Pemimpin Sepakat Perkuat Parti - Prof. Madya Dr. Mohd Izani Mohd Zain | CORPORATE STRATEGY AND COMMUNICATIONS OFFICE
» ADVOKASI PUTRA » Kemanusiaan, Pendidikan, Politik, Ekonomi & Tadbir Urus » Pemimpin Sepakat Perkuat Parti - Prof. Madya Dr. Mohd Izani Mohd Zain

Pemimpin Sepakat Perkuat Parti - Prof. Madya Dr. Mohd Izani Mohd Zain

Umum telah mengetahui berita penggantungan Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada jawatan Timbalan Presiden UMNO oleh Majlis Tertinggi UMNO. Asas penggantungan ialah kegagalan beliau membantu tugas-tugas presiden seperti yang termaktub dalam perkara 9.8.2.1 dalam Perlembagaan UMNO. Majlis Tertinggi UMNO memutuskan keputusan tersebut secara sebulat suara selepas oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengambil sikap berkecuali.

Keputusan ini dilihat sebagai langkah terakhir mengurangi krisis kepimpinan dalam UMNO. Ruang untuk merapatkan saf kepimpinan UMNO khususnya antara Datuk Seri Mohd Najib dan Tan Sri Muhyiddin sebenarnya telah disediakan dalam Perhimpunan Agong UMNO tahun lalu. Bagaimanapun ia tidak berlaku seperti yang dihasratkan oleh banyak pihak.

Memandangkan Tan Sri Muhyiddin merupakan pemimpin UMNO daripada Johor, UMNO Johor menjadi perhatian. Dalam hal ini, UMNO Johor menerima keputusan penggantungan tersebut agar dapat terus melaksana dan meletakkan keutamaan dalam agenda penyatuan parti. Pengerusi UMNO Johor yang juga Menteri Besar Johor, Datuk Mohamed Khaled Nordin berkata, UMNO perlu bergerak dalam satu kumpulan. Bagaimanapun, UMNO Bahagian Pagoh yang bermesyuarat semalam menolak keputusan MT UMNO menggantungkan jawatan ketuanya. Keputusan ini sememangnya telah dijangka dan tidak mengejutkan.

Perpaduan dan akar umbi UMNO

Keputusan menggantungkan bekas Timbalan Presiden UMNO membawa kepada beberapa senario penting. Pertama, ia menunjukkan bahawa UMNO perlu memastikan semua kepimpinan tertingginya berada dalam satu barisan dan bekerjasama untuk masa depan parti. Kedua, UMNO selepas ini secara logiknya, lebih mudah untuk bergerak dan merancang kerana semua kepimpinan tertingginya seia sekata. Ketiga, keputusan menggantung Timbalan Presiden perlu mendapat sokongan akar umbi UMNO sebagai jalan untuk ke hadapan.

Perpaduan UMNO meliputi sesama pemimpin dan ahli amat kritikal dan penentu jatuh bangun parti keramat orang Melayu itu. Cabaran utama UMNO sebenarnya tidak datang daripada luaran tetapi dalaman parti. Perpecahan UMNO bukan sahaja merugikan parti orang Melayu terbesar di negara, tetapi memberi keyakinan kepada parti pembangkang menjadi lebih kuat. Lim Kit Siang dalam bukunya “BA and Islamic State” mengakui krisis politik tanah air pada 1998 yang menggugat hegemoni Barisan Nasional dan UMNO telah meniup semangat dalam kalangan parti pembangkang untuk bersatu.

Hal ini jelas menunjukkan bahawa parti pembangkang menggunakan kelemahan UMNO untuk menjadi kuat. Akan tetapi, kekuatan UMNO mestilah datang daripada UMNO sendiri dan bukan kelemahan pihak lain. Menggunakan kelemahan orang lain untuk kuat bukanlah satu langkah yang lestari. Lama-kelamaan, kita perlu mengekalkan kekuatan parti berdasarkan kemampuan kita sendiri.

Justeru, mampukah perpaduan dan kekuatan UMNO diperteguh selepas penggantungan Timbalan Presiden ini? Apakah keputusan sekumpulan elit politik ini benar-benar mewakili suara akar umbi? Ini antara persoalan yang sering dilontarkan bagi merenung masa depan UMNO. UMNO perlu menangani persoalan ini dalam kadar segera untuk terus dilihat sebagai parti yang kuat dan teguh.

Lebih penting, kekuatan UMNO selama ini terletak pada kumpulan akar umbinya yang sentiasa setia dan menyokong parti dalam apa jua situasi sekalipun. Ini adalah kelebihan UMNO. Namun, kesetiaan ini tidak boleh dipandang ringan sebaliknya kekuatan akar umbi UMNO ini mesti dipelihara dan diperkukuh dari masa ke semasa.

Kurangi krisis dalaman

Dalam perkembangan terbaru, Tan Sri Muhyiddin tidak akan merayu agar dikembalikan jawatan Timbalan Presiden. Pada masa yang sama, beliau bertekad untuk terus bersuara atas kepentingan UMNO. Tam   Perkembangan ini pastinya akan melanjutkan polemik dalaman UMNO, tambahan pula UMNO Bahagian Pagoh menolak keputusan menggantung jawatan beliau.

Justeru, UMNO perlu segera mengurus polemik dan perbezaan pandangan dalam parti. Walaupun perbezaan pandangan adalah satu hal yang sihat yang memperlihatkan sisi demokratik dalam parti, UMNO mesti mengelak daripada menerima kesan hasil pergolakan dalaman yang tidak terkawal.

Dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 2013, UMNO telah berjaya memperbaiki pencapaiannya berbanding Pilihan Raya Umum 2008 dengan menambah jumlah kerusi parlimen daripada 79 kepada 88. Jumlah ini sebenarnya kurang satu kerusi daripada jumlah keseluruhan yang dimiliki oleh pakatan pembangkang, iaitu 89 kerusi parlimen.  Hal ini bermakna kekuatan UMNO hampir menyamai dengan keseluruhan kekuatan pakatan pembangkang dari segi penguasaan jumlah kerusi parlimen.

UMNO perlu mempertahankan prestasi ini. Ia hanya boleh dilakukan jika UMNO terus kukuh dan perpaduan parti berada dalam keadaan terbaik. Keseragaman minda dan tindakan antara pemimpin dan akar umbi perlu diperkasa untuk membina kekuatan UMNO. UMNO tidak boleh lagi menghadapi krisis kerana ia boleh merencatkan pembangunan dan kemajuan parti. Selepas penggantungan Tan Sri Muhyiddin, saf kepimpinan tertinggi UMNO menjadi mudah untuk bekerja sebagai satu pasukan. Mereka kesemuanya seika dan sekata. Perkembangan ini sewajarnya memberi suntikan baharu kepada pemimpin UMNO untuk bekerja lebih keras lagi.

Pada masa yang sama, suara akar umbi perlu diberi perhatian lebih istimewa oleh UMNO. Mereka inilah yang mendukung UMNO selama ini. Kehilangan pemimpin tidak sewajarnya melemahkan UMNO. Pemimpin boleh datang dan pergi tetapi agenda perjuangan berasaskan kepentingan akar umbi parti adalah lebih besar dan utama. Hanya UMNO boleh menentukan nasib UMNO, bukan pihak lain.

Artikel ini telah diterbitkan oleh akhbar Berita Harian pada 28 Februari 2016

Prof. Madya Dr. Mohd Izani Mohd Zain
Pensyarah
Fakulti Ekologi Manusia

Updated:: 02/05/2017

MEDIA SHARING

SEE ALSO
CORPORATE STRATEGY AND COMMUNICATIONS OFFICE
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 8946.6003
03 8943.1296
C1505963279