Memaknakan Demokrasi - Prof. Madya Dr. Mohd Izani Mohd Zain | CORPORATE STRATEGY AND COMMUNICATIONS OFFICE
» ADVOKASI PUTRA » Kemanusiaan, Pendidikan, Politik, Ekonomi & Tadbir Urus » Memaknakan Demokrasi - Prof. Madya Dr. Mohd Izani Mohd Zain

Memaknakan Demokrasi - Prof. Madya Dr. Mohd Izani Mohd Zain

Demokrasi dan pilihan raya adalah dua perkara yang tidak boleh dipisahkan. Pilihan raya seringkali menjadi kayu ukur kepada pelaksanaan demokrasi dalam sesebuah negara. Bagi negara yang mula mengecap kemerdekaan atau menjalani pendemokrasian, pilihan raya menjadi keutamaan untuk membentuk kerajaan dan seterusnya memulakan sebuah perjalanan demokrasi yang panjang.

Negara jiran, Indonesia yang keluar daripada pemerintahan Soeharto pada 1998, mengadakan pilihan raya setahun selepas itu bagi memaknakan demokrasi. Mesir selepas era Hosni Mubarak pada 2011 turut mengadakan pilihan raya sebagai asas membentuk kerajaan demokratik dan pilihan rakyat. Apa yang jelas, pilihan raya menjadi instrumen penting dalam pelaksanaan demokrasi.

Malaysia mengadakan pilihan raya umum setiap empat atau lima tahun sekali. Dalam tempoh antara pilihan raya umum itu pula, lebih 10 pilihan raya kecil (PRK) terpaksa diadakan bagi memilih wakil rakyat baharu akibat kematian atau hilang kelayakan penyandang. Sejak Pilihan Raya Umum 2013, 12 PRK perlu diadakan. Ini termasuk dua PRK bagi kawasan parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar yang telah diadakan baru-baru ini.

Demokrasi seperti juga sistem dan aturan yang lain di dunia. Ia berkembang dan mengalami evolusi selari dengan peredaran zaman. Hakikatnya, demokrasi tidak hanya datang membawa pilihan raya. Demokrasi moden tidak lagi terhad dalam konteks pilihan raya dan institusinya seperti parlimen dan mahkamah, tetapi menjadi satu budaya politik yang mempromosi  nilai universal, pluralisme dan toleransi.

Meminjam pandangan sarjana politik tempatan, Prof. Mohamad Abu Bakar, sistem ciptaan Barat ini juga datang bersama idea kemajuan yang mencabar peranan agama dengan mengagungkan proses rasionalisasi, konsep kekayaan material, pembebasan daripada kongkongan adat, pemisahan politik daripada agama serta kemampuan sains dan tekonologi yang berjaya membekalkan manusia dengan keupayaan untuk menguasai dirinya dan alam sekeliling. Mana-mana negara yang menerima demokrasi tetapi menolak idea kemajuan ini akan dianggap tidak membawa aspirasi asal Barat.

Sehubungan dengan itu, menangani atau menguruskan demokrasi menjangkaui pilihan raya bukanlah satu perkara yang kecil. Jika demokrasi hanya tertumpu kepada pilihan raya, ia lebih mudah. Namun, menjayakan demokrasi dalam konteks budaya politik yang mempromosi nilai universal dan pluralisme, ia menjanjikan cabaran yang besar.

Demokrasi menjangkaui pilihan raya sememangnya memberi kesan yang mendalam kepada masyarakat Islam termasuk di Malaysia. Sebagai sebuah negara yang meletakkan Islam sebagai agama rasmi dan rakyatnya yang masih sensitif dengan nilai dan budaya tempatan, demokrasi ala Barat tidak sesuai dilaksanakan di Malaysia.

Soal kebebasan individu dan tuntutan hak asasi seringkali menjadi pengukur kepada demokrasi bentuk ini. Lebih-lebih lagi, demokrasi seringkali dilihat dalam satu bentuk sahaja iaitu acuan yang ditentukan oleh falsafah dan ideologi Barat. Hegemoni demokrasi Barat yang liberal amat sinonim dengan perjuangan hak asasi manusia dan kebebasan individu. Justeru, pelaksanaan demokrasi di Malaysia tidak terlepas daripada disorot dan dibandingkan dengan pelaksanaan demokrasi oleh negara Barat.

Tidak dinafikan, tuntutan hak asasi yang melampaui batas dan kebebasan individu secara mutlak antara cabaran yang perlu dihadapi oleh Malaysia. Lebih membimbangkan, ketika ruang kebebasan diraikan atas nama demokrasi, hak memilih umat Islam untuk melaksanakan tuntutan agama secara bebas dipertikaikan. Ternyata, masih wujud 'double standard' dalam soal kebebasan khususnya berkaitan dengan pelaksanaan tuntutan dalam ajaran Islam.

Maka di sinilah letaknya kepentingan demokrasi diterjemahkan dalam konteks Islam yang meletakkan Al-Quran dan As-Sunnah sebagai panduan, bukannya telunjuk dan ideologi Barat. Dalam kata lain, hegemoni terhadap demokrasi oleh Barat yang berpaksikan fahaman liberal dan kebebasan individu hendaklah diluntur dan digantikan dengan prinsip dan nilai Islam. Islam perlu memimpin demokrasi agar Demokrasi Terpimpin ini tidak terpisah dengan Islam sebagai cara hidup.

Banyak tulisan dan wacana tentang demokrasi dalam Dunia Islam dikaitan dengan peristiwa Arab Spring. Peristiwa tersebut dilihat sebagai titik tolak kepada pelaksanaan demokrasi moden yang perlu dihayati oleh negara Islam termasuk Malaysia. Impak Arab Spring menjadi faktor perlunya demokrasi dinilai semula dengan unsur kebebasan yang lebih mengiktiraf hak-hak sivil dan kebebasan serta kebangkitan generasi muda.

Bagaimanapun, bentuk demokrasi yang mahu dibawa oleh Mesir hasil peristiwa Arab Spring masih lagi kabur dan peranan agama dalam mewarnai demokrasi belum nampak kejituannya. Malah, kebangkitan rakyat Mesir menjatuhkan Hosni Mubarak bukanlah disebabkan faktor agama, sebaliknya tuntutan berkaitan kebebasan dan hak asasi yang turut menampilkan perjuangan kumpulan liberal.

Pelaksanaan demokrasi berpandukan agama amat penting demi menjaga kedaulatan agama dan kepentingan umat Islam. Dalam hal ini, saya tertarik dengan pandangan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam majlis Sambutan Ulang Tahun UMNO ke-70 peringkat negeri Johor bulan lalu. 

Beliau menyebut tentang pentingnya agenda nasionalisme UMNO sebagai teras perjuangan parti, menjadi instrumen untuk menterjemahkan Islam dengan sebaik-baiknya. Justeru, masa depan UMNO bergantung kepada bagaimana parti itu memperjuangkan politik yang berasaskan Islam atau Politik Islam. Mengambil semangat dan roh yang sama, demokrasi juga perlu menjadi alat untuk mempersembahkan Islam yang dapat memberi rahmat kepada setiap lapisan manusia dan bukannya menjadi proksi serta talian hayat kepada hegemoni barat.

Artikel ini telah diterbitkan oleh akhbar Utusan Malaysia pada 22 Jun 2016

 

Prof. Madya Dr. Mohd Izani Mohd Zain
Pensyarah
Fakulti Ekologi Manusia

Updated:: 02/05/2017

MEDIA SHARING

SEE ALSO
CORPORATE STRATEGY AND COMMUNICATIONS OFFICE
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 8946.6003
03 8946.8972
C1511264383