ekonomi akan menyerap sekitar 300,000 buruh.

Jumlah ini adalah melebihi daripada kemampuan ekonomi itu sendiri di dalam mewujudkan peluang pekerjaan. Akibat daripada lebihan penawaran buruh ini, upah cenderung untuk merudum dan akhirnya memberi implikasi kepada tingkat produktiviti buruh. Kedua, keputusan penambahan bilangan pekerja asing juga tidak selari dengan dasar ekonomi semasa. Objektif pengenalan dasar upah minimum antaranya ialah untuk mengurangkan kebergantungan ekonomi kepada pekerja asing yang berkemahiran rendah. Malahan dasar upah minimum terpaksa diperkenalkan kerana kadar upah yang bertumbuh sangat perlahan akibat daripada tekanan lambakan buruh asing.

Dasar di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 juga jelas menyasarkan kepada pertumbuhan produktiviti buruh sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi. Pertumbuhan produktiviti buruh dapat dipertingkatkan melalui sumbangan pekerja berkemahiran tinggi dan pengurangan kebergantungan kepada buruh asing.

Ketiga, ekonomi Malaysia masa kini tumbuh agak perlahan akibat daripada penurunan harga minyak mentah dunia. Pada kadar purata harga minyak mentah AS$30 setong dan AS$35 setong, kadar pengangguran dijangka akan bertambah sebanyak 0.2 peratus dan 0.1 peratus. Di dalam situasi sebegini, keputusan pengambilan buruh asing wajar diteliti semula agar peluang pekerjaan dapat diisi oleh warga tempatan.

Kesimpulannya, berdasarkan keadaan ekonomi semasa dan dalam usaha mencapai taraf negara berpendapatan tinggi pada tahun 2020, keputusan pengambilan 1.5 juta buruh asing perlu diteliti semula. Pengalaman daripada negara-negara maju seperti Korea Selatan dan Singapura jelas sekali menunjukkan kebergantungan tinggi kepada buruh asing terutamanya kategori berkemahiran rendah akan menghalang pertumbuhan produktiviti.

Artikel ini telah diterbitkan oleh akhbar Utusan Malaysia pada 29 Februari 2016

Dr. Mohd Yusof Saari
Pensyarah Kanan
Jabatan Ekonomi
Fakulti Ekonomi dan Pengurusan

Updated:: 02/05/2017

MEDIA SHARING

SEE ALSO
CORPORATE STRATEGY AND COMMUNICATIONS OFFICE
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 8946.6003
03 8943.1296
C1505963390