Orang Kita Liat Bayar Punca Hutang - Prof. Madya Dr. Mohamad Fazli Sabri | CORPORATE STRATEGY AND COMMUNICATIONS OFFICE
» ADVOKASI PUTRA » Kemanusiaan, Pendidikan, Politik, Ekonomi & Tadbir Urus » Orang Kita Liat Bayar Punca Hutang - Prof. Madya Dr. Mohamad Fazli Sabri

Orang Kita Liat Bayar Punca Hutang - Prof. Madya Dr. Mohamad Fazli Sabri

Laporan Bank Negara Malaysia mengenai hutang isi rumah di negara ini, antara tertinggi di Asia, iaitu 89 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) amat mengemparkan. Lebih-lebih lagi apabila Agensi kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) mendedahkan sejak penubuhan AKPK pada 2006 hingga 30 September 2016, lebih 482,138 pelanggan mendapatkan perkhidmatan kaunseling dan seramai 161,739 daripada jumlah itu berjaya dibantu melalui Program Pengurusan Kredit AKPK.

Mengamati angka itu, saya fikir adakah masalah keberhutangan ini disebabkan mudahnya akses kepada kemudahan kredit dan pinjaman dalam sistem pasaran dan kewangan negara kita? Atau sememangnya rakyat Malaysia perlu dibantu untuk mengurus pinjaman atau hutang kerana kurangnya pengetahuan, kemahiran dalam soal pengurusan kewangan peribadi serta sikap ambil tidak kisah terhadap hutang yang dibuat? Atau ia mendedahkan sikap orang Malaysia yang suka berhutang!

Apa yang menariknya, dapatan AKPK menunjukkan punca utama pelanggan mereka berdepan masalah kewangan adalah disebabkan perancangan kewangan lemah. Ini boleh diterjemahkan atau dalam bahasa paling mudah, ialah mereka tidak tahu merancang kewangan. Barangkali ada betulnya kerana statistik Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) pula menjelaskan sehingga September 2016, seramai 739,087 peminjam tidak pernah membuat bayaran balik pinjaman PTPTN dengan jumlah tertunggak sebanyak RM5.2 bilion.

Saya kira angka yang terpapar itu bagaikan berkait antara satu sama lain dengan isu utama, tabiat berhutang. Ini diperkukuhkan lagi dengan pendedahan Jabatan Insolvensi Malaysia mengenai 18,457 orang  diisytiharkan muflis pada 2015 dengan tiga sebab utama kebankrapan adalah pinjaman peribadi (28.3 peratus), pinjaman sewa beli kenderaan (25.6 peratus) dan pinjaman perumahan (13.6 peratus).

Tiga punca utama peminjam gagal membayar hutang adalah disebabkan oleh pengurusan kewangan yang lemah (26.2 peratus), tidak mengetahui mengenai hutang (23.6 peratus) dan krisis ekonomi (18.3 peratus).

Saya dapati, kajian dalam kalangan ahli akademik tempatan turut menunjukkan rakyat Malaysia, memiliki tahap literasi kewangan yang rendah-sederhana. Yang lebih mengejutkan lagi adalah budaya “berhutang” sudah mula menular dalam kalangan anak-anak. Saya sendiri sudah menjalankan kajian mengenai kompetensi dan sosialisasi kewangan dalam kalangan kanak-kanak, membabitkan 800 pelajar sekolah Tahun Satu Malaysia pada 2014.

Keadaan serius

Dapatan kajian itu, menunjukkan majoriti (80 peratus) pelajar sama ada pernah meminjamkan wang kepada rakan atau meminjam wang daripada rakan. Persoalannya ialah bagaimana kanak-kanak ini sudah pandai berhutang dalam konteks mereka. Ini suatu yang digusari dan perlu diberi perhatian serius.

Sebenarnya senario di atas, jelas menunjukkan rakyat Malaysia secara umumnya mempunyai bebanan hutang yang tinggi. Keadaan ini serius, amat membimbangkan serta perlu diberi perhatian dan bantuan segera.

Jika dianalisis daripada data dan statistik, saya fikir, faktor diri sendiri antaranya kurang pengetahuan dan berkemahiran pengurusan kewangan peribadi, sikap mementingkan kebendaan (materialistik) dan sikap ambil mudah terhadap hutang lebih banyak menyumbang kepada masalah hutang, berbanding faktor luaran yang sukar dikawal misalnya krisis ekonomi.

Sehubungan itu, saya berpandangan pendidikan kewangan dilihat mampu membantu rakyat atau pengguna berdepan dengan situasi ekonomi tempatan dan global yang tidak menentu serta mampu menangani krisis kewangan peribadi dan keluarga yang semakin meruncing.

Dalam menangani isu ini, semua kira semua pihak perlu memainkan peranan aktif dalam memastikan program literasi kewangan boleh diakses kepada semua kumpulan masyarakat tanpa meminggirkan mana-mana pihak termasuk golongan minoriti. Hakikatnya, Malaysia sungguh bertuah, kerana dalam hal ini, negara kita terkehadapan dalam program literasi kewangan kerana terdapat pelbagai agensi kerajaan, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang secara langsung atau tidak langsung menyediakan dan mengendalikan program pendidikan kewangan, bertujuan meningkatkan tahap literasi kewangan, termasuk inisiatif BNM melalui penubuhan AKPK.

Justeru, saya mencadangkan agar program literasi kewangan terus menjadi salah satu agenda nasional selaras hasrat untuk Malaysia menjadi sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2020. Langkah ke arah itu digerakkan dengan memperkenalkan kepada para pelajar kepentingan merancang dan mengurus kewangan pada peringkat sekolah lagi.

Ini dapat dilihat apabila BNM dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia, melaksanakan modul penerapan pendidikan kewangan kepada murid sekolah rendah dan menengah. Bukan itu sahaja, pihak industri seperti Majlis Perancangan Kewangan Malaysia (MFPC) dan Persatuan Perancangan Kewangan Malaysia (FPAM) juga turut menawarkan program pendidikan kewangan mereka tersendiri. NGO seperti Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) dan Persatuan Ekonomi Pengguna dan Keluarga Malaysia (MACFEA) juga mempunyai program dan modul literasi kewangan mereka. 

Walaupun pelbagai program dirangka, persoalannya ialah mengapa masih ramai lagi rakyat kita berdepan masalah berhutang? Dan soalan seterusnya ialah sejauhmana rakyat sendiri menyedari akan kewujudan program pendidikan kewangan yang dinyatakan di atas dan mengambil inisiatif untuk melengkapi diri mereka dengan pengetahuan dan kemahiran berkaitan pengurusan kewangan peribadi dan keluarga. Ramai dalam kalangan kita beranggapan bahawa tidak perlu belajar untuk mengurus kewangan.

Pembelajaran Sepanjang Hayat

Sebetulnya, tidak sukar untuk mengatasi masalah kewangan peribadi dan keluarga. Saya yakin bahawa sekiranya setiap ahli masayrakat mempunyai pengetahuan dan kemahiran yang secukupnya mereka mampu berhadapan dengan situasi genting ini. Pendidikan kewangan sewajarnya dijadikan sebagai pembelajaran sepanjang hayat dalam kehidupan seseorang individu. Persoalan yang sering dibahaskan ialah bila masa yang sesuai untuk diajar dan diperkenalkan dengan pengetahuan dan kemahiran berkaitan pengurusan kewangan? Banyak kajian lepas bersetuju bahawa pendidikan kewangan seharusnya bermula awal di rumah dan ibu bapa merupakan individu terpenting yang mencorak nilai, sikap dan tingkahlaku kewangan anak-anak. Walaubagaimanaun, ianya tidak boleh terhenti di situ sahaja. Pengukuhan perlu terus dipergiatkan lagi melalui aktiviti kurikulum dan ko-kurikulum di peringkat sekolah rendah dan menengah seterusnya ke institusi pengajian tinggi. Usaha telah dilakukan oleh BNM dan KPM dengan memperkenalkan elemen pendidikan kewangan dalam subjek tertentu pada peringkat sekolah rendah dan menengah. Di peringkat institusi pengajian tinggi (IPT) pula, kerajaan dengan kerjasama Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) telah menguruskan modul pengurusan kewangan sebagai subjek pilihan di 52 IPTA dan IPTS dan 30 buah politeknik. Kesinambungan pembelajaran perlu diteruskan sehingga pelajar bergraduat dan memasuki alam pekerjaan. Namun bukan semua pihak majikan ada menyediakan dan menganjurkan program pendidikan kewangan untuk kebajikan kakitangan mereka. Data menujukkan bahawa ramai dalam kalangan pekerja muda telah mengalami masalah keberhutangan sehingga membawa kepada muflis. Sehubungn itu, pihak majikan perlu mengambil langkah proaktif dengan menyediakan program dan aktiviti berkaitan pendidikan kewangan di tempat kerja.

Dalam isu hutang ini daripada pengamatan dan kajian pernah saya lakukan, sekiranya seseorang itu membuat perancangan ke atas hutang yang bakal dibuat serta mampu mengurus hutang dengan baik maka mereka tidak akan terdedah kepada masalah keberhutangan. Pengetahuan kewangan yang baik serta mempunyai sikap yang bertanggungjawab ke atas hutang dibuat menyumbang kepada tingkahlaku pengurusan hutang yang baik.

Saya fikir dalam perkembangan semasa teknologi komunikasi dan maklumat serta pasaran kewangan menuntut perubahan dalam pelaksanaan program literasi kewangan. Apa yang dimaksudkan ialah pendekatan yang kreatif, inovatif dan santai perlu dalam diterapkan dalam merangka program pendidikan kewangan manakala kaedah penyampaian yang interaktif perlu digunapakai untuk memastikan keberkesanan di semua peringkat baik di rumah sehinggalah di tempat kerja. Tiada istilah “one size fits all”. Pihak penyedia dan pelaksana program juga perlu membuat penilaian secara berterusan dan penambahbaikan ke atas kandungan dan kaedah penyampaian dalam usaha untuk memastikan program yang disediakan memberi impak kepada kumpulan sasaran mereka dan memberi pulangan yang setimpal ke atas pelaburan yang dilakukan. Pendidikan kewangan juga harus mengambilkira kumpulan sasaran yang kurang mendapat perhatian dalam masyarakat misalnya mereka yang tidak bekerja atau diberhentikan kerja, kumpulan minoriti dan “socially disadvantaged”.

Penglibatan dan peranan aktif semua pihak amat penting dalam usaha untuk menjadikan rakyat Malaysia celik dan bijak mengurus kewangan terutama dalam suasana ekonomi tempatan dan global yang tidak menentu serta peningkatan kos sara hidup. Cabaran utama sebenarnya ialah sejauhmana pengguna sendiri mampu untuk berubah ke arah menjadi pengguna yang bijak, berhemah dan berintegriti (3B) dalam mendepani suasana ekonomi semasa. Pengguna sendiri harus bersedia untuk berubah dan perubahan tersebut perlu bermula sekarang dan seharusnya pendidikan kewangan dijadikan pembelajaran sepanjang hayat semua individu.

Kursus Universiti dan Sinergi Semua Pihak

Situasi ekonomi semasa merupakan peluang terbaik untuk semua pengguna dan rakyat untuk belajar menjadi pengurusan kewangan peribadi yang bijak, berhemah dan bermaklumat. Dalam konteks di institusi pengajian tinggi, saya ingin mencadangkan agar kursus berkaitan dengan pendidikan kewangan dijadikan kursus universiti yang wajib bagi semua pelajar di institusi pengajian tinggi awam mahupun swasta. Semua pelajar tanpa mengira bidang pengajian mereka sama ada perubatan, kejuruteraan, ekonomi, pendidikan, usuluddin dan sebagainya perlu mengambil kursus ini. Ianya secara tidak langsung dapat membantu mereka untuk mengurus wang biasiswa dan pinjaman pendidikan yang diterima dan sebagai persediaan sebelum mereka melangkah ke alam pekerjaan. Selain itu sebagai rol model yang terbaik, ibu bapa perlu mempamerkan amalan pengurusan yang bijak. Anak-anak sentiasa memerhatikan individu terdekat dengan persekitaran mereka, maka janganlah jadi seperti ketam yang ingin mengajar anaknya berjalan betul tapi dia sendiri tidak berjalan betul. Semua individu juga perlu mengambil inisiatif untuk melengkapi diri mereka dengan pengetahuan dan kemahiran pengurusan kewangan. Pihak majikan juga tidak terkecuali perlu memikirkan aktiviti dan program pendidikan kewangan yang sesuai untuk diperkenalkan di tempat kerja.

Usaha yang bersepadu dan menyeluruh daripada semua pihak termasuk ibu bapa, guru-guru, majikan, pihak institusi kewangan, pihak perancang dan penasihatan kewangan, kementerian, pertubuhan bukan kerajaan dan ahli masyarakat perlu digembleng dan semua pihak perlu melihat pendidikan kewangan ini sebagai tanggungjawab bersama! Bersama kita melahirkan rakyat Malaysia yang celik dan bijak wang.

Artikel ini telah diterbitkan oleh akhbar Berita Harian pada 15 November 2016

Prof. Madya Dr. Mohamad Fazli Sabri
Ketua Jabatan
Jabatan Pengurusan Sumber Dan Pengajian Pengguna
Fakulti Ekologi Manusia

Updated:: 02/05/2017

MEDIA SHARING

SEE ALSO
CORPORATE STRATEGY AND COMMUNICATIONS OFFICE
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 8946.6003
03 8946.8972
C1511264585