Virus Wuhan: Hargai Pengorbanan Wira Tak Didendang | CORPORATE STRATEGY AND COMMUNICATIONS OFFICE
» ARTICLE » Virus Wuhan: Hargai pengorbanan wira tak didendang

Virus Wuhan: Hargai pengorbanan wira tak didendang

**This article was published in Malay Language and has no translation in English**
**This article was published in The Malaysian Insight on 29 January 2020.**

Oleh: En. Noor Mohamad Shakil Hameed, Timbalan Pengarah Pejabat Strategi Korporat dan Komunikasi UPM

KITA sedang berhadapan dengan satu lagi krisis kemanusiaan di peringkat global. 

Ancaman dan penularan wabak koronavirus (2019-nCOV) dari Wuhan, China terus mencetuskan situasi panik di seluruh dunia. 

Negara kita juga tidak terkecuali dan sudah ada beberapa kes positif yang sedang dirawat. Pihak kerajaan juga telah menggantung sementara semua kemudahan imigresen kepada rakyat China dari bandar Wuhan dan wilayah Hubei. 

Tatkala tercetus penularan wabak penyakit dan virus seperti ini, perkara yang paling mustahak dan menarik perhatian khalayak ialah sejauh mana kita mampu mengekang dan menangani ancaman dan penularannya. 

Keberkesanan proses ini akan mengawal penularan wabak, seterusnya membantu melindungi kesihatan rakyat kita. 

Kelompok yang sering akan memainkan peranan penting ini ialah golongan pekerja di barisan hadapan dari pelbagai kategori petugas seperti petugas perubatan, petugas imigresen, polis dan agensi lain yang berkaitan. 

Kelompok petugas barisan hadapan inilah yang akan menjadi sandaran dan harapan utama kita dalam mengenal pasti, menyaring, menghalang dan mengekang penularan apa jua bentuk ancaman wabak di negara kita. 

Mereka akan berada di barisan hadapan untuk menjadi dinding dan benteng bagi melindungi negara dan juga rakyat. Tidak kira sama ada di pintu masuk negara seperti di lapangan terbang mahupun di klinik dan hospital, merekalah yang bertungkus lumus menggadaikan kesihatan dan nyawa mereka sendiri demi memastikan wabak, virus atau penyakit berbahaya menular dan menjangkiti orang lain. 

Walaupun mereka sememangnya hanya menjalankan tugas yang diamanahkan kepada mereka, namun jangan lupa bila orang berbudi kita wajar berbahasa. Kita sepatutnya menghormati dan menghargai segala jasa, peranan, sumbangan dan pengorbanan mereka. 

Penulis yakin mereka tidak mengharapkan apa-apa pujian, jauh sekali ganjaran dan anugerah kerana sekadar menjalankan amanah dengan penuh jujur, ikhlas dan dedikasi. 

Tetapi ada banyak lagi cara yang kita boleh buat sebagai membalas jasa dan menghargai sumbangan mereka. Antaranya, berilah kerjasama ketika mereka menjalankan tugas. 

Percayalah mereka tidak ada sebarang kepentingan peribadi dalam hal ini, justeru apa yang diharapkan ialah anggota masyarakat memahami tugas mereka, memberi kerjasama dan membenarkan mereka menjalankan tugas tanpa sebarang halangan, gangguan dan masalah. 

Umum mengetahui dalam situasi cemas sebegini semua orang rasa takut, bimbang dan mudah tertekan, akibatnya kita juga mudah hilang pertimbangan. 
Bayangkan kalau kita boleh hilang pertimbangan, para petugas yang lebih tertekan dengan pelbagai ancaman turut boleh hilang pertimbangan jika terus diberi tekanan yang tidak munasabah sehingga mengganggu tugas mereka. 

Jadi, masing-masing belajarlah untuk mengawal diri dan perasaan supaya pada akhirnya para petugas dapat menjalankan tugas dan membantu melindungi kita semua.

Anggota masyarakat juga perlu menghentikan tindakan mempersoal atau mempertikai cara dan kaedah para petugas bekerja dan menangani wabak ini. 

Percayalah kelompok petugas ini adalah pakar dan mahir dalam bidang mereka. Mereka cukup terlatih dan ada pengalaman dalam mengendalikan wabak seperti ini kerana jangan lupa negara kita pernah dilanda wabak lain sebelum ini seperti SARS, MERS, H1N1, JE dan yang lain, yang semuanya berjaya ditangani dengan baik. 

Janganlah kita pula umpama lebih sudu dari kuah mahu mengajar mereka apatah lagi mempertikai serta meragui profesionalisme mereka. 

Hal ini sangat penting untuk difahami oleh khalayak kerana terlalu banyak sangat pakar dan hero muncul secara tiba-tiba umpama doktor ekspres dalam media sosial dan mula mengemukakan pelbagai teori, nasihat dan pandangan sehingga mula mengelirukan anggota masyarakat. 

Malah penyebaran pelbagai berita palsu juga terus mengeruhkan keadaan. Tuntasnya, kalau betul kita mahu menghormati mereka, biarlah pakar yang menguruskan hal ini, jangan kita ganggu kerja mereka.

Kita juga memohon agar pihak kerajaan menyediakan segala kemudahan terutamanya peralatan perlindungan diri (PPE) yang sewajarnya kepada semua anggota dan barisan petugas hadapan yang terlibat dalam operasi saringan serta rawatan wabak ini. 

Ini adalah soal keselamatan dan kebajikan mereka. Jangan sesekali kita berkompromi atau berkira dalam hal ini kerana ianya akan mengancam kesihatan dan nyawa para petugas. 

Di kala waktu cemas seperti ini kekangan peruntukan kewangan serta karenah birokrasi tidak boleh menjadi penghalang  atau alasan sehingga menjejaskan operasi dan mengancam nyawa para petugas. 

Sediakan apa yang diperlukan supaya mereka dapat menjalankan tugas dengan selamat, tenang dan efisien.

Hakikatnya kelompok petugas ini adalah wira tak didendang yang perlu diberi penghargaan dan penghormatan yang sewajarnya. 

Berikan dan tunjukkanlah sokongan tidak berbelah bahagi kita sebagai penyuntik semangat dan motivasi kepada mereka yang boleh turut menjadi simbol dan tanda kita menghargai dan menghormati mereka. 

Pastinya itu akan menjadi anugerah yang sangat bernilai kepada mereka. 

Semoga para petugas dapat terus menjalankan tanggungjawab mereka dengan penuh semangat serta dedikasi, dan marilah kita sama-sama menadah tangan memohon berdoa kepada Tuhan agar rakyat dan negara ini terus dilindungi.

Date of Input: 31/01/2020 | Updated: 31/01/2020 | hairul_nizam

MEDIA SHARING

CORPORATE STRATEGY AND COMMUNICATIONS OFFICE
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769.6003 / 6009
03.8946 8972
C1582106194