Kontroversi Ahok Undang Demonstrasi - Prof. Madya Dr. Mohd Izani Mohd Zain | CORPORATE STRATEGY AND COMMUNICATIONS OFFICE
» ADVOKASI PUTRA » Kemanusiaan, Pendidikan, Politik, Ekonomi & Tadbir Urus » Kontroversi Ahok Undang Demonstrasi - Prof. Madya Dr. Mohd Izani Mohd Zain

Kontroversi Ahok Undang Demonstrasi - Prof. Madya Dr. Mohd Izani Mohd Zain

18 November ini, genap dua tahun Basuki Tjahaja Purnama atau Ahok dipilih sebagai Gabenor Jakarta, menggantikan Jokowi Widodo yang diangkat menjadi Presiden Indonesia. Pemilihan Ahok sebagai Gabenor dibayangi kontroversi sejak awal lagi kerana beliau berketurunan Tionghua yang dianggap mewakili kaum minoriti di negara umat Islam terbesar di dunia itu. Beliau didakwa tidak layak memimpin kota Jakarta yang didiami oleh majoriti umat Islam selain dikhuatiri menyebabkan ‘suara Islam’ akan terus terpinggir.

Meskipun pernah berjanji untuk berlaku adil terhadap umat Islam dan jauh sekali mengambil sikap anti Islam, itu tidak menjamin Ahok terlepas daripada lensa dan pemerhatian umat Islam di sana. Hari ini, kontroversi Ahok semakin melebar apabila beliau dijangka berhadapan dengan demonstrasi besar-besaran oleh pelbagai organisasi Islam yang diketuai Front Pembela Islam (FPI). Demonstrasi dari Masjid Istiqlal ke Istana Negara bertujuan menuntut Ahok dipenjara karena dianggap ''menistakan agama, menodai Al-Quran, melecehkan ulamak dan menghina umat Islam'.

Baru-baru ini, Ahok telah didakwa mempergunakan ayat Al-Quran dalam ucapan, sewaktu mengadakan pertemuan dengan masyarakat di Kepulauan Seribu pada 27 September lalu. Beliau telah memetik ayat 51, Surah Al-Maidah yang berkisar tentang larangan umat Islam mengambil orang Yahudi dan Nasrani sebagai pemimpin mereka. Ahok didakwa mempergunakan ayat Al-Quran itu sebagai contoh untuk mengaitkan masyarakat Islam yang tidak boleh memilih beliau kerana diperdaya dengan tasfiran ayat tersebut yang melarang memilih atau mengundi pemimpin bukan Islam.

Ucapan Ahok dilihat sebagai tindakan memandang rendah terhadap masyarakat Islam yang dibelenggu dengan ayat Al-Quran tersebut agar tidak boleh memilih pemimpin selain Islam. Lebih malang, ia didakwa menghina kesucian ayat Al-Quran yang mengandungi ketinggian hikmah. Majlis Ulamak Indonesia (MUI) dalam satu kenyataan rasmi, berpandangan pernyataan Ahok sebagai satu pendustaan kepada  agama Islam dan penghinaan terhadap ulamak. MUI juga mengingatkan semua pihak sama ada pemerintah dan rakyat wajib menjaga harmoni kehidupan beragama.

Demonstrasi besar-besaran yang dijangka berlangsung pada hari ini cuba memberi tekanan kepada Ahok. Dua pertubuhan Islam terbesar di Indonesia, iaitu Nadhatul Ulamak (NU) dan Muhammadiyyah tidak melarang ahli untuk turut serta dalam demonstrasi asalkan tidak mengaitkan tindakan mereka atas nama pertubuhan. Presiden Jokowi juga mengingatkan mereka yang turun berdemonstrasi tidak sampai bertindak keterlaluan sehingga mengancam keselamatan awam.

Tidak dinafikan, kontroversi yang melibatkan Ahok dilihat sebagai satu perkembangan politik yang menarik. Meskipun Indonesia mengamalkan demokrasi terbuka dan melarang sebarang kempen menyentuh soal suku, agama, ras dan antara golongan (SARA), isu agama ternyata masih lagi menjadi faktor yang relevan dalam kalangan rakyat Indonesia khususnya masyarakat Islam.

Isu agama dalam politik khususnya dalam konteks pemilihan pemimpin dijangka akan terus menguji Indonesia. Namun ada juga pandangan bahawa kontroversi Ahok sebenarnya tidak memberi kesan kepada kedudukannya sebagai Gabenor Jakarta kerana rata-rata masyarakat Jakarta tidak melihat isu agama sebagai faktor penting dalam menilai kebolehan seseorang pemimpin. 

Selain Jokowi, Ahok adalah pemimpin penting Indonesia. Banyak pihak percaya beliau mempunyai potensi besar untuk mara ke jawatan yang lebih tinggi pada masa akan datang. Apa yang pasti, kontroversi yang melanda Ahok kali ini bakal menguji sejauh mana beliau boleh pergi dalam landskap politik Indonesia. Ternyata Ahok tidak disediakan dengan permaidani merah untuk terus bertahan meskipun beliau dianggap pilihan dan calon kegemaran Presiden Jokowi.

Artikel ini telah diterbitkan oleh akhbar Berita Harian pada 4 November 2016

Prof. Madya Dr. Mohd Izani Mohd Zain
Pensyarah
Fakulti Ekologi Manusia

Updated:: 02/05/2017

MEDIA SHARING

SEE ALSO
CORPORATE STRATEGY AND COMMUNICATIONS OFFICE
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 8946.6003
03 8943.1296
C1505962813