Realiti Dan Jangkaan GST - Dr. Mohd Yusof Saari | CORPORATE STRATEGY AND COMMUNICATIONS OFFICE
» ADVOKASI PUTRA » Kemanusiaan, Pendidikan, Politik, Ekonomi & Tadbir Urus » Realiti Dan Jangkaan GST - Dr. Mohd Yusof Saari

Realiti Dan Jangkaan GST - Dr. Mohd Yusof Saari

Kebanyakan ahli ekonomi dan penggubal dasar menjangkakan perlaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) berpotensi untuk memberi tekanan kepada penurunan tingkat harga. Antara beberapa faktor yang menjurus ke arah jangkaan ini adalah pertamanya, sistem percukaian GST mengurangkan kos pengeluaran berbanding dengan amalan sistem percukaian SST (cukai jualan dan perkhidmatan), dan yang keduanya adalah pengenalan kepada Pembekalan Berkadar Sifar bagi beberapa keluaran makanan negara.

Hasil kajian impak GST yang telah dijalankan oleh pasukan penyelidik daripada Institut Kajian Dasar Pertanian dan Makanan (IKDPM) dan Universiti Utara Malaysia turut mendapati pelaksanaan GST berpotensi menurunkan tingkat harga barangan dan perkhidmatan sebanyak 4.4 peratus.

Namun, realitinya yang terjadi pada masa kini adalah tingkat harga barangan dan perkhidmatan terus menunjukkan peningkatan dan bercanggah dengan jangkaan ahli ekonomi dan penggubal dasar. Indeks Harga Pengguna (IHP), iaitu kayu pengukur kepada peningkatan kos perbelanjaan barangan dan perkhidmatan isi rumah menunjukkan peningkatan yang ketara bagi perbelanjaan ke atas kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol.

Di antara Disember 2014 and Disember 2015, IHP meningkat sebanyak 2.7 peratus di mana 53 peratus daripada peningkatan berkenaa  disumbangkan oleh peningkatan dalam kos perbelanjaan ke atas kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol.

Mengapakah wujudnya jurang di antara realiti dan jangkaan? Berikut dihuraikan serba ringkas beberapa alasan yang membawa kepada kewujudan jurang realiti-jangkaan ini.

Pertama, permodelan yang dibangunkan untuk menilai impak GST mengandaikan bahawa keseluruhan firma atau pertubuhan perniagaan patuh sepenuhnya kepada sistem GST. Perbezaan dalam kadar pematuhan akan mempengaruhi perbezaan di dalam tingkat harga.

Ketika kajian impak GST dijalankan oleh pasukan penyelidik IKDPM dan UUM, sekitar hanya 34 peratus daripada jumlah pertubuhan perniagaan yang berdaftar di bawah sistem GST. Jika kadar pematuhan 34 peratus ini diambil kira, kami jangkakan IHP akan menunjukkan peningkatan berbanding penurunan.

Kedua, kejatuhan nilai ringgit menyebabkan kos import bahan mentah menjadi lebih mahal dan seterusnya mempengaruhi tingkat harga barangan dan perkhidmatan. Ekonomi Malaysia secara keseluruhannya bergantung sebanyak 19 peratus kepada import bahan mentah manakala sektor pemprosesan makanan pula bergantung sebanyak 9 peratus.

Akibat daripada kejatuhan nilai ringgit, sebahagian kos pengeluaran yang menjadi lebih murah kesan daripada GST tidak dapat mengimbangi kesan langsung dan tak langsung akibat daripada peningkatan kos import.

Yang terakhir adalah kesan berganda daripada dasar yang cenderung untuk menekan kenaikan harga. Pengenalan upah minimum dan rasionalisasi subsidi petroleum adalah contoh terbaik kepada dasar yang terbukti memberi tekanan kepada kenaikan tingkat harga.

Kajian yang dibuat oleh penulis sendiri mendapati dasar upah minimum berpotensi untuk meningkatkan kos buruh bagi keseluruhan sektor ekonomi, iaitu sebanyak 6.4 peratus.  Signifikannya hal ini lantas membawa kepada peningkatan tingkat harga sebanyak 1.8 peratus.

Berbanding dengan kadar pertukaran ringgit yang dipengaruhi oleh faktor-faktor luaran, dasar-dasar seperti ini adalah di bawah kawalan pihak penggubal dasar.

Penjelasan di atas merujuk kepada perkara yang sudah pun berlaku. Persoalannya, ada ruangkah untuk rakyat menikmati penurunan tingkat harga makanan pada masa hadapan?  Adakah penglibatan Malaysia di dalam Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik mampu memberi manfaat kepada jumlah pembekalan makanan?

Mungkinkah penglibatan secara aktif oleh syarikat berkepentingan kerajaan (GLC) di dalam sektor pertanian dan pemprosesan makanan diperlukan bagi memastikan bekalan makanan mencukupi dengan harga yang murah? Tuntasnya, persoalan-persoalan seperti ini tidak mudah untuk dijawab dan memerlukan kepada kajian yang lebih mendalam.

Artikel ini telah diterbitkan oleh akhbar Harian Metro pada 7 Mac 2016

Dr. Mohd Yusof Saari
Pensyarah Kanan
Jabatan Ekonomi
Fakulti Ekonomi dan Pengurusan

Updated:: 02/05/2017

MEDIA SHARING

SEE ALSO
CORPORATE STRATEGY AND COMMUNICATIONS OFFICE
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 8946.6003
03 8946.8972
C1511191437