Menggalakkan Prasyarat Hijau IKS - Prof. Madya Dr. Azmawani Abd Rahman | CORPORATE STRATEGY AND COMMUNICATIONS OFFICE
» ADVOKASI PUTRA » Pertanian, Perhutanan, Alam Sekitar & Makanan » Menggalakkan Prasyarat Hijau IKS - Prof. Madya Dr. Azmawani Abd Rahman

Menggalakkan Prasyarat Hijau IKS - Prof. Madya Dr. Azmawani Abd Rahman

Di Malaysia, amalan penggunaan dan konsep pengeluaran yang mampan telah digariskan di dalam rancangan Malaysia ke-11 (RMK11).  Fokus utama adalah untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau sebanyak 40 peratus menjelang 2020. Salah satu dari langkah pengurangan ini adalah menyasarkan sekurang-kurangnya 20 peratus daripada perolehan kerajaan menjelang 2020 adalah mesra alam, atau dikenali sebagai Perolehan Hijau Kerajaan (GGP). Dalam merealisasikan sasaran ini, GGP akan  secara beransur-ansur diwajibkan kepada semua kementerian dan agensi kerajaan.

Perolehan hijau adalah salah satu komponen dalam strategi pemeliharaan alam sekitar yang boleh diamalkan oleh penggiat industri. Perolehan hijau bermaksud pembelian barangan dan perkhidmatan yang mesra alam, pengurangan pembaziran bahan dalam proses pembuatan, dan penggunaan bahan kitar semula dalam proses menghasilkan produk dan perkhidmatan kepada pelanggan.

Pelaksanaan GGP ini secara tidak langsung akan meningkatkan permintaan dalam pasaran untuk produk dan perkhidmatan yang bercirikan hijau. Pertama, kerana  syarikat perniagaan yang berurusan dengan pihak kerajaan perlu membekalkan produk dan perkhidmatan yang berkonsepkan hijau selari dengan dasar hijau kerajaan. Kedua, kerana keseluruhan rantaian bekalan syarikat perniagaan tersebut perlu turut membekalkan produk dan perkhidmatan yang memenuhi standad mesra alam. Ketiga, secara tidak langsung, ini akan memberikan galakan kepada semua pesaing syarikat perniagaan tersebut untuk meningkatkan standard dan kualiti produk dan perkhidmatan untuk memenuhi pra syarat hijau.

Walaupun kesedaran terhadap kelestarian alam sekitar secara amnya semakin meningkat, kebanyakan industri kecil dan sederhana (IKS) masih tidak bersedia menjalankan perniagaan yang memenuhi pra syarat hijau. Hasil dari kajian penulis berkaitan rantaian bekalan hijau mendapati IKS sektor pengeluaran di Malaysia masih jauh ketinggalan dalam pelaksanaan amalan hijau berbanding dengan syarikat berskala besar dan antarabangsa.  Pertama, IKS terlalu memberi fokus kepada pengurangan kos pengeluaran produk. Ini adalah disebabkan oleh sumber kewangan, sumber tenaga kerja, dan ruang operasi yang terhad, maka IKS merasakan amalan mesra alam akan memerlukan kos tambahan kepada operasi pengeluaran syarikat. Kedua, keutamaan pemilihan pembekal dan kontraktor masih tertumpu kepada elemen ramai dan pelbagai, kepantasan dan ketepatan masa, dan kos yang rendah. Hijau tidak  menjadi kriteria dalam fungsian rantaian bekalan IKS.

Ketiga, terdapat juga beberapa kekeliruan mengenai isu perolehan hijau oleh pengusaha IKS apabila ramai usahawan IKS merasakan komitmen tinggi yang diberi terhadap penghasilan produk berkonsepkan hijau akan meningkatkan kos pembelian bahan mentah syarikat dan mengurangkan tahap persaingan mereka kerana kos menjadi tinggi. Ini sekali gus akan mengakibatkan kerugian berbanding syarikat lain yang tidak melaksanakan perolehan hijau. Persepsi mereka, bahan yang berkonsepkan hijau adalah lebih mahal.

Kekangan lain yang dibangkitkan oleh usahawan IKS ialah perolehan hijau akan mengakibatkan mereka kurang pilihan pembekal yang layak untuk membekalkan barangan kerana hanya yang menepati kualiti standard alam sekitar boleh diambil sebagai pembekal. Mereka juga kurang arif dan tidak jelas tentang pelbagai sijil label hijau yang ada di pasaran.

Tanggapan negatif oleh usahawan syarikat IKS, sekiranya tidak dibendung dengan dengan segera pastinya akan membantutkan pelaksanaan dasar hijau kerajaan. Untuk memastikan usahawan IKS lebih berdaya saing dan bersedia ke arah amalan perniagaan yang lebih lestari, kesedaran harus bermula daripada usahawan itu sendiri. Ini kerana kekurangan kesedaran dan sokongan daripada pihak pengurusan atasan juga faktor utama di sebalik kegagalan pelaksanaan amalan hijau di dalam organisasi. Program peningkatan kesedaran hasil kerjasama agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan, dan penyelidik universiti perlu dipergiat dan diperluaskan agar usahawan IKS menyedari kepentingan dan kelebihan amalan hijau.

Kelebihan ini termasuk manfaat jangka panjang kerana perniagaan berkonsepkan hijau akan menikmati penggunaan tenaga, air dan kos buangan yang kurang, kos operasi serta penyelenggaraan yang lebih rendah yang boleh memberikan pulangan lumayan dari segi keuntungan syarikat. Selain itu, tahap kefahaman IKS terhadap insentif pengecualian duti import dan cukai jualan yang diberikan oleh kerajaan terhadap syarikat yang melaksanakan pembelian hijau perlu diperkukuhkan.

Selain dari program peningkatan tahap kesedaran, program latihan berkaitan model perniagan berkonsepkan hijau juga perlu diperluas dan dipergiatkan. IKS masih lemah dalam pengetahuan berkaitan konsep asas pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar dan bagaimana boleh dicapai melalui amalan dalam perniagaan. Oleh yang demikian, mereka harus diberi latihan berkaitan garispanduan dan fungsian rantaian bekalan hijau yang lengkap, dimana kepakaran dari universiti tempatan boleh digembeling bagi mencapai tujuan ini. Sistem mentoring juga boleh diwujudkan bagi membimbing IKS kearah pelaksanaan amalan perniagaan yang berkonsepkan hijau.

Fokus terhadap rantaian bekalan hijau adalah langkah yang boleh diambil oleh IKS untuk meluaskan pelaksanaan dan pembangunan kelestarian. Ini kerana rantaian bekalan adalah asas kepada pengeluaran sesuatu produk yang bermula daripada bahan mentah sehinggalah produk sampai kepada pengguna. Pada masa yang akan datang, perniagaan yang berkonsep hijau akan semakin mendapat peluang untuk lebih kompetitif dan IKS di Malaysia perlu lebih bersedia. Kesimpulannya, kesemua inisiatif ini boleh diambil oleh pihak kerajaan dan IKS itu sendiri untuk membantu syarikat mencapai status hijau dan seterusnya mendapat manfaat dari  dasar perolehan hijau kerajaan.

Artikel ini telah diterbitkan oleh akhbar Utusan Malaysia pada 12 Oktober 2016

Prof. Madya Dr. Azmawani Abd Rahman
Timbalan Dekan (Penyelidikan & Jaringan Industri dan Masyarakat)
Fakulti Ekonomi dan Pengurusan

Updated:: 02/05/2017

MEDIA SHARING

CORPORATE STRATEGY AND COMMUNICATIONS OFFICE
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 8946.6003
03 8943.1296
C1505962923