Membudayakan Kelestarian Kawasan Hijau - Prof. Datin Paduka Dr. Aini Ideris | CORPORATE STRATEGY AND COMMUNICATIONS OFFICE
» ADVOKASI PUTRA » Pertanian, Perhutanan, Alam Sekitar & Makanan » Membudayakan Kelestarian Kawasan Hijau - Prof. Datin Paduka Dr. Aini Ideris

Membudayakan Kelestarian Kawasan Hijau - Prof. Datin Paduka Dr. Aini Ideris

Hasrat kita untuk menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020 tidak seharusnya mengurangkan sikap peduli kita kepada alam sekitar. Dalam keadaan cuaca dan iklim yang tidak menentu mutakhir ini, inisiatif kelestarian hijau perlu kita giatkan agar dunia yang kita duduki ini kekal sebagai habitat yang kondusif. Antara inisiatif yang boleh kita lakukan ialah mengekal dan memperbanyak kawasan hijau serta membudayakan amalan hijau dalam kehidupan seharian.

Sebagai Naib Canselor, saya berasa bertuah kerana Universiti Putra Malaysia (UPM) mempunyai kawasan hijau yang amat luas. Berdasarkan statistik hijau UPM, sejumlah 45.8 peratus kampus UPM diliputi kawasan hutan dan tumbuhan, manakala 51.2 peratus lagi diliputi tanaman, ladang dan kawasan berumput. Kelebihan UPM yang mewah dari segi persekitaran kehijauan semula jadi ini menjadikan kampus amat dikenali sebagai “kampus hijau”. Adalah menjadi hasrat dan cita-cita UPM untuk membangunkan lagi kampus hijau ini sehingga menjadi sebuah Taman Botani atau Botanical Garden.

Usaha ke arah pembangunan Taman Botani ini sebenarnya sudah mula giat dijalankan. Sebagai contohnya, aktiviti penanaman pokok yang diusahakan UPM dengan Mitsubishi Corporation sejak 1991 telah menyaksikan lebih 500 ribu biji benih pokok daripada 130 spesis tempatan ditanam di kawasan seluas 47.5 hektar, di kampus Bintulu, Sarawak, dan sebanyak 25 ribu biji benih pokok lagi telah ditanam di kawasan seluas 27 hektar di UPM Serdang.

Taman Botani adalah taman yang berupaya memelihara tumbuh-tumbuhan asli yang dikategorikan sebagai terancam dan bernilai di Malaysia. Kita mestilah membangunkan Taman Botani ini dengan kaedah pengurusan yang terbaik, menyediakan maklumat yang informatif bagi setiap spesis pokok pada paparan dan lokasi yang sesuai, diselenggarakan dengan berkesan dan sekaligus memastikan persekitaran hijau UPM ceria dengan flora yang mewarnai lanskap kampus.

Untuk memberi impak yang lebih signifikan kepada UPM sebagai Taman Botani, universiti juga sedang membangunkan sebuah Children’s Garden and Sensory Garden yang diwujudkan dalam eksosistem hijau kampus. Children’s Garden and Sensory Garden ialah persekitaran taman yang direka bertujuan merangsang deria penglihatan, bau, sentuhan, rasa, dan bunyi melalui tumbuhan dan penggunaan tanaman yang bersesuaian.Taman jenis ini adalah penting dan memberi manfaat khususnya kepada kanak-kanak, komuniti kampus dan masyarakat, terutama mereka yang mempunyai masalah berkaitan deria, termasuk autisme dan kurang upaya.

Seiring dengan hasrat menjadikan UPM sebuah Taman Botani yang mempunyai persekitaran lanskap yang indah, termasuk kawasan pemeliharaan haiwan, aktiviti Edu Pelancongan dapat dipertingkatkan secara tidak langsung. Untuk makluman semua, Karnival Edu Park “Farming Exploration Adventure Biking @ UPM” akan dilangsungkan pada 28 Mei ini dengan pelbagai aktiviti menarik bertempat di Ladang 16 UPM. Aktiviti seumpama ini diharap boleh menarik perhatian masyarakat bukan sahaja untuk mereka mendekati kampus tetapi pendedahan terhadap amalan hijau dan mencintai alam sekitar.

Membudayakan Amalan Hijau

Sebagai Kampus Hijau, UPM menerima pengiktirafan antarabangsa apabila ditempatkan pada ranking ke-17 di dunia dan pertama di Asia pada tahun 2015, selain mengekalkan ranking teratas di Malaysia selama enam tahun berturut-turut bagi UI-GreenMetric World University Ranking.  Bagaimanapun, kedudukan ranking ini perlu diterjemahkan dengan tanggungjawab yang besar untuk memperkukuh inisiatif kelestarian hijau yang dapat diteladani oleh masyarakat luar.

Justeru, inisiatif ini perlu mengambil kira usaha yang juga penting, iaitu memastikan “amalan hijau” dibudayakan pada semua peringkat pusat tanggungjawab (PTJ) serta melibatkan keseluruhan komuniti kampus. Pelbagai inisiatif hijau secara lebih agresif perlu dilakukan seperti kempen tiada penggunaan polystyrene, aktiviti kitar semula, skim rebat basikal dan galakan berbasikal dalam kampus, parkir berpusat, aktiviti penanaman pokok, penjimatan kertas, dan seterusnya mengaplikasi pengurusan alam sekitar yang mapan dalam aktiviti pentadbiran universiti.

Selain meningkatkan kemudahan pelajar berteraskan kepada kampus hijau yang menyeluruh, projek pembinaan laluan pejalan kaki berbumbung akan diperluaskan di UPM termasuk Kampus Bintulu, Sarawak, bagi mengurangkan penggunaan kenderaan. Bagi menyokong lagi matlamat pembangunan lestari, Hospital Pengajaran UPM yang kini dalam pembinaan juga turut mengaplikasikan teknologi hijau.

Saya percaya bahawa inisiatif kelestarian hijau dan “amalan hijau” seperti yang dijayakan oleh UPM wajar menjadi prioriti semua pihak. Inisiatif seperti menyediakan taman di kawasan masing-masing yang dipenuhi dengan pokok yang ditanda nama untuk pengetahuan orang ramai akan membangkitkan kesedaran dan rasa cinta kepada alam sekitar. Selain itu, menjelang bulan Ramadan tidak lama lagi, masjid atau surau perlu dipastikan berada dalam keadaan bersih untuk kelesaan para jemaah. Penggunaan polystyrene untuk berbuka puasa atau moreh misalnya, perlu dielakkan demi keselamatan makanan dan kelestarian alam sekitar.

Akhirnya, menjadikan amalan hijau sebagai budaya hidup memerlukan pemikiran yang tepat. Kita perlu mencabar peranggu minda (mind-set) dan paradigma kita dalam merencanakan kelestarian hijau, sejajar dengan pengertian ihsan yang merujuk kepada keharmonian hubungan kita dengan alam persekitaran, dan tanggungjawab manusia untuk mentadbir alam dengan sebaik-baiknya.

Artikel ini telah diterbitkan oleh akhbar Berita Harian pada 19 Mei 2016

 

Prof. Datin Paduka Dr. Aini Ideris
Naib Canselor
Universiti Putra Malaysia

Updated:: 02/05/2017

MEDIA SHARING

CORPORATE STRATEGY AND COMMUNICATIONS OFFICE
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 8946.6003
03 8946.8972
C1511031860