Misi, Visi & Nilai | CORPORATE STRATEGY AND COMMUNICATIONS OFFICE
» PELAN STRATEGIK UPM 2014-2020 » Misi, Visi & Nilai

Misi, Visi & Nilai

VISI

Sebagai kesinambungan daripada Pelan Strategik 2011-2013, UPM mengekalkan kenyataan visinya dalam Pelan Strategik 2014-2020 iaitu untuk ‘Menjadi Sebuah Universiti Bereputasi Antarabangsa’. Visi ini adalah relevan dan signifikan dengan perkembangan dan hala tuju UPM khususnya dalam kerangka UPM untuk meningkatkan kecemerlangan pada peringkat antarabangsa.

MISI

Komitmen UPM untuk menjadi sebuah universiti bereputasi antarabangsa akan dipacu oleh kenyataan Misi, iaitu “Memberikan sumbangan bermakna kepada pembentukan kekayaan dan pembangunan negara serta kemajuan manusia sejagat menerusi penerokaan dan penyebaran ilmu”.

 

NILAI

Kecemerlangan

Kecemerlangan merupakan nilai asas dan komitmen yang mendasari semua perkhidmatan pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan dan inovasi, perkhidmatan profesional dan perundingan, perkhidmatan komuniti dan lain-lain perkhidmatan yang membentuk fungsi UPM. Warga UPM sentiasa berusaha untuk menghayati dan membudayakan kecemerlangan, memelihara kesetiaan, membangkitkan semangat kekitaan, mengutamakan kualiti dan sentiasa membuat penambahbaikan demi kemajuan UPM, masyarakat dan negara .

Kepelbagaian

Kepelbagaian disiplin ilmu, kepelbagaian tenaga kepakaran, kepelbagaian budaya, kepelbagaian bakat dan kepelbagaian perkhidmatan yang disokong oleh persekitaran kualiti dan integrasi komuniti yang kukuh telah membina kekuatan dan keunikan UPM. UPM yakin dan percaya bahawa kepelbagaian akan meningkatkan kualiti hidup, mencambahkan penerokaan ilmu dan sekali gus dimanfaatkan untuk menjana rangkaian strategik yang menghasilkan kekayaan untuk kemakmuran masyarakat dan kemajuan negara.

Kelestarian

UPM menyedari hakikat bahawa perkhidmatan pengajian tinggi yang telah dan sedang dibangunkan perlu bersifat lestari, menjamin keharmonian persekitaran, relevan dengan keperluan masa hadapan, berupaya memajukan ilmu dan dapat membangunkan modal insan untuk kemajuan negara. Oleh itu, membangunkan urus tadbir yang baik, membudayakan kecemerlangan, memelihara dan memulihara alam sekitar, memanfaatkan kepelbagaian, melaksanakan pengurusan inovatif dan menghasilkan inisiatif perkhidmatan pendidikan tinggi yang berimpak tinggi dan lestari adalah penting supaya UPM terus berupaya menyumbang kepada pembangunan modal insan bertaraf global.

Integriti

UPM menyanjung dan komited kepada nilai integriti dalam melaksanakan semua fungsinya kerana UPM percaya bahawa pembentukan sesebuah organisasi yang cemerlang bergantung kepada penghayatan, amalan etika kerja dan nilai-nilai murni yang berterusan dalam kalangan ahli-ahli sesebuah organisasi.

Updated:: 21/04/2017

MEDIA SHARING

C1505873500