Sukarnya Jinak Lidah | CORPORATE STRATEGY AND COMMUNICATIONS OFFICE
» ARTICLE » Sukarnya jinak lidah

Sukarnya jinak lidah

**This article was published in Malay Language and has no translation in English**
**This article was published in Harian Metro on 27 January 2020.**

Oleh: En. Noor Mohamad Shakil Hameed, Timbalan Pengarah Pejabat Strategi Korporat dan Komunikasi UPM

Walaupun kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan terpateri kemas dalam Perlembagaan Persekutuan namun usaha memperkasa dan memartabatkan kedudukan bahasa kebangsaan itu perlu diteruskan sepanjang masa. Oleh itu, memandangkan kedudukan bahasa kebangsaan itu dari segi praktikal, amalan serta penerimaan itu masih membimbangkan serta mengecewakan maka sudah tiba masanya kita ambil langkah agresif dan proaktif untuk mempertahan, memperkasa dan memartabatkan kedudukan bahasa kebangsaan dalam semua peringkat kehidupan dan urusan seharian kita supaya semua pihak menghargai dan tahu betapa pentingnya nilai dan kedudukan bahasa kebangsaan.

Dalam hal ini, penulis menyambut baik langkah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang mengeluarkan Pekeliling Perkhidmatan Bil. 1/2020 yang bertajuk Pemerkasaan Penggunaan Bahasa Kebangsaan Dalam Perkhidmatan Awam bertujuan memperkukuhkan penggunaan bahasa kebangsaan bagi urusan rasmi dalam perkhidmatan awam.

Pekeliling ini dilihat cukup penting dan signifikan kerana agensi kerajaan sewajarnya menjadi platform terbaik untuk dijadikan sebagai contoh atau suri teladan kepada semua anggota masyarakat terutama kepada pihak swasta atau korporat dalam memperkasa bahasa kebangsaan. Ironinya, hampir semua rakyat negara ini akan berurusan dengan pelbagai agensi kerajaan untuk pelbagai urusan rasmi. Justeru, agensi kerajaan sangat sesuai diangkat sebagai wadah yang boleh berfungsi sebagai ‘sekolah bahasa kebangsaan’ yang tidak formal kepada masyarakat bagi mendidik dan mempraktikkan penggunaan bahasa kebangsaan yang betul.

Maksudnya, setiap penjawat awam dan agensi kerajaan perlu terlebih dulu menghayati pekeliling ini dan memperkasa penggunaan bahasa kebangsaan yang betul dalam semua urusan rasmi dalam agensi terbabit dan kemudian bertindak sebagai guru bahasa dengan menggunakan bahasa yang betul serta boleh perbetulkan kesilapan orang ketika berurusan dengan pelanggan. Melalui kaedah ini kita dapat mengajar dan mendidik pelanggan menggunakan laras bahasa yang betul.

Walaupun pahit kita perlu akui bahawa proses dan inisiatif untuk memperkasa bahasa kebangsaan di agensi kerajaan sememangnya agak suam-suam kuku dan bermusim saja. Misalnya pada kebanyakan masa, kita hanya akan memberi perhatian kepada kepentingan bahasa kebangsaan jika ada sebarang kempen atau ketika sambutan bulan bahasa kebangsaan. Pada waktu lain budaya bahasa rojak terutama dalam kalangan pengurusan tertinggi akan terus mengambil tempat.

Agak menyedihkan walaupun Surat Pekeliling Am pada 2006 dan Pekeliling Perkhidmatan pada 2011 sebelum ini dengan jelas menyatakan keperluan penggunaan bahasa kebangsaan dalam urusan dan program rasmi, tetapi kepatuhan kepada arahan itu sangat lemah. Buktinya, kita masih boleh lihat hari ini baik dalam mesyuarat, taklimat, seminar atau apa jua program rasmi yang semuanya terdiri dari kalangan warga tempatan, budaya penggunaan bahasa rojak atau bahasa Inggeris sepenuhnya masih berleluasa. Malah, ia boleh dikatakan sudah menjadi amalan dan budaya sehingga dianggap sesuatu yang biasa serta lazim dan tidak pernah dilihat sebagai sesuatu yang menyalahi peraturan.

Jadi, kalau kita mahu pihak swasta dan anggota masyarakat menghormati bahasa kebangsaan, proses itu perlu bermula di agensi kerajaan. Kita tidak mahu berlaku umpama ketam mengajar anaknya berjalan lurus. Oleh itu, besarlah harapan kita kepada setiap penjawat awam dan agensi kerajaan agar benar-benar menghayati dan mempraktikkan apa yang disarankan dalam pekeliling ini. Antara yang diberi penekanan ialah memastikan penggunaan bahasa kebangsaan dilaksanakan secara menyeluruh dan digunakan dengan betul dalam semua urusan rasmi sama ada dalam bentuk tulisan mahupun lisan di mana ketua jabatan perlu memikul tanggungjawab untuk mematuhi peraturan ini. Ini antara aspek yang penting kerana kita tidak mahu pekeliling hanya tinggal pekeliling semata-mata sebaliknya perlu disertakan dengan langkah dan tindakan proaktif yang sewajarnya.

Dalam konteks ini, arahan pelantikan Munsyi Muda Bahasa serta melaksanakan aktiviti pengauditan bahasa kebangsaan secara berkala dilihat antara kaedah strategik untuk memperkasa bahasa kebangsaan. Setiap agensi awam perlu ambil peluang ini untuk melatih dan melantik individu yang difikirkan sesuai dan layak sebagai Munsyi Muda Bahasa supaya boleh menjadi perujuk untuk menyelesaikan kemusykilan tentang bahasa kebangsaan. Di samping itu aktiviti audit bahasa secara berkala pula boleh memainkan peranan semak dan imbang untuk memperbaiki segala kelemahan yang ada agar proses pemerkasaan bahasa kebangsaan akan menjadi satu amalan dan budaya yang berterusan.

Kesimpulannya, kita berharap anggota masyarakat baik secara langsung mahupun tidak langsung akan dididik dan diajar di setiap agensi kerajaan yang berfungsi sebagai ‘sekolah bahasa kebangsaan’ untuk menggunakan bahasa kebangsaan dengan betul serta memahami kepentingan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara ini. Malah, besar juga harapan kita akan pihak swasta dan korporat turut serta mengikuti langkah agensi kerajaan untuk sama-sama memperkasa bahasa kebangsaan di pejabat. Harus diingat bahasa Melayu adalah satu-satunya bahasa kebangsaan kita dan ia milik setiap rakyat negara ini dan bukannya milik orang Melayu semata-mata. Justeru, setiap warga yang bertanggungjawab dan sayangkan negara ini perlu menghargai dan berbangga dengan bahasa kebangsaan. Ayuh mari kita biasakan yang betul dan betulkan yang biasa.

Date of Input: 29/01/2020 | Updated: 29/01/2020 | hairul_nizam

MEDIA SHARING

CORPORATE STRATEGY AND COMMUNICATIONS OFFICE
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769.6003 / 6009
03.8946 8972
C1590701437