Kajian Baru Hasilkan Variasi Durian Bermutu - Prof. Madya Dr. Yahya Awang | CORPORATE STRATEGY AND COMMUNICATIONS OFFICE
» ADVOKASI PUTRA » Pertanian, Perhutanan, Alam Sekitar & Makanan » Kajian Baru Hasilkan Variasi Durian Bermutu - Prof. Madya Dr. Yahya Awang

Kajian Baru Hasilkan Variasi Durian Bermutu - Prof. Madya Dr. Yahya Awang

Apabila mendengar nama Musang King atau Raja Kunyit tentunya penggemar durian akan terus membayangkan sejenis durian tempatan yang isinya berwarna kuning terang dan tebal, dengan rasa lemak manis dan sedikit pahit. Buat masa ini Musang King adalah jenis durian yang paling popular dan mendapat permintaan yang menggalakkan meskipun harganya mahal. Sejak populariti Musang King ini meletup, klon yang dulunya popular seperti IOI (D168) dan D24 kian pudar.

Adakah Musang King sejenis durian baharu dan apakah yang menyebabkan durian ini menjadi begitu popular? Musang King telah didaftar di Jabatan Pertanian sebagai D197 pada 1993. Ini bermakna Musang King telah lama wujud, sekian lama sebelum pendaftarannya.

Seperti kebanyakan klon durian yang ada di Malaysia, kewujudan Musang King bukannya melalui proses kaji selidik dan program pembiakbakaan yang rumit. Ia ditemui, kemudiannya dikenalpasti mempunyai ciri-ciri yang boleh memenuhi citarasa pengguna lalu dikembangkan dan diperkenalkan kepada orang ramai.

Proses ini tidak melalui kaedah pembiakan yang mungkin sebahagian daripada kita menganggap klon durian yang popular di negara ini telah dibangunkan melalui kaedah kacukan. Jauh sekali mengaplikasikan kaedah kejuruteraan genetik.

Terdapat beberapa pengecualian dalam konteks ini, di mana beberapa klon durian kacukan atau hibrid seperti MDUR 78, MDUR 79 dan klon MDUR 88 telah dibangunkan oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian (MARDI) pada awal 1980an. Sehingga kini, setahu penulis belum ada lagi klon kacukan lain yang diperkenalkan di pasaran.

Mengambil pengajaran bagaimana sesuatu jenis durian itu boleh berkembang dan menjadi popular di Malaysia dan seterusnya menjadi satu komoditi eksport, usaha yang serupa mungkin boleh dilakukan. Selain memikirkan untuk mengaplikasikan kaedah kacukan dan teknik molekul dan kejuruteraan genetik yang memerlukan peruntukan dan kemahiran saintifik yang tinggi, usaha yang lebih mudah boleh diterokai dengan mengenal pasti pokok durian secara individu yang mempunyai ciri komersial.

Bahan tanaman vegetatif daripada pokok individu ini boleh diperbanyakkan dan ditanam di pusat-pusat penyelidikan dan di kebun-kebun petani sebagai bahan kajian. Kajian di pelbagai lokasi ini boleh disifatkan sebagai kajian verifikasi setempat (local verification trail). Data atau maklumat yang diperoleh boleh diolah dan dibandingkan. Melalui kaedah ini selain dapat mengenal pasti tahap pengeluaran dan kualiti buahnya, kita juga dapat menentukan kesesuaian atau adaptasi sesuatu jenis/klon durian bagi sesuatu sistem agroekologi. Sistem agroekologi ini pastinya mengambil kira pelbagai aspek komponen cuaca dan iklim, tanah dan amalan kultura yang diamalkan.

Malah saya percaya dalam kalangan klon durian Musang King sendiri mungkin terdapat variasi atau perbezaan antara buah yang dikeluarkan oleh ladang berlainan. Ada baiknya jika variasi dan faktor yang menyebabkan kewujudan variasi ini dikenalpasti. Kewujudan variasi dalam kalangan Musang King dan lain jenis durian hanya boleh diketahui sekiranya klon-klon ini yang kini ditanam di pelbagai tempat di Malaysia dibanci dan ciri-ciri yang terperinci (termasuk genetik/cap jari genetik) dilakukan. Lebih baik lagi apabila kita dapat mengumpulkan semua individu ini untuk kajian variasi setempat.

Satu ketika dahulu, apabila tiba musim durian, pasar raya dan gerai-gerai buah di Malaysia akan penuh dengan durian yang diimport dari Thailand. Tetapi kini, pemandangan ini sudah tidak kelihatan lagi. Ini menunjukkan bahawa durian yang dikeluarkan di Malaysia mempunyai ciri-ciri yang digemari dan diterima baik oleh pengguna negara ini berbanding durian import. Nampaknya, selain klon, tahap kematangan boleh memainkan peranan yang penting dalam menentukan penerimaan pengguna. Berbanding durian Thailand yang lazimnya dituai setelah buah durian mencapai umur buah tertentu (100 hingga 130 hari selepas bunga kembang, bergantung kepada klon), durian Malaysia dikutip setelah buah gugur apabila mencapai kematangan penuh.

Buah-buah ini lazimnya mempunyai isi yang bertekstur lebih lembut dan mengeluarkan aroma yang lebih kuat dan rasa yang lebih enak. Buah sebegini tentunya mempunyai kandungan kimia dan nilai pemakanan yang berbeza berbanding dengan buah yang dipetik sebelum gugur. Buah-buah beginilah yang menjadi kegemaran masyarakat Malaysia.

Persoalannya, adakah buah seperti ini digemari oleh semua pengguna? Untuk pasaran luar negara, adakah tahap kematangan yang dianggap sangat serasi dengan masyarakat Malaysia ini juga sesuai dengan citarasa orang Eropah, Jepun, Cina dan Arab? Mengambil pisang sebagai contoh, kita tahu bahawa masyarakat di Eropah lebih gemar membeli dan makan pisang mempunyai tahap masak yang lebih muda. Situasi sama mungkin benar untuk durian. Persoalan ini akan terus menjadi tanda tanya kepada kita semua sehinggalah satu maklumat yang lebih konkrit diperoleh. Untuk ini, maklumat tentang gelagat pengguna yang berbilang bangsa dan latar belakang, dari dalam dan luar negara diperlukan.

Kelestarian pengeluaran dan permintaan terhadap buah durian amat penting bagi semua pihak yang terlibat di sepanjang rantaian pengeluaran dan penggunaan durian: pengeluar, pembekal input, agen pengembangan, pengedar, peruncit, pengguna dan pemproses.

Bagi menentukan kesinambungan durian yang baik dan diterima ramai, maklumat baharu yang boleh membantu situasi ini sentiasa diperlukan. Usaha ini memerlukan penglibatan semua pihak yang berkaitan dalam pelbagai disiplin dalam industri pertanian dan makanan. Manalah tahu selepas ini akan ada beberapa jenis durian yang menjadi kegilaan rakyat Malaysia dan salah satu daripadanya bergelar “Ratu Kunyit” akan berada di pasaran.

Artikel ini telah diterbitkan oleh akhbar Utusan Malaysia pada 13 September 2016

Prof. Madya Dr. Yahya Awang
Pensyarah
Fakulti Pertanian

Updated:: 02/05/2017

MEDIA SHARING

CORPORATE STRATEGY AND COMMUNICATIONS OFFICE
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 8946.6003
03 8946.8972
C1511191521