Perkasakan Lagi Modal Insan - Dr. Mohd Yusof Saari | CORPORATE STRATEGY AND COMMUNICATIONS OFFICE
» ADVOKASI PUTRA » Kemanusiaan, Pendidikan, Politik, Ekonomi & Tadbir Urus » Perkasakan Lagi Modal Insan - Dr. Mohd Yusof Saari

Perkasakan Lagi Modal Insan - Dr. Mohd Yusof Saari

Kebanyakkan negara sedang membangun pada masa kini cenderung untuk meningkatkan liberalisasi perdagangan sebagai strategi utama bagi merangsang pertumbuhan ekonomi negara masing-masing.

Sehubungan itu, Malaysia tidak ketinggalan merebut peluang tersebut dalam usaha memperkukuhkan lagi kedudukan ekonomi negara ini. Terbaharu, Malaysia bersama tiga negara Asia Tenggara lain iaitu Vietnam, Singapura dan Brunei telah menjadi rakan dagangan di bawah Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).

TPPA juga melibatkan lapan negara lain iaitu Amerika Syarikat, Jepun, Kanada, Australia, New Zealand, Chile, Peru dan Mexico. Untuk makluman, kesemua negara TPPA telah menandatangani perjanjian itu di Auckland, New Zealand, 2 Februari lalu.

Cuma dalam artikel ini saya mahu menyentuh kesan perjanjian itu terhadap jurang agihan pendapatan di Malaysia berdasarkan satu rumusan dapatan kajian yang menilai impak perdagangan TTPA ke atas perkara tersebut.

Tumpuan diberikan terhadap impaknya kepada pekerja mengikut kumpulan kemahiran dan kumpulan etnik. Dapatan kajian diperolehi ini adalah hasil daripada projek kerjasama penyelidikan di antara saya dan pasukan penyelidik daripada Centre for Integrated Sustainability Analysis (ISA), University of Sydney, Australia, yang diketuai oleh Muhammad Daaniyall Abd Rahman.

Kajian ini menawarkan analisis yang komprehensif kerana menggunakan liputan data yang luas di bawah kerangka yang dipanggil global multiregional input-output (MRIO). MRIO merekod aliran perdagangan di antara Malaysia dan 188 negara lain mengikut pelbagai industri. Dengan menggunakan MRIO, kajian dapat membuat perbandingan impak akibat daripada perdagangan dengan TPPA dan blok perdagangan lain iaitu BRICS (Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan) serta ASEAN.

Untuk impak ke atas pekerja mengikut kumpulan kemahiran, analisis mendapati eksport dengan TPPA berpotensi meningkatkan jurang agihan pendapatan berbanding eksport dengan BRICS dan ASEAN. Jurang agihan pendapatan yang diukur oleh indek Theil diperolehi seperti berikut: 0.139 untuk TPPA, 0.058 untuk BRICS dan 0.050 untuk ASEAN. Untuk makluman, indeks Theil yang menghampiri nilai sifar menunjukkan agihan pendapatan yang semakin seimbang.

Antara sebabnya, perdagangan dengan TPPA meningkatkan jurang agihan pendapatan berbanding BRICS dan ASEAN adalah kerana perjanjian ini cenderung meningkatkan pendapatan kumpulan pekerja mahir berbanding pekerja kurang mahir.

Analisis juga mendapati eksport dengan TPPA cenderung untuk melebarkan jurang agihan pendapatan di antara kumpulan etnik berbanding eksport dengan BRICS dan ASEAN. Terdapat tiga pemerhatian utama yang boleh dirumuskan.

Pertama, etnik Cina cenderung mendapat manfaat yang lebih tinggi daripada perdagangan TPPA berbanding dengan Melayu dan India. Daripada keseluruhan eksport dengan TPPA, setiap pekerja etnik Cina menerima USD25.19 berbanding USD25.09 dan USD21.18 yang diterima bagi setiap pekerja India dan Melayu.

Kedua, eksport ke TPPA memberi impak yang berbeza ke atas etnik Melayu bergantung kepada kumpulan pekerjaan mereka. Pekerja yang berkemahiran tinggi menerima pendapatan yang lebih tinggi berbanding pekerja yang berkemahiran sederhana dan rendah.

Ketiga, setiap pekerja etnik India menerima pendapatan lebih tinggi untuk kategori pekerja berkemahiran sederhana dan rendah berbanding etnik Cina dan Melayu. Akibatnya, jurang pendapatan kumpulan etnik India adalah lebih rendah bagi kedua-dua kategori pekerjaan tersebut berbanding dengan etnik lain.

Bagaimanapun dapatan kajian turut mengesahkan tentang manfaat yang bakal diperoleh kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia jika perdagangan TPPA  dilaksanakan. Ini memandangkan setiap eksport ke TPPA mengandungi nilai tambah yang lebih tinggi berbanding eksport ke BRICS dan ASEAN.

Namun, pertumbuhan ekonomi menjadi tidak mampan jika hanya sebahagian kecil sahaja daripada populasi atau penduduk yang menerima faedah daripada pertumbuhan tersebut. Mahu tidak mahu dalam isu TPPA, beberapa dasar seperti memperkasakan modal insan dalam kalangan rakyat negara ini serta memperkukuh jaringan keselamatan sosial perlu dipertimbangkan oleh pihak kerajaan. Tujuannya untuk mengurangkan impak terhadap jurang agihan pendapatan apabila perjanjian ini mula dilaksanakan.

Artikel ini telah diterbitkan oleh akhbar Utusan Malaysia pada 10 Disember 2016

Dr. Mohd Yusof Saari
Pensyarah Kanan
Jabatan Ekonomi
Fakulti Ekonomi dan Pengurusan

Updated:: 02/05/2017

MEDIA SHARING

SEE ALSO
CORPORATE STRATEGY AND COMMUNICATIONS OFFICE
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 8946.6003
03 8943.1296
C1505963076