Menilai Keberkesanan Dasar Gaji Minimum - Dr. Mohd Yusof Saari | CORPORATE STRATEGY AND COMMUNICATIONS OFFICE
» ADVOKASI PUTRA » Kemanusiaan, Pendidikan, Politik, Ekonomi & Tadbir Urus » Menilai Keberkesanan Dasar Gaji Minimum - Dr. Mohd Yusof Saari

Menilai Keberkesanan Dasar Gaji Minimum - Dr. Mohd Yusof Saari

Sambutan Hari Buruh pada 1 Mei 2012 memberi khabar gembira kepada seluruh pekerja di Malaysia kerana buat pertama kalinya dasar gaji minimum diperkenalkan di Malaysia oleh Perdana Menteri pada 30 April 2012. Gaji Minimum hanya terpakai untuk gaji pokok sahaja dengan kadar bulanan ditetapkan sebanyak RM900 di Semenanjung Malaysia dan RM800 di Sabah, Sarawak dan Labuan. Pada 1 Mei 2016 adalah genap empat tahun pelaksanaannya di Malaysia.

Di Malaysia, dasar gaji minimum diperlukan kerana peratusan pendapatan buruh kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bukan sahaja rendah malah meningkat dengan kadar yang sangat perlahan. Antara tahun 2010 dan 2012, peratusan pendapatan buruh kepada KDNK hanya meningkat sebanyak satu peratus daripada 33 peratus.

Wujud “prima-facie” kepada keperluan dasar gaji minimum. Namun, bagaimana pula dengan keberkesanan pelaksanaannya setelah empat tahun diperkenalkan? Amalan dasar ini di negara lain telah menunjukkan ia menjadi alat pengagihan semula pendapatan negara yang efektif.

Analisis dapatan daripada tinjauan pendapatan isi rumah (HIS) di antara tahun 2012 dan 2014 boleh dijadikan kayu ukur kepada keberkesanan pelaksanannya di Malaysia. Data HIS yang terkini ialah pada tahun rujukan 2014 dan secara saintifiknya masih relevan untuk menggambarkan kedudukan pendapatan isi rumah tahun 2015.

HIS memperinci punca pendapatan isi rumah kepada empat sumber, iaitu pendapatan daripada pekerjaan bergaji, bekerja sendiri, pendapatan harta dan pelaburan, dan pindahan semasa (termasuk BR1M). Di antara keempat-empat sumber tersebut, pendapatan Pekerjaan Bergaji menjadi pembolehubah sasaran kepada penilaian dasar Gaji Minimum. Hal ini kerana kadar gaji pokok terkandung di dalam komponen Pekerjaan Bergaji.

Mengikut laporan HIS yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, di antara tahun 2012 dan 2014 peratusan pendapatan bergaji telah menyusut sebanyak dua peratus daripada 67%. Pendapatan daripada bekerja sendiri turut menunjukkan penyusutan sebanyak satu peratus daripada 17 peratus. Sebaliknya, peratusan pendapatan daripada harta dan pelaburan serta pindahan semasa masing-masing menunjukkan peningkatan sebanyak satu hingga dua peratus.

Berdasarkan analisis laporan HIS tersebut, ternyata dasar gaji minimum seolah-olah tidak memberi apa-apa kesan yang signifikan kepada pengagihan pendapatan negara. Jika pelaksanaannya berkesan, kita akan dapati peratusan pendapatan bergaji kepada jumlah pendapatan isi rumah akan meningkat di antara tahun 2012 dan 2014.

Data peratusan pendapatan buruh kepada KDNK juga menunjukkan tren yang sama sebelum pelaksanaan gaji minimum, meningkat hanya satu peratus kepada 35 peratus di antara tahun 2012 dan 2014.

Di dalam Bajet 2016, kerajaan telah mencadangkan agar kadar bulanan gaji minimum dinaikkan kepada RM1,000 di Semenanjung dan RM920 di Sabah, Sarawak dan Labuan. Penguatkuasaan kadar gaji minimum baharu ini dicadangakan pada 1 Julai 2016. Sebelum kadar baharu ini dilaksanakan adalah wajar bagi pihak bertanggungjawab untuk melaksanakan kajian khusus ke atas kepatuhan firma kepada dasar ini dan keberkesanannya kepada pengagihan pendapatan.

Kajian kepatuhan dan keberkesanan perlaksanaan gaji minimum sangat penting kerana negara menyasarkan peratusan pendapatan buruh kepada KDNK sebanyak 40 peratus menjelang 2020.

Berdasarkan dapatan kajian di negara-negara lain dan kajian oleh penulis sendiri, beberapa perkara berikut boleh dijadikan pertimbangan oleh penggubal dasar.

Pertama, keberkesanan dasar gaji minimum bergantung sepenuhnya kepada kepatuhan firma ke atas perintah tersebut. Kedua, dasar gaji minimum berpotensi memberi impak negatif kepada agihan pendapatan, kemiskinan dan pengangguran akibat tekanan kos pengeluaran dan inflasi. Ketiga, kebolehupayaan dasar gaji minimum di dalam pengagihan semula pendapatan terbatas kerana dasar tersebut hanya mempengaruhi buruh di sektor formal sahaja. Di Malaysia, sebahagian besar buruh terutamanya di luar bandar bekerja di sektor tidak formal.

Artikel ini telah diterbitkan oleh akhbar Berita Harian pada 7 Mei 2016

Dr. Mohd Yusof Saari
Pensyarah Kanan
Jabatan Ekonomi
Fakulti Ekonomi dan Pengurusan

Updated:: 02/05/2017

MEDIA SHARING

SEE ALSO
CORPORATE STRATEGY AND COMMUNICATIONS OFFICE
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 8946.6003
03 8946.8972
C1511264426