Lebih Bebas Tentukan Hala Tuju Tanpa PAS - Prof. Madya Dr. Mohd Izani Mohd Zain | CORPORATE STRATEGY AND COMMUNICATIONS OFFICE
» ADVOKASI PUTRA » Kemanusiaan, Pendidikan, Politik, Ekonomi & Tadbir Urus » Lebih Bebas Tentukan Hala Tuju Tanpa PAS - Prof. Madya Dr. Mohd Izani Mohd Zain

Lebih Bebas Tentukan Hala Tuju Tanpa PAS - Prof. Madya Dr. Mohd Izani Mohd Zain

Di sebalik kehangatan menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar (P.093) dan Kuala Kangsar (P.067) yang dijadualkan berlangsung pada 18 Jun depan, Parti Islam SeMalaysia (PAS) akan mengadakan Muktamar Tahunan ke-62 bermula 31 Mei hingga 3 Jun di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK), Pengkalan Chepa. Muktamar yang asalnya berakhir 4 Jun dipendekkan sehari bagi memberi laluan kepada hari penamaan calon PRK pada 5 Jun.

Muktamar PAS kali ini agak istimewa kerana dua faktor. Pertama, ia adalah muktamar pertama selepas terputusnya hubungan PAS dengan Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan berakhirnya kerjasama politik dalam Pakatan Rakyat (PR). Kedua, muktamar ini diadakan sewaktu mood pilihan raya sedang memuncak bagi menghadapi PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar.  Setelah berkelana di Shah Alam (2013), Batu Pahat (2014) dan Kuala Selangor (2015), Muktamar PAS tahun ini kembali ke Kelantan yang merupakan kubu kuat PAS. Kali terakhir PAS mengadakan muktamar di Kelantan pada 2012, iaitu empat tahun yang lalu. Pemilihan lokasi ini mempunyai makna yang tersendiri, umpama sirih pulang ke gagang selepas tidak lagi dalam pakatan pembangkang.

Perjalanan muktamar dua tahun sebelum ini banyak dipengaruhi dengan polemik dan kemelut PAS dalam kerjasama politik. Ini boleh dilihat melalui Ucapan Dasar Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang banyak memberi penegasan akan keperluan mengimbangi matlamat politik dengan mempertahankan dasar perjuangan parti. Kemuncak kepada kemelut ini, PAS telah meluluskan usul Dewan Ulamak tanpa bahas untuk membatalkan kerjasama politik dengan DAP tahun lalu. Usul ini dikeluarkan atas alasan kerjasama politik PAS dengan DAP telah mengancam dasar asal perjuangan parti untuk mempertahankan Islam.

Perkembangan tersebut telah membawa kepada peralihan kepimpinan PAS secara pukal. Kepimpinan baharu PAS bagi tempoh 2015-2017 tidak lagi mempunyai kaitan dengan kerjasama politik terdahulu yang teguh memperjuangkan dasar perjuangan parti tanpa kompromi. Kemenangan besar kumpulan ulamak telah menyebabkan kekalahan teruk kumpulan pemimpin proPR sehingga bertindak keluar parti dan menubuhkan Parti Amanah. Parti serpihan PAS ini yang diketuai oleh Mohamad Sabu meneruskan kerjasama politik dengan DAP dan PKR melalui pakatan pembangkang baharu, iaitu Pakatan Harapan (PH).

Muktamar PAS akan datang dijangka berlangsung dalam suasana yang berbeza berbanding sebelum ini. Banyak pihak melihat, dengan kedudukan PAS sekarang, parti itu semakin bebas untuk menyatakan perjuangannya tanpa menjaga hati pihak lain terutamanya DAP. Lebih-lebih lagi, Dewan Rakyat telah memberi laluan kepada Datuk Seri Abdul Hadi untuk membentangkan usul Rang Undang-undang Persendirian mengenai Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (2016).

Pembentangan usul tersebut bertujuan meminda Seksyen 2 bagi menggantikan peruntukan dalam undang-undang sedia ada, iaitu Mahkamah Syariah akan mempunyai kuasa ke atas penganut agama Islam dan dalam hal-hal kesalahan di bawah perkara yang disenaraikan dalam butiran 1 Senarai Negeri, di bawah jadual kesembilan Undang-Undang Persekutuan. Ia juga bagi memasukkan seksyen 2A iaitu dalam menjalankan undang-undang jenayah di bawah seksyen 2, Mahkamah Syariah berhak menjatuhkan hukuman yang dibenarkan oleh undang-undang syariah berkaitan hal-hal kesalahan yang disenaraikan di bawah seksyen yang disebutkan, selain hukuman mati.

Meskipun perbahasan usul ini hanya boleh dilakukan pada sesi parlimen akan datang, ia dianggap satu kemenangan awal bagi PAS. Perkembangan ini pastinya akan menjadi antara topik penting untuk dibahaskan dalam Muktamar akan datang terutama ada pandangan mengatakan bahawa ia hanyalah satu langkah kerajaan untuk menumpulkan strategi PAS melawan UMNO dalam PRK akan datang.

Selain itu, Ucapan Dasar Presiden akan menjadi penentu ke mana hala tuju PAS selepas ini. Namun sehingga artikel ini ditulis, masih belum dapat dipastikan apakah tema Muktamar PAS yang juga menjadi tema Ucapan Dasar Presiden. Apakah ucapan dasar itu nanti akan memberi fokus kepada strategi dan pendekatan baharu PAS atau masih lagi terimbau dengan kisah lama yang seterusnya menuding jari dan kesalahan kepada pihak lain. 

Muktamar PAS kali ini berlangsung dalam mood pilihan raya, iaitu menjelang PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar. PAS sejak awal lagi berkeras untuk meletakkan calonnya meskipun mendapat tentangan daripada Parti Amanah.  Apa yang pasti, PAS sudah tentu akan menggunakan muktamar kali ini untuk memperkukuh perpaduan ahli parti khususnya selepas perpecahan dalaman berlaku sebelum ini. PAS juga baharu sahaja memecat mantan Naib Presiden, Datuk Husam Musa pada 23 April lalu atas kesalahan melanggar perlembagaan, aturan dan peraturan parti.

Pemecatan Husam dijangka tidak memberi masalah yang besar kepada PAS kerana tumpuan parti sudah menjurus kepada persediaan menghadapi pilihan raya. Dalam keadaan sebegini, ahli parti lebih memberi fokus kepada persiapan jentera dan kempen pilihan raya, bukan membincangkan nasib individu atau mana-mana pemimpin. Laporan mengatakan bahawa Datuk Husam mahu kembali kepada PAS sebelum muktamar amat menarik perhatian. Persoalannya, apakah PAS bersedia mempertimbangkan semula kedudukan Datuk Husam atau membiarkan beliau menyertai parti lain?

Muktamar kali ini dilihat tidak membawa isu tertentu atau agenda besar. Keadaan PAS yang kembali tenang daripada pergelutan kerjasama politik akan mengekalkan status quo parti itu. Namun dengan adanya muktamar ini, sekurang-kurangnya PAS boleh menyusun kekuatan parti menghadapi PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar tidak lama lagi.

Artikel ini telah diterbitkan oleh akhbar Berita Harian pada 31 Mei 2016

Prof. Madya Dr. Mohd Izani Mohd Zain
Pensyarah
Fakulti Ekologi Manusia

Updated:: 02/05/2017

MEDIA SHARING

SEE ALSO
CORPORATE STRATEGY AND COMMUNICATIONS OFFICE
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 8946.6003
03 8946.8972
C1511264397