Mekanisma Agih BR1M Wajar Dikaji Semula - Dr. Mohd Yusof Saari | CORPORATE STRATEGY AND COMMUNICATIONS OFFICE
» ADVOKASI PUTRA » Kemanusiaan, Pendidikan, Politik, Ekonomi & Tadbir Urus » Mekanisma Agih BR1M Wajar Dikaji Semula - Dr. Mohd Yusof Saari

Mekanisma Agih BR1M Wajar Dikaji Semula - Dr. Mohd Yusof Saari

Bayaran pertama Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) tahun 2016 sudah dilaksanakan. Berbanding tahun lalu, bayaran tahun ini dinaikkan 5.3 peratus daripada RM950 kepada RM1,000 bagi isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 dan ke bawah, 6.7 peratus kepada RM800 bagi kategori isi rumah berpendapatan sederhana (RM3,001-RM4,000), dan 14.3 peratus kepada RM400 bagi individu bujang berpendapatan tidak melebihi RM2,000 sebulan. Keseluruhannya, kerajaan membelanjakan sebanyak RM5.9 bilion untuk program ini.

Program ini diperkenalkan pada 2012 untuk membantu golongan bawahan dan miskin menangani kos sara hidup.  Ia bukan unik di Malaysia, program bayaran dalam bentuk pindahan tunai sebegini antara alat pengagihan semula yang sering diguna sebagai dasar mengurangkan jurang tingkat pendapatan dan juga kos sara hidup serta kemiskinan di dalam sesebuah ekonomi di merata dunia.

Dari sudut pandangan ekonomi, BR1M cenderung ke arah penyelesaian masalah jangka masa pendek kerana ia bukan bersifat productivity-driven. Ia juga bukan jaminan tetap kepada tingkat pendapatan isi rumah kerana program ini bergantung sepenuhnya kepada kedudukan semasa kewangan kerajaan.

Namun, dalam persekitaran ekonomi yang tidak menentu ditambah peningkatan ketara kos hidup, BR1M memainkan peranan penting dalam membantu golongan berpendapatan rendah dan miskin. Justeru, tidak menjadi persoalan kenapa BR1M perlu dilaksanakan. Yang menjadi persoalan utama ialah sejauh mana keberkesanan BR1M diukur dan dipantau agar setiap ringgit diberi dapat dimanfaatkan sepenuhnya. Keberkesanan BR1M dapat dipertingkatkan dengan cara mengubah mekanisma pelaksanaan pemberiannya. Tiga kaedah  boleh digunakan penggubal dasar.

Pertama, BR1M diganti dengan pemberian subsidi kepada pengeluar barang keperluan utama. Berdasarkan laporan Penyiasatan Perbelanjaan Isi Rumah semasa, perbelanjaan makanan dan minuman bukan alkohol serta perumahan, utiliti dan bahan api adalah komponen perbelanjaan utama isi rumah.

Peratusan perbelanjaan bulanan terhadap kedua-dua kumpulan barangan ini adalah 64 peratus daripada jumlah perbelanjaan bulanan bagi isi rumah berpendapatan bawah RM1,000, 54 peratus (RM1,000 hingga RM1,999), 47 peratus (RM2,000 hingga RM2,999), 43 peratus (RM3,000 hingga RM3,999), 42 peratus (RM4,000 hingga RM4,999) dan 37 peratus (lebih RM5,000).

Justeru, pemberian subsidi kepada pengeluar kedua-dua kumpulan barangan ini akan dapat mengurangkan atau menstabilkan harga, seterusnya meringankan kos sara hidup. Mungkin ada berpendapat sistem subsidi sebegini akan memanfaatkan juga golongan kaya. Perlu diingat, data ini menunjukkan perbelanjaan terhadap kedua-dua kumpulan barangan ini berkurangan apabila pendapatan meningkat.

Jadi, golongan berpendapatan rendah masih menikmati sebahagian besar subsidi. Sistem ini lebih baik kerana dapat menjimatkan kos operasi dan menstabilkan harga dalam jangka masa panjang. Pelaksanaan sistem ini bagaimanapun memerlukan pemantauan khusus agar pengeluar tidak salah guna subsidi.

Kedua, sistem pemberian BR1M bersifat tidak bersyarat dan boleh dipertimbang untuk dijadikan sistem bersyarat. Contoh, isi rumah boleh dipertimbangkan untuk BR1M tahun berikutnya jika syarat tertentu dicapai.

Kriteria itu boleh ditentukan mengikut kesesuaian dan keadaan. Antara yang diguna di negara lain seperti kehadiran anak di sekolah, dan penambahbaikan dalam pekerjaan. Sistem pemberian bersyarat lebih baik kerana ia bersifat productivity-driven.

Ketiga, sistem pemberian tunai digantikan dengan barang makanan. Bayaran tunai sukar untuk dipastikan sejauh mana penerima menggunakannya untuk perbelanjaan keperluan. Kerajaan mempunyai pilihan sama ada memberi barang sekali gus setahun atau bulanan. Pemberian kupon barang makanan boleh dipertimbangkan dan pastikan ia tidak didagang atau ditukar kepada barangan lain. 

Kesimpulannya, keberkesanan perlaksanaan BR1M perlu diambil perhatian kerana kerajaan sudah memperuntukkan perbelanjaan besar ke atas program ini. Jika keberkesanan BR1M diukur berdasarkan peningkatan dalam jumlah pendapatan isi rumah semata-mata, pengukuran ini kurang tepat. Sudah pasti jurang tingkat pendapatan dan kadar kemiskinan dapat dikurangkan dengan banyak kerana berlaku peningkatan pendapatan akibat bayaran pindahan yang diterima daripada BR1M.

Tambahan pula dijangka 4.7 juta isi rumah dan 2.7 juta orang bujang mendapat BR1M pada 2016. Namun, sejauh manakah pengurangan jurang tingkat pendapatan dan kadar kemiskinan dapat menerangkan peningkatan dalam kebajikan isi rumah.

Artikel ini telah diterbitkan oleh akhbar Berita Harian pada 6 Februari 2016 

Dr. Mohd Yusof Saari
Pensyarah Kanan
Jabatan Ekonomi
Fakulti Ekonomi dan Pengurusan

Updated:: 02/05/2017

MEDIA SHARING

SEE ALSO
CORPORATE STRATEGY AND COMMUNICATIONS OFFICE
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 8946.6003
03 8943.1296
C1505963329