Konflik Dasar Parti Bayangi Ikatan Pakatan Harapan - Prof. Madya Dr. Mohd Izani Mohd Zain | CORPORATE STRATEGY AND COMMUNICATIONS OFFICE
» ADVOKASI PUTRA » Kemanusiaan, Pendidikan, Politik, Ekonomi & Tadbir Urus » Konflik Dasar Parti Bayangi Ikatan Pakatan Harapan - Prof. Madya Dr. Mohd Izani Mohd Zain

Konflik Dasar Parti Bayangi Ikatan Pakatan Harapan - Prof. Madya Dr. Mohd Izani Mohd Zain

Tatkala isu kerjasama PAS dan UMNO semakin ligat diperkatakan, pakatan pembangkang yang menggelarkan diri mereka sebagai Pakatan Harapan terus mengorak langkah untuk memperkukuhkan kerjasama politik mereka. Pada hari ini, DAP, PKR dan Amanah akan memeterai Perjanjian Pakatan Harapan bagi memastikan mereka dapat bekerjasama dalam sebuah kesatuan politik yang lestari, selain memastikan perpecahan yang berlaku dalam PR sebelum ini tidak akan berlaku.

Antara perkara utama yang menjadi polisi bersama ialah prinsip dan kaedah dalam membangunkan dasar bersama dan kepatuhan kepada dasar bersama; prinsip dan kaedah menguruskan perjalanan pilihan raya termasuk penentuan kerusi yang ditandingi; prinsip dan kaedah menguruskan perjalanan kerajaan pakatan harapan dan blok pembangkang serta prinsip dan kaedah menangani keadaan bila mana perjanjian itu dilanggari.

Tidak dinafikan, polisi bersama pakatan pembangkang telah pun wujud sebelum ini. Pada 28 April 1999, pakatan pembangkang ketika itu telah mengemukakan Polisi Bersama, iaitu mengutamakan kerjasama dan ini mengatasi segala pertimbangan lain; menghormati hak seseorang menyertai mana-mana pertubuhan, sesuai dengan semangat Hak Asasi Manusia dan Perlembagaan Malaysia; dan tidak akan melayan permohonan untuk masuk parti daripada mana-mana pihak yang terlibat dengan sebarang kontroversi yang menjejaskan kerjasama di antara parti pembangkang.

Selain itu, dasar bersama yang memuatkan agenda perjuangan secara kolektif turut dilancarkan oleh pakatan pembangkang semasa Konvensyen Pakatan Rakyat kedua di Pulau Pinang pada 19 Disember 2010 lalu. Dasar Bersama dalam Buku Jingga memperjuangkan empat kerangka asas, iaitu demokrasi yang telus dan tulen untuk memperkasakan ketuanan rakyat; memacu ekonomi berprestasi tinggi yang mampan untuk menjana kemakmuran dan kebajikan kepada semua secara adil; keadilan sosial bagi menjamin pembangunan insan secara menyeluruh dan hubungan persekutuan-negeri dan dasar luar negara yang adil-setara.

Dasar dan polisi bersama ini menuntut persefahaman pakatan pembangkang memperjuangkan isu yang dipersetujui secara konsensus. Setiap parti perlu akur dengan meletakkan dasar bersama sebagai keutamaan dalam perjuangan. Walau bagaimanapun, bukan semua perkara boleh disepakati secara bersama kerana setiap parti mempunyai prinsip asal perjuangan yang tersendiri.

Sehubungan dengan itu, konsep bersetuju untuk tidak bersetuju telah diperkenalkan oleh pakatan pembangkang sebelum ini bagi mengurus perbezaan dalam dasar perjuangan masing-masing. Melalui konsep ini, parti komponen dalam pakatan pembangkang perlu menghormati dasar asal perjuangan parti lain. Mereka tidak boleh menghalang dasar dan prinsip tersebut untuk terus diperjuangkan.

Ini adalah cabaran utama pakatan pembangkang. Konflik antara dasar bersama dengan dasar asal perjuangan parti sering kali menjadi batu penghalang kepada pakatan pembangkang untuk terus bekerjasama. Sebelum ini, PAS berkeras untuk memperjuangkan pelaksanaan hukum hudud walaupun ia tidak termasuk dalam dasar bersama. Hujah PAS adalah hukum hudud adalah dasar asal perjuangan parti dan telah lama diperjuangkannya sebelum wujud pakatan pembangkang. Malah pada tahun yang sama dasar bersama Buku Jingga diperkenalkan, PAS telah memperketatkan konsep Tahaluf Siyasi bagi memastikan kerjasama politik tidak bercanggah dengan dasar perjuangannya.

Perlu hormati dasar perjuangan parti

Usaha mengimbangi dasar bersama dan dasar asal perjuangan parti perlu diuruskan dengan bijak oleh pakatan pembangkang. Lebih-lebih lagi, pakatan pembangkang adalah pakatan longgar yang dibentuk untuk memperjuangkan perkara yang dipersetujui bersama tanpa mengikat parti pembangkang untuk terus memperjuangkan prinsip asal perjuangan mereka.

Pakatan pembangkang seharusnya mengambil contoh pendekatan Barisan Nasional (BN) apabila setiap parti komponen berhak memperjuangkan dasar parti masing-masing. Sebagai contoh, walaupun BN adalah sebuah gabungan parti politik untuk rakyat Malaysia yang berbilang kaum, ia tidak menghalang UMNO untuk memperjuangkan agenda kaum Melayu, bumiputera dan umat Islam di negara. Begitu juga dengan parti komponen lain seperti MCA dan MIC yang tidak dihalang memperjuangkan nasib kaum diwakilinya.

Perjanjian Pakatan Harapan yang dimeterai hari ini dilihat sebagai satu usaha serius pakatan pembangkang menyusun strategi bagaimanakah sebuah kerjasama politik sepatutnya berlaku. Ia lebih bersifat khusus atau micro manage bagi meminimumkan pergeseran. Ia juga menggambarkan bahawa isu perpecahan dalam pakatan pembangkang sebelum ini membayangi perjanjian.

Perjanjian Pakatan Harapan perlu mengambil kira beberapa isu penting, iaitu keperluan mengimbangi dasar bersama dengan dasar asal perjuangan parti dan pematuhan konsep bersetuju untuk tidak bersetuju antara parti pembangkang. Jika kedua-dua perkara ini tidak dapat dicapai atau gagal difahami secara baik, ia akan mengulangi cerita yang sama.

Tanpa kelibat PAS, Perjanjian Pakatan Harapan nampak lebih mudah direalisasikan. Ini kerana tidak ada lagi isu Negara Islam dan hukum hudud diperdebatkan. Namun, sikap DAP yang seringkali mengeluarkan arahan dan mencampuri hal ehwal parti lain boleh menjadi beban dan masalah utama.


Prof. Madya Dr. Mohd Izani Mohd Zain
Pensyarah
Fakulti Ekologi Manusia

Updated:: 02/05/2017

MEDIA SHARING

SEE ALSO
CORPORATE STRATEGY AND COMMUNICATIONS OFFICE
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 8946.6003
03 8946.8972
C1511191281