Melahirkan Graduan Sebagai Insan - Prof. Datin Paduka Dr. Aini Ideris | CORPORATE STRATEGY AND COMMUNICATIONS OFFICE
» ADVOKASI PUTRA » Kemanusiaan, Pendidikan, Politik, Ekonomi & Tadbir Urus » Melahirkan graduan sebagai insan - Prof. Datin Paduka Dr. Aini Ideris

Melahirkan graduan sebagai insan - Prof. Datin Paduka Dr. Aini Ideris

September adalah antara bulan paling sibuk dalam kalendar akademik Universiti Awam (UA) di negara ini. Kemasukan pelajar baharu dan bermulanya sesi akademik baharu menyaksikan kampus kembali sibuk dan meriah. Pada sesi akademik 2016/17, sejumlah 39,862 orang calon telah ditawarkan untuk kemasukan peringkat ijazah sarjana muda di 20 buah UA. Mulai 19 September ini pula, kemasukan pelajar baharu pengambilan kedua akan bermula.

Bagi pelajar baharu, saat melangkah ke kampus adalah episod yang mungkin tidak dapat dilupakan dalam kehidupan mereka. Mereka bukan sahaja berpisah daripada ibu bapa, tetapi menggalas amanah untuk hidup secara mandiri. Di universiti, mereka tidak hanya menuntut ilmu melalui sesi pembelajaran formal dalam dewan kuliah, tetapi belajar tentang kehidupan yang sebenar. Kehidupan kampus selama tiga atau empat tahun yang bakal ditempuhi oleh pelajar baharu akan membentuk sahsiah dan keperibadian insan kelak.

Hal ini penting kerana universiti tidak lagi menjana modal insan semata-mata, tetapi insan untuk negara. Ia adalah satu konsep yang komprehensif dan menyeluruh seperti yang digariskan dalam Lonjakan Pertama, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) atau PPPM (PT), iaitu mengeluarkan graduan yang holistik, berciri keusahawanan dan seimbang.

Pelajar yang baharu mendaftar ini, pastinya mempunyai latar belakang kehidupan yang berbeza. Ada yang berasal daripada golongan berada dan tidak kurang yang datang daripada keluarga yang tidak berkemampuan. Dalam hal ini, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan universiti awam di negara ini sentiasa peka dengan mempelbagaikan cara atau mod kemasukan pelajar agar mereka yang kurang bernasib baik tidak terhalang untuk melanjutkan pengajian di universiti.

Bagi merancakkan lagi usaha pendemokrasian pendidikan khususnya di universiti awam, pengambilan melalui laluan khas telah diperkenalkan. Laluan khas ini menawarkan peluang kepada calon yang tidak berjaya mendapat pengajian di mana-mana IPTA selepas pengumuman tawaran diumumkan oleh UPU. Dalam konteks di Universiti Putra Malaysia (UPM) misalnya, kriteria asas pemilihan calon yang diguna pakai dalam laluan khas ini seperti pendapatan isi rumah kurang daripada RM 1,500.00 sebulan, bilangan tanggungan melebihi 5 orang atau lebih, status ibu atau bapa calon (tunggal), status anak yatim, status kesihatan atau kecacatan calon, status kesihatan atau kecacatan ibu bapa atau penjaga calon, dan lokasi tempat tinggal calon (luar bandar).

Kita percaya melalui pengambilan laluan khas ini, hasrat untuk menempatkan pelajar kurang bernasib baik untuk melanjutkan pengajian tercapai. Kita tidak mahu hanya disebabkan faktor kemiskinan dan kurang upaya, anak-anak muda terhalang untuk menuntut ilmu di universiti. Mereka perlu diberikan keadilan dan peluang yang sama seperti kumpulan yang lebih bernasib baik. Ini selaras dengan hasrat kerajaan untuk memberi tumpuan kepada golongan sasar terutama kumpulan berpendapatan 40 peratus terendah (B40).

Kualiti universiti awam

Keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu menjadikan belajar dalam negara menjadi pilihan utama berbanding luar negara. Hal ini tidak sewajarnya menjadi isu kerana tahap kualiti dan kecemerlangan universiti awam di negara semakin baik. Dalam kata lain, belajar dalam negara bukanlah satu keputusan kurang bijak kerana universiti awam di negara telah mempunyai kualiti yang setanding dengan universiti terkemuka luar negara.

Pengumuman QS World University Ranking 2016 baru-baru ini menunjukkan bahawa beberapa universiti awam telah berjaya memperbaiki kedudukan berbanding tahun lalu. Dalam senarai ranking tersebut, Universiti Malaya (UM) berada di tangga 133, UPM di kedudukan 270 (melonjak 61 tangga), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) – 288, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) – 302 dan Universiti Sains Malaysia (USM) – 330.

Keputusan ranking ini pastinya akan memberi impak kepada pengajaran dan pembelajaran pelajar. Ini kerana pencapaian universiti yang cemerlang adalah hasil dedikasi dan sumbangan ahli akademik atau tenaga pensyarah yang berkualiti tinggi. Ahli akademik inilah yang akan mendidik pelajar dengan penuh dedikasi, komitmen dan integriti selari dengan konsep ihsan yang dituntut dalam ajaran Islam.

Penting dinyatakan di sini bahawa belajar di universiti bukanlah hanya berkisar tentang mencari ilmu tetapi menyumbang dan berbakti. Seperti motto keramat UPM, “Berilmu, Berbakti”. Di universitilah, para pelajar ditekankan tentang kepentingan memberi dan menyumbang bakti kepada kesejahteraan masyarakat dan kemanusiaan. Usaha ini sebenarnya menyokong hasrat KPT untuk melahirkan graduan sebagai insan (human being) dan bukan modal insan semata-mata.

Membentuk Insan

Membentuk insan bukanlah satu usaha yang mudah dan boleh berlaku sekelip mata. Ia adalah proses yang panjang dan tidak boleh hanya diserahkan kepada universiti semata-mata. Walau bagaimanapun, ini tidak bermakna universiti perlu berpeluk tubuh. Sebaliknya, universiti mempunyai amanah dan tanggungjawab yang tersendiri untuk memastikan graduan yang dikeluarkan adalah graduan yang bercirikan keinsanan yang luhur.

Insan yang luhur inilah yang akan keluar ke pangkuan masyarakat dan seterusnya menjadi ahli masyarakat yang menyumbang kepada pembangunan dan kemajuan negara. Mereka bukan sahaja menjadi tenaga kerja mahir yang berperanan kepada pertumbuhan ekonomi negara, tetapi pemangkin kepada kebahagiaan negara dalam erti kata yang sebenar.

Kepada pelajar baharu yang telah mendaftarkan diri di universti masing-masing, manfaatkan keberadaan anda di kampus untuk mencapai kecemerlangan akademik. Pada masa yang sama, kecemerlangan akademik yang dikejar ini mestilah seiring dengan kecemerlangan sahsiah dan keperibadian yang tinggi. Jangan sia-siakan amanah ilmu ini.

Artikel ini telah diterbitkan oleh akhbar Berita Harian pada 14 September 2016

 

Prof. Datin Paduka Dr. Aini Ideris
Naib Canselor
Universiti Putra Malaysia

Updated:: 02/05/2017

MEDIA SHARING

SEE ALSO
CORPORATE STRATEGY AND COMMUNICATIONS OFFICE
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 8946.6003
03 8946.8972
C1511264313