Gangguan Gagak Masih Berterusan - Prof. Madya Dr. Hafidzi Mohd. Noor | CORPORATE STRATEGY AND COMMUNICATIONS OFFICE
» ADVOKASI PUTRA » Pertanian, Perhutanan, Alam Sekitar & Makanan » Gangguan Gagak Masih Berterusan - Prof. Madya Dr. Hafidzi Mohd. Noor

Gangguan Gagak Masih Berterusan - Prof. Madya Dr. Hafidzi Mohd. Noor

Kajian yang dilakukan Universiti Putra Malaysia (UPM) pada 2003 dan 2014 mendapati masalah yang ditimbulkan oleh gagak tidak berubah sepanjang tempoh 10 tahun.

Gagak rumah biasa dilihat di Bandar-bandar di Malaysia terutama di pesisiran pantai barat Semenanjung. Berbanding dengan burung yang biasa mendiami kawasan bandaran seperti merpati, tiong, walit dan layang-layang; burung gagak yang dianggap perosak sering menjadi aduan orang ramai.

Gagak rumah (Corvus splendens) berasal dari India. Taburannya hingga selatan Myanmar di timur dan Iran di barat. Spesies ini dibawa masuk ke Klang oleh penanam kopi untuk mengatasi masalah ulat perosak kopi pada akhir kurun ke-19. Tanaman kopi tidak menjadi, tetapi sebaliknya gagak pula menjadi haiwan perosak.

Warnanya yang hitam dan tabiat memakan bangkai membentuk imej ‘kotor dan negatif’, namun burung gagak mempunyai beberapa keistimewaan. Gagak mempunyai nisbah saiz otak yang terbesar dalam kalangan burung berbanding dengan saiz tubuh. Bahkan nisbah saiz otak tersebut adalah lebih besar berbanding dengan haiwan lain seperti kuda, kucing dan babi. Sebab itu gagak dilihat lebih cerdik.  Ini juga menjadikan gagak lebih cepat menyesuaikan diri dengan persekitaran dan situasi baru. Gagak mempunyai kemampuan untuk mengambil makanan dalam keadaan yang sukar dan mengesan kembali makanan yang disembunyikan. Gagak juga sering meletakkan makanan yang keras di atas jalanraya supaya hancur kesan kenderaan yang lalu lalang. Kemampuan gagak mengecam ciri-ciri wajah manusia dan melarikan diri menjadikan usaha kawalan seperti memburu dan menembak gagak sukar.

Gagak kini menjadi ancaman di seluruh dunia. Bandaraya Tokyo umpamanya menghadapi ancaman gagak yang serius apabila menjadi punca gangguan sistem keretapi. Burung gagak yang berkerumun di pencawang elektrik menyebabkan litar pintas yang menjadikan sistem keretapi tergendala. Lebih parah lagi ialah insiden serangan gagak yang menyebabkan kematian di India. Di German pula gerakan besar-besaran dilakukan untuk menembak seekor gagak yang amat agresif untuk mengelakkan kejadian buruk ke atas orang ramai. Seorang anggota polis trafik di Kuala Lumpur pernah diserang oleh sekumpulan gagak yang mematuk topi keledarnya dengan paruh yang tajam. Kejadian-kejadian ini menjadikan gagak seekor burung yang merbahaya dan bukan sahaja mendatangkan masalah imej atau kekotoran semata-mata. 

Kajian yang dibuat oleh UPM pada tahun 2003 dan 2014 menggambarkan situasi gangguan gagak di sekitar Kuala Lumpur dan Klang. Berdasarkan kepada tinjauan yang dibuat ke atas pandangan penduduk di Tanjung Harapan, Pelabuhan Klang; masalah gagak sebagai haiwan perosak diakui oleh 100% penduduk yang ditemu ramah; berbanding dengan 10% paling tinggi bagi serangga dan haiwan perosak yang lain seperti lalat, nyamuk, tikus, kucing, anjing, ular dan lain-lain.  

Carta di atas menunjukan reaksi orang ramai berdasarkan soal selidik yang dijalankan di sekitar Klang, Meru dan Kapar pada tahun 2014.  Kotoran dari najis ialah masalah utama di samping mengotori kawasan dengan menyelongkar tong sampah dan bunyi bising yang mengganggu ketenteraman. Hasil soal selidik ini tidak jauh berbeza dengan tinjauan yang dibuat dalam kalangan penduduk di sekitar Tanjung Harapan, Pelabuhan Kelang sepuluh tahun terdahulu, iaitu pada tahun 2003. Ini menunjukkan bentuk masalah dari burung gagak tidak berubah sejak sepuluh tahun yang lalu, iaitu kekotoran, najis dan gangguan bunyi bising.

Kajian yang dibuat di sekitar Kuala Lumpur juga mendapati tiga masalah utama gagak ialah menyelongkar tong sampah, tompokan najis dan gangguan bunyi bising. Di samping itu, warga Kuala Lumpur juga mengalami gangguan serangan dan mencuri makanan. Kejadian ini pernah dilaporkan di Klang di mana gagak mencuri makanan dari pelanggan yang sedang menikmati hidangan di sebuah restoran. Pengalaman ini amat menakutkan dan boleh menjejaskan pengusaha makanan. Walaupun orang ramai tidak selesa dengan gagak kerana kekotoran, najis dan bunyi bising, namun penyakit yang berpotensi disebarkan oleh gagak lebih membimbangkan. Penularan West Nile virus seperti yang dilaporkan di Amerika Syarikat amat membimbangkan kerana risiko kematian akibat jangkitan West Nile virus adalah sama berbanding dengan Japanese encephalitis (JE) yang pernah berlaku di negara kita dalam insiden Bukit Pelanduk, Negeri Sembilan.

Kebimbangan yang lebih besar ialah penularannya melalui vektor nyamuk yang menghisap darah gagak dan memindahkannya kepada manusia. Meskipun belum ada kes dilaporkan di negara ini, namun kewaspadaan terhadap bahaya jangkitan West Nile virus perlu disedari. Justeru menyedari ancaman gagak, pelbagai kaedah kawalan disarankan. Setakat ini menembak adalah kaedah yang berkesan. Namun ia perlu dilakukan secara berkala dengan kos upah yang tinggi. Kaedah memasang perangkap juga berkesan. Walaubagaimanapun gagak mungkin belajar untuk mengelak perangkap. Meletakkan umpan yang dibubuh ubat pelali/racun ada risiko keracunan kepada haiwan lain.

Pemantauan populasi gagak juga penting. Ini melibatkan pemahaman tentang biologi dan tabiat hidup gagak. Gagak adalah burung yang hidup secara berkelompok yang mengandungi sekitar 50 ekor burung. Walau bagaimanapun, ia bertelur secara berasingan. Jarang sepohon pokok menempatkan lebih dari satu sarang. Bilangan pokok yang menyediakan tempat bersarang seperti semarak api Delonix regia yang menyediakan cabang berbentuk ‘V’ boleh dipelbagaikan dengan pokok hiasan alternatif. Ini memudahkan bancian sarang di samping program pemusnahan sarang untuk tujuan kawalan. Musim bertelur gagak ialah pada pertengahan tahun, iaitu sekitar April hingga Jun. Pemantauan sarang boleh dibuat dengan lebih kerap dalam tempoh tersebut.

Pengurusan gagak bukan sekadar menjalankan kawalan secara langsung dengan menembak dan memasang perangkap, tetapi menjaga kebersihan secara berterusan adalah asas kawalan. Sikap masyarakat jadi penentu samada masalah gagak dapat diatasi. Menjaga kebersihan akan menghalang gagak memperoleh makanan. Ini termasuk pengasingan sampah dan menggunakan tong sampah yang bertutup. Sikap prihatin masyarakat dalam mengurus sisa sampah organik akan membantu majlis daerah dan perbandaran untuk menjaga kebersihan persekitaran dengan lebih berkesan.

Peranan masyarakat boleh dipertingkat melalui kempen kesedaran. Media maya, cetak dan elektronik boleh membentuk sikap yang positif masyarakat bandar untuk mengekalkan kebersihan persekitaran. Edaran brosur maklumat kepada peniaga dan orang ramai di pasar, premis perniagaan khususnya pengusaha makanan dan taman awam boleh dilakukan untuk meningkatkan lagi penyertaan orang ramai dalam kempen kawalan gagak dan haiwan perosak lain.

Artikel ini telah diterbitkan oleh akhbar Utusan Malaysia pada 29 September 2016

Prof. Madya Dr. Hafidzi Mohd. Noor
Pensyarah
Fakulti Pertanian

Updated:: 02/05/2017

MEDIA SHARING

CORPORATE STRATEGY AND COMMUNICATIONS OFFICE
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 8946.6003
03 8943.1296
C1505963359