UMNO Perlu Cetus Keterujaan 'Kejut' Melayu - Prof. Madya Dr. Mohd Izani Mohd Zain | CORPORATE STRATEGY AND COMMUNICATIONS OFFICE
» ADVOKASI PUTRA » Kemanusiaan, Pendidikan, Politik, Ekonomi & Tadbir Urus » UMNO Perlu Cetus Keterujaan 'Kejut' Melayu - Prof. Madya Dr. Mohd Izani Mohd Zain

UMNO Perlu Cetus Keterujaan 'Kejut' Melayu - Prof. Madya Dr. Mohd Izani Mohd Zain

SEBAGAI sebuah gerakan kebangsaan, pencerahan dan amal bakti, UMNO bukan sekadar parti politik biasa. UMNO mempunyai amanah dan tanggungjawab yang perlu dilunaskan demi kepentingan agama, bangsa dan negara. Dan inilah faktor utama kenapa UMNO masih relevan dan boleh terus bertahan.

Parti politik biasa yang lazim hanya bercakap soal kuasa, pengaruh dan bagaimana hendak menang pilihan raya. Fokus mereka hanya menjatuhkan pihak lawan dengan apa cara sekali pun. Untuk itu, matlamat boleh menghalalkan cara. Jangka hayat parti pula bergantung kepada pemimpin tertentu. Pemimpin pergi, maka parti pun turut pergi tanpa nesan. Parti politik seumpama ini sememangnya tidak boleh bertahan lama. Lebih-lebih lagi dasar perjuangan parti mirip perjuangan peribadi.

UMNO bukanlah sebuah parti politik lazim seperti dijelaskan di atas. Parti yang kini berusia 70 tahun menjadi parti teras kerajaan sejak merdeka. Dalam tempoh itu, UMNO bukan sahaja memenuhi fungsi dan keperluan politik kepartian, tetapi bertanggungjawab mengisi tuntutan kebangsaan yang mencakupi soal kesepaduan sosial dan pembinaan negara bangsa.

Semak semula Agenda Melayu

UMNO juga membuka jalan pencerahan dan mendepani cabaran. UMNO jugalah memperjuangkan amal bakti kepentingan orang Melayu dan rakyat Malaysia atas semangat permuafakatan dan perkongsian kuasa. Perhimpunan UMNO yang baru sahaja melabuhkan tirai Sabtu lalu tidak dapat lari daripada mengungkap kembali sejarah dan cabaran perjuangan UMNO.

Seperti ucapan dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak, bahawa UMNO 'telah beribu budi dan merintis berjuta jalan, demi pembelaan untung nasib bangsa Melayu dan Bumiputera'. Tiada siapa boleh nafi sejarah perjuangan dan jasa UMNO kepada orang Melayu dan Bumiputera di negara ini.

Namun, itu tidak menghalang UMNO sentiasa diperhatikan dalam konteks masa depan parti dalam suasana dan situasi zaman yang berubah. Meneroka perjuangan UMNO dalam era berbeza berbanding ketika ia ditubuhkan pada 1946, pastinya menawarkan pelbagai saranan dan kritikan agar parti keramat ini kekal relevan dan terus diterima rakyat khususnya orang Melayu.

Untuk melangkah 70 tahun lagi dan lebih, UMNO perlu mendepani cabaran semasa yang kritikal dengan menumpu kepada agenda dan strategi tepat. Agenda Melayu perlu disemak semula. Usaha ini bukan menerusi laungan penuh bersemangat dan retorik, tetapi agenda yang didokumentasikan secara bertulis dan jelas sebagai pelan induk dan hala tuju kelangsungan orang Melayu di negara ini.

Cabaran Melayu

Hal ini, semakin kritikal apabila melihat cabaran kelangsungan orang Melayu, terutama dalam aspek kebolehsaingan mereka sama ada pada peringkat nasional mahupun global. Walaupun tidak dinafikan menerusi dasar kerajaan dan UMNO, ada orang Melayu berjaya dan menempa kejayaan, akan tetapi ramai juga orang Melayu di luar sana yang masih bergelut dan tercicir dalam persaingan yang semakin mencabar.

UMNO tidak ada pilihan selain perlu mencipta keterujaan dalam kalangan orang Melayu untuk mereka berdaya saing, boleh dilakukan melalui rancangan khusus bertujuan menentukan tahap persaingan, sekali gus menjamin kelangsungan mereka dalam dunia yang cukup kompleks. Ini termasuk soal pekerjaan dan mendapat pendidikan berkualiti.

Menerusi Agenda Melayu yang didokumentasikan secara bertulis dengan sasaran yang jelas lagi tegas, nasib dan masa depan orang Melayu lebih terjamin. Meskipun kerajaan sedang giat menyusun rangka Transformasi Nasional 2050 (TN50) bagi membentuk negara bangsa yang benar-benar berwibawa serta berminda par excellence, ia lebih bersifat inklusif untuk semua kaum.

Sehubungan itu, keperluan menyediakan Agenda Melayu yang khusus dan komprehensif tetap relevan untuk diusahakan. Perlu diingatkan, orang Melayu tidak sewajarnya takut akan hak dan ketuanan mereka kerana ia termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, sebaliknya mereka perlu bimbang jika gagal melengkapkan diri untuk bersaing.

Kemuka tawaran baharu

Dalam hal ini, penulis berpandangan, usul perwakilan Johor agar UMNO kemuka tawaran baharu kepada orang Melayu perlu diambil perhatian serius parti. Hanya melalui cara ini, UMNO dapat bina semula keyakinan orang Melayu bahawa mereka tetap dibela. Tidak dinafikan, hanya UMNO mampu dan boleh memperjuangkan kelangsungan orang Melayu negara ini.

Dengan kedudukan sebagai parti teras kerajaan, UMNO mempunyai kelebihan dan kebebasan yang tidak dimiliki parti lain. Penulis percaya, Agenda Melayu tidak mampu diketengahkan dalam pakatan pembangkang lebih-lebih lagi DAP yang cukup tegar memperjuangkan hak kesamarataan.

Bukan sahaja soal kepentingan orang Melayu, banyak lagi agenda tidak dapat disepakati oleh pakatan pembangkang sehingga mereka belum mampu menyediakan polisi bersama yang jelas. Jika kita gagal merancang, kita sebenarnya merancang untuk kegagalan. Ungkapan ini sering kita dengar yang membawa erti betapa pentingnya perancangan demi masa depan lebih baik. 70 tahun pertama, memperlihatkan UMNO berdepan dengan cabaran yang semakin kompleks. Untuk 70 tahun lagi, cabaran pasti lebih getir.

Kelangsungan orang Melayu mesti diperjuangkan. Agenda Melayu perlu disemak semula dengan mengemukakan pelan dan dokumen bertulis lebih jelas dan tegas. UMNO tidak perlu gusar kerana agenda ini tidak ambil hak orang lain. UMNO hanya berlaku adil kepada orang Melayu yang selama ini mendukungnya.

Artikel ini telah diterbitkan oleh akhbar Berita Harian pada 5 Disember 2016

Prof. Madya Dr. Mohd Izani Mohd Zain
Pensyarah
Fakulti Ekologi Manusia

Updated:: 02/05/2017

MEDIA SHARING

SEE ALSO
CORPORATE STRATEGY AND COMMUNICATIONS OFFICE
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 8946.6003
03 8946.8972
C1511264368