Kolej Keenam Kekal Juara Olahraga SUKOL | PEJABAT STRATEGI KORPORAT DAN KOMUNIKASI
» BERITA » Kolej Keenam kekal juara olahraga SUKOL

Kolej Keenam kekal juara olahraga SUKOL

Oleh: Nurul Fatihah M. Tahir



SERDANG - Kolej Keenam (K6), Universiti Putra Malaysia (UPM) sekali lagi muncul juara keseluruhan sukan olahraga Kejohanan Sukan Kolej (SUKOL) selepas merangkul 18 daripada 32 pingat emas yang dipertandingkan.

Tempat kedua dimenangi KTDI dengan lapan emas dan ketiga Kolej Kedua dengan tiga emas. Sebanyak 17 kolej menyertai kejohanan itu.

Naib Canselor UPM, Prof. Datin Paduka Dato’ Dr. Aini Ideris turut menyaksikan acara terakhir 4x400 meter lelaki dan wanita selepas beliau merasmikan sukan itu.

SUKOL adalah sukan teras UPM yang dianjurkan setiap tahun bertujuan mencungkil bakat baharu bagi melahirkan atlet yang berpotensi dari universiti.

Pengurus pasukan K6, Nurul Fatihah Mohamad Tahir berkata walaupun atlet K6 menjalani latihan hanya dua minggu, namun berjaya muncul juara keseluruhan

“Kami berbangga dengan pencapaian ini walaupun pada mulanya berasakan ia mungkin sukar kerana kebanyakan atlet K6 tiada pengalaman,” katanya.

Atlet K6, Faris Hazim Jamaluddin, pelajar tahun satu Bacelor Komunikasi, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK) turut terpilih sebagai Atlet Lelaki Terbaik Kejohanan.

Atlet Wanita Terbaik pula menjadi milik Nur Khairunisa Alias pelajar tahun tiga Bacelor Sains Kepujian Kimia Petroleum dari Fakulti Sains dari pasukan Kolej KTDI.

Faris Hazim berkata beliau bersyukur dan berbangga dengan kemenangan kali pertama di SUKOL dan berazam untuk menyertai sukan lain bagi menyumbangkan lagi pingat kepada K6.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada ketua dan pengurus pasukan yang banyak membantu serta melayani kerenah atlet sehingga pasukan berjaya mengekalkan kedudukan sebagai juara keseluruhan kejohanan. - UPM

 

Tarikh Input: 02/01/2019 | Kemaskini: 02/01/2019 | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

PEJABAT STRATEGI KORPORAT DAN KOMUNIKASI
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769.6003 / 6009
03.8946 8972
C1568717200