Masyarakat Punca Zika Menular - Prof. Madya Dr. Malina Osman | CORPORATE STRATEGY AND COMMUNICATIONS OFFICE
» ADVOKASI PUTRA » Kesihatan, Perubatan & Bioteknologi » Masyarakat Punca Zika Menular - Prof. Madya Dr. Malina Osman

Masyarakat Punca Zika Menular - Prof. Madya Dr. Malina Osman

Negara kita Malaysia adalah rantau geografi yang memiliki iklim, taburan hujan, kelembapan serta persekitaran yang sesuai untuk pembiakan nyamuk Aedes aegypti. Suka atau tidak suka, kita semua berada dalam zon yang terdedah kepada penyakit-penyakit yang dibawa oleh serangga tersebut.

Selain Denggi dan Chikungunya, Aedes juga adalah pembawa demam kuning iaitu penyakit yang sering melanda rantau tropika Afrika. Terkini iaitu pada 1 September 2016, melalui kenyataan rasmi Menteri Kesihatan mengesahkan penemuan kes Zika pertama negara yang juga penyakit berjangkit yang disebarkan melalui gigitan nyamuk Aedes.

Zika mempunyai gejala dan tanda klinikal hampir sama seperti demam denggi namun terdapat perbezaan dari segi keseriusan, komplikasi kepada kehamilan serta tempoh yang lebih lama kewujudan virus penyebab dalam tubuh individu yang dijangkiti.

Bukti saintifik menunjukkan kuman penyebab zika boleh berada dalam tubuh individu yang dijangkiti sehingga lebih tiga bulan, dan turut dikesan di dalam kelenjar air liur dan juga air kencing. Reaksi imuniti terhadap penyakit ini buat masa ini masih dikatakan seperti denggi iaitu individu berkenaan terlindung oleh antibodi yang dihasilkan sekali gus melindunginya untuk jangkitan akan datang.

Unik mengenai Zika, selain gigitan Aedes, ia juga mampu disebarkan melalui ibu mengandung kepada kandungan janinnya, melalui pemindahan darah dan terdapat dokumentasi saintifik ia turut berpotensi ditularkan melalui hubungan seks. Oleh itu, kita dapati, kawalan dan pencegahan untuk penyakit yang secara rasminya didokumentasikan pertama kali di negara kita pada hari ini mencakupi aktiviti yang agak luas serta komitmen sepenuhnya dari setiap individu masyakarat. Perbincangan mengenainya akan diperincikan dalam artikel akan datang.

Seperti yang kita tahu, Malaysia mula dilanda wabak denggi pada awal tahun 70an dahulu. Sejak wabak demi wabak dikenal pasti, kita terus menghadapi masalah kesihatan yang diakibatkan oleh jangkitan nyamuk Aedes. Kita belajar dari pengalaman bahawa disebabkan persekitaran cuaca kita yang sesuai untuk pembiakan spesis nyamuk tersebut, cerapan di persekitaran mendapati andai terdapat sebarang faktor tambahan menyebabkan bertambahnya pembiakan nyamuk Aedes, wabak denggi jika berlaku bakal meleret serta sukar untuk dibendung.

Antara faktor-faktor berkenaan termasuklah sampah-sarap yang tidak dibuang, rumah, kawasan terbiar, aktiviti pembinaan serta kebersihan alam sekitar yang tidak diambil berat. Selain itu, kepadatan dan mobiliti (pergerakan keluar masuk) penduduk, lokasi penempatan pekerja warga asing serta bilangan institusi pendidikan yang menyediakan asrama penempatan pelajar.

Kajian mendapati sampah di persekitaran berperanan dalam penyebaran denggi. Kajian universiti tempatan sebelum ini mendapati hampir 70 peratus pembiakan nyamuk Aedes terdapat dalam sampah-sampah plastik yang bersepah di sekitar. Selain itu, melalui cerapan persepsi dari mereka yang tinggal di sesuatu tempat menganggap tanggungjawab membersihkan alam sekitar adalah tanggungjawab pihak pengurusan.

Mereka yang tinggal secara sementara di sesuatu tempat juga biasanya tidak menganggap kediaman sementara mereka itu milik mereka yang perlu dijaga dan dipelihara kebersihannya.

Apatah lagi untuk peduli akan sampah yang bergelimpangan, bilik air atau tandas terbiar tidak dibersihkan. Pernah dijalankan satu program gotong royong bersama komuniti setempat yang majoriti penduduknya merupakan pelajar antarabangsa, ia langsung tidak mendapat sambutan dari mereka yang tinggal di situ. Lokaliti itu sebaliknya terus menjadi lokaliti hotspot wabak denggi hingga ke hari ini.

Isu utama yang terlibat dalam menangani wabak penyakit akibat nyamuk Aedes ini ialah kebergantungan majoriti ahli dalam masyarakat kepada sistem mekanikal secara automatik seperti semburan kabus (fogging) serta menyerahkannya kepada pihak yang berkenaan untuk menanganinya.

Hakikat yang perlu kita sedari adalah komitmen dan penglibatan diri kita sendiri. Perhatian perlu ditumpukan kepada kaedah pencegahan yang mampu kita lakukan dan bagaimana tindakan tersebut boleh kita lakukan. Tindak balas tingkah laku ini sebenarnya bergantung kepada sikap dan amalan seseorang, satu motivasi yang menentukan apakah dirinya memandang isu kawalan denggi sebagai sesuatu yang perlu diambil peduli dan sebaliknya.

Kementerian Kesihatan melalui  hebahan media dari semasa ke semasa mengesyorkan cara terbaik untuk mencegah penyakit bawaan Aedes agar masyarakat untuk lebih peka dengan kebersihan sekeliling. Satu usaha yang sebenarnya perlu disambut oleh masyarakat secara positif serta persediaan sikap untuk menerimanya sebagai amalan untuk segera dilakukan, secara berterusan.

Langkah pencegahan itu pula adalah langkah yang perlu dilakukan secara berterusan dengan menumpukan fokus terhadap setiap individu untuk mengelakkan diri mereka daripada jatuh sakit. Sudah pasti, untuk mengelakkan diri dari dijangkiti, anda perlu mengelakkan diri dari digigit nyamuk. Sebelum digigit nyamuk, kita perlu pula berusaha mengurangkan semua potensi pembiakan nyamuk di persekitaran.

Sebenarnya, masyarakat perlu mendahulukan aspek menjaga kebersihan sekitar, memusnahkan tempat berpotensi untuk pembiakan Aedes, melindungi diri, memelihara struktur rumah dengan alat perangkap nyamuk dewasa, binaan kalis dari pembiakan dan kemasukan nyamuk dewasa, berbanding mengharapkan aktiviti semburan kabus. Masyarakat adalah kunci penggerak menangani dan mencegah penyakit bawaan nyamuk Aedes. Namun, masyarakat itu ialah kita. Di mana jua kita berada, tanggungjawab itu adalah milik kita bersama, bukan dihalalkan pula pada orang lain dengan anggapan kita ini bukan sebahagian dari mereka.

Artikel ini telah diterbitkan oleh akhbar Utusan Malaysia pada 3 September 2016

 

Prof. Madya Dr. Malina Osman
Pensyarah
Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan

Updated:: 02/05/2017

MEDIA SHARING

CORPORATE STRATEGY AND COMMUNICATIONS OFFICE
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 8946.6003
03 8946.8972
C1511191482