Vaksin: Menerima Pendapat Pakar - Prof. Madya Dr. Malina Osman | CORPORATE STRATEGY AND COMMUNICATIONS OFFICE
» ADVOKASI PUTRA » Kesihatan, Perubatan & Bioteknologi » Vaksin: Menerima Pendapat Pakar - Prof. Madya Dr. Malina Osman

Vaksin: Menerima Pendapat Pakar - Prof. Madya Dr. Malina Osman

Statistik terkini oleh Kementerian Kesihatan mengenai penyakit difteria pada 27 Julai mengesahkan lagi 5 kes baharu dengan satu kematian. Sejak kes difteria mula dilaporkan berlaku beberapa bulan lalu dengan mencatatkan beberapa angka kematian, isu vaksin terus menjadi liputan utama dalam diskusi dalam kalangan masyarakat.

“Aura’ perdebatan mengenai vaksin ini telahpun berlegar sejak beberapa dekad lalu. Diskusi itu terus menjadi isu hangat di platform media alternatif yang akhirnya pada masa ini mereka yang menolak vaksin membentuk kelompok yang terus mencabar hebat polisi vaksin negara. Kelompok anti vaksin mempunyai sebab tersendiri untuk mereka berbuat demikian. Bagaimanapun, pola amalan yang mereka lalukan secara berasingan itu tidak lagi terbatas secara peribadi. Kewujudan media alternatif membolehkan apa sahaja yang dilakukan setiap individu dikongsikan untuk tatapan awam. Ini secara umum sangat mempengaruhi individu yang tidak mempunyai asas pengetahuan dan pengalaman saintifik.

Sebahagian golongan anti vaksin adalah mereka yang terpelajar serta merupakan individu yang dihormati masyarakat. Antara hujah mereka menolak vaksin ialah vaksin mempunyai komplikasi sangat bahaya, ditanggap menyalahi hukum agama, agenda provokasi yahudi serta merupakan batu locatan pihak tertentu mengaut keuntungan.

Walau perspektif berbeza, kita perlu tahu mengapa vaksin itu wujud dan sangat disyorkan, bagaimana ia bertindak dalam tubuh kita serta bagaimana sesuatu vaksin itu disahkan selamat sebelum ianya disahkan selamat untuk masyarakat awam.

Vaksin adalah bahan yang menghasilkan antibodi dalam tubuh seseorang terhadap penyakit tertentu. Ia mengandungi komposit bahan yang telah dinyahaktifkan kandungan toksiknya, yang mana kandungan biologi tersebut diperlukan untuk mengaruhkan antibodi terhadap sesuatu penyakit secara semulajadi. Sebagai contoh, vaksin terhadap difteria mengandungi bahan terdiri binaan molekul tertentu dari kuman difteria yang telah dimusnahkan komponen toksiknya; yang mana binaan itu menyebabkan tindak balas tubuh menghasilkan antibodi terhadap penyakit difteria.

Secara umum, penghasilan vaksin sama seperti penghasilan ubat yang digunakan dalam rawatan perubatan, iaitu ia melalui Ujian Rawak Klinikal yang sangat ketat serta didokumentasikan kesemua kesan sampingan yang berpotensi berlaku. Namun, pengetahuan mengenai rumitnya sesuatu ujian klinikal itu tidak difahami oleh golongan anti vaksin.

Mereka secara umumnya mendefinisikan saintifik menurut acuan mereka tanpa asas pengetahuan yang benar. Justeru, fokus perbincangan mereka dalam mengemukakan hujah menolak vaksin menyimpang serta tidak mengikut terma dan syarat ilmu.

Laman web Children’s Hospital of Philadephia memaparkan hasil kajian yang sangat menarik dalam membahaskan isu tersebut. Pembentangan mereka pada November 2015 itu yang bertajuk “Mengapa maklumat anti-vaksin sangat persuasif?

Analisa kandungan laman web yang menjelaskan perkembangan strategi promosi vaksin. Kajian tersebut telah menilai sebanyak 480 laman web anti vaksin dan mendapati sebanyak 65% daripada laman web itu mengatakan vaksin sangat bahaya, 62% darinya menyebut vaksin menyebabkan autism, manakala 41% darinya memberikan maklumat vaksin boleh menyebabkan kerosakan otak. Untuk menyokong hujah tersebut, 65% dari laman web itu menyebut ianya dari penemuan saintifik tanpa perincian manakala 30% dari laman web berkenaan bergantung kepada testimoni! Lebih menarik, laman-laman web itu bukan sahaja memberikan maklumat tidak benar mengenai vaksin, 19% daripadanya mempromosikan perubatan alternatif dan 10% daripadanya mempromosikan homeopathy.

Tambah mengelirukan apabila ada yang mempromosikan diet tertentu sebagai ganti kepada vaksin dan juga merawat autism akibat vaksin. Kajian saintifik sebenarnya bukanlah mainan sesuatu hujah. Dalam mana-mana hasil akademik, tatacara penghasilan serta rekabentuk penyelidikan untuk mengesahkan keberkesanan serta selamat sesuatu bahan perlu diperincikan dengan menyandarkan kepada konsep validiti dan reliabiliti.

Adalah tidak benar sekadar menyebut hujah penemuan saintifik namun apa dan bagaimana dilakukan tidak didedahkan . Dalam konteks penyelidikan saintifik, testimoni adalah bukti yang PALING LEMAH untuk memberikan kesimpulan keberkesanan sesuatu bahan.

Dalam isu yang mengaitkan vaksin dan autism pula, TIDAK ada bukti saintifik yang mengaitkan vaksin dan autism. Kajian pada 1998 yang melaporkan hasil penemuan 12 kanak-kanak yang didakwa mendapat autism akibat vaksin telah ditarik balik oleh majalah Lancet pada 2010 selepas ianya didapati mengandungi data palsu. Penyiasatan lanjut akhirnya mendapati bahawa penulis kajian tersebut sebenarnya ditaja oleh kelompok tertentu yang mengemukakan saman terhadap syarikat vaksin tertentu. Pembohongan data kajian terserlah apabila penyiasatan mendapati lima dari 12 kanak-kanak yang dilaporkan itu telahpun mendapat autism sebelum mereka menerima vaksin! Namun, golongan anti vaksin terus membuat propaganda dan berbohong melalui maklumat mengatakan bahawa kes tersebut sebenarnya telah disemak semula dan sebahagian data telah diperakui benar. Hal seperti inilah sebenarnya menjadi ‘duri dalam daging’ serta digunakan oleh mereka yang tidak kita pasti apa agendanya terus bertindak menentang polisi vaksin.

Kesimpulannya, terlalu banyak skop dalam kehidupan kita yang masih tidak diketahui. Jika kita bukan ahli dalam sesuatu bidang, jangan pula memandai membuat kesimpulan. Tanyalah mereka yang lebih tahu.

Artikel ini telah diterbitkan oleh akhbar Utusan Malaysia pada 1 Ogos 2016

Prof. Madya Dr. Malina Osman
Pensyarah
Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan

Updated:: 02/05/2017

MEDIA SHARING

CORPORATE STRATEGY AND COMMUNICATIONS OFFICE
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 8946.6003
03 8943.1296
C1506053932