Bahaya Lambakan Produk Ubat Ajaib - Prof. Madya Dr. Malina Osman | CORPORATE STRATEGY AND COMMUNICATIONS OFFICE
» ADVOKASI PUTRA » Kesihatan, Perubatan & Bioteknologi » Bahaya Lambakan Produk Ubat Ajaib - Prof. Madya Dr. Malina Osman

Bahaya Lambakan Produk Ubat Ajaib - Prof. Madya Dr. Malina Osman

Bagaimana agaknya sesuatu produk ubat itu menjadi pilihan untuk merawat sesuatu penyakit? Mengapa pula kadang-kadang kita dapati seseorang doktor yang merawat akan cenderung memberi atau mengesyorkan sesuatu ubat berbanding ubat  lain? Mengapa pula tidak ada doktor yang merawat pesakit kencing manis menggunakan sekadar produk-produk herba atau air berjenama  yang didakwa berpotensi menyembuhkan?

Dalam kesihatan dan perubatan, terdapat tiga jenis produk yang berbeza namun sering dianggap sama oleh kebanyakan individu dalam masyarakat. Yang pertama, adalah produk yang diambil untuk mengekalkan seseorang sihat dan yang kedua, produk yang berupaya menyembuhkan dan yang ketiga, produk yang digunakan untuk merawat penyakit kronik. Ketiga-tiga produk berkenaan tidak sama dari segi tindakan di dalam tubuh, dos yang diperlukan serta cara ianya dikumuhkan dari badan. Ia juga tidak sama apabila disetarakan dari aspek kesan terhadap penyembuhan sesuatu penyakit.

Salah faham yang sering timbul ialah apabila sesuatu produk yang hanya mengandungi zat dan mineral tambahan serta kandungan aktif bahan tertentu (yang tidak sampai ke paras terapeutik) dianggap sebagai ganti ubat-ubat yang telah dikenalpasti sebagai ubat yang menyembuhkan sesuatu penyakit atau yang digunakan untuk merawat penyakit kronik.

Produk dari herba contohnya, biasanya disaring serta diperhatikan kesan tertentu yang berlaku melalui kajian makmal dan haiwan. Sebagai contoh, ia mungkin mengandungi bahan yang berperanan mengawal tekanan darah. Namun kajian peringkat itu sahaja tidak cukup menjadi bukti ia mampu menggantikan ubat kencing manis seperti glibencalamide, metformin, insulin dan beberapa ubat mengawal paras gula darah yang lain! Ia mungkin boleh membantu semasa seseorang yang sihat yang berusaha mengelakkan penyakit kencing manis, namun tidak cukup untuk mengawal mereka yang sudah didiagnos berpenyakit seperti darah tinggi atau kencing manis.

Sesuatu produk yang berupaya menyembuhkan penyakit dalam kalangan manusia melalui peringkat penyelidikan yang sangat ketat. Kajian tersebut dinamakan Kajian Rawak Klinikal yang juga memperuntukkan kumpulan kawalan sebagai perbandingan.

Kajian tersebut yang bermula dari mengenal pasti bahan aktif yang berpotensi menyembuhkan sesuatu penyakit, ditapis dan disaring serta melalui proses kimia agar ianya sesuai digunakan dalam sistem tubuh. Kemudiannya diuji dalam sel-sel kultur dalam makmal sebelum ia diuji pula dalam populasi haiwan makmal dalam tempoh tertentu.

Fasa berikutnya ialah mengenalpasti kesemua kesan sampingan bahan tersebut pada haiwan serta dokumentasi paras dos yang dikenalpasti paling tepat untuk digunakan secara selamat serta paras dos yang dikenalpasti boleh menyebabkan kesan toksik.

Selepas melepasi fasa di peringkat haiwan makmal, bahan berkenaan kemudiannya diuji dalam populasi manusia, iaitu para sukarelawan. Kesemua kesan samping atau tidak diingini terus didokumentasikan serta ditentukan dos-dos yang diperlukan. Peringkat seterusnya pula, bahan tersebut akan diuji pada skala yang lebih besar dalam peringkat yang disebut ujian klinikal yang melibatkan beberapa hospital. Ia tidak terhenti setakat itu sahaja, namun terus diuji pada skala massa melibatkan negara-negara di pelbagai benua.

Selepas fasa-fasa itu disempurnakan, ujian statistik yang komprehensif akan menentukan sama ada bahan tersebut benar-benar terbukti berkesan. Kadang-kadang, ujian statistik membuktikan keberkesanan sesuatu produk namun terdapat kesan sampingan yang menunjukkan ia tidak selamat digunakan. Dalam kes seperti ini, bahan tersebut biasanya akan ditarik-balik serta-merta dan diisytihar tidak selamat untuk kegunaan manusia.

Sama seperti penghasilan ubat-ubatan, penghasilan sesuatu vaksin juga melalui fasa sedemikian. Keberkesanan vaksin bukanlah ditentukan melalui ucapan testimoni beberapa orang tetapi penglibatan penyelidikan klinikal komprehensif yang biasanya melibatkan beberapa puluh hingga ratusan ribu responden atau pesakit. Ini juga meliputi luas kawasan yang menyeluruh merangkumi pelbagai peringkat umur, bangsa dan juga jantina.

Adalah tidak benar untuk mendakwa sesuatu produk berkesan hanya dengan merakamkan testimoni atau hujah dari mereka yang mendapat kesan positif dari penggunaan bahan berkenaan. Hujah testimoni hanya bersandarkan deskriptif tanpa analisa statistik adalah terdedah kepada bias, salah deduksi  dan berpotensi menghasilkan kesimpulan yang tidak tepat.

Tanpa sesuatu ujian rawak klinikal yang ketat, mana mungkin ada produk sangat ‘ajaib’ yang boleh didakwa mampu menyembuh berpuluh penyakit kronik. Tidak mungkin juga ada produk yang diambil pada dos sangat rendah untuk tujuan supplement berupaya menggantikan ubat yang digunakan untuk merawat penyakit tersebut. Tidak mungkin air suling yang ditambah ion positif serta dialkalikan namun tidak mengandungi sebarang bahan aktif mampu menyembuhkan penyakit angin ahmar, kanser dan sebagainya.

Kuasa menyembuhkan milik Allah SWT. Tidak ada yang mustahil untuk berlakunya keajaiban apabila ia diizinkan berlaku olehNya. Namun membohongi masyarakat dengan menjual produk-produk tanpa asas penyelidikan saintifik yang benar adalah pengkhianatan terhadap akal, ilmu dan kehormatan diri sesama insan.

Artikel ini telah diterbitkan oleh akhbar Utusan Malaysia pada 16 Ogos 2016

Prof. Madya Dr. Malina Osman
Pensyarah
Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan

Updated:: 02/05/2017

MEDIA SHARING

CORPORATE STRATEGY AND COMMUNICATIONS OFFICE
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 8946.6003
03 8943.1296
C1505963247