PUTRA GLOBAL 200 TEMA PELAN STRATEGIK UPM 2014 | PEJABAT STRATEGI KORPORAT DAN KOMUNIKASI
» BERITA » PUTRA GLOBAL 200 TEMA PELAN STRATEGIK UPM 2014

PUTRA GLOBAL 200 TEMA PELAN STRATEGIK UPM 2014


SERDANG 3 Feb–- Prof. Dato’ Dr. Mohd Fauzi Haji Ramlan hari ini melancarkan Pelan Strategik UPM yang mempertaruhkan 5 matlamat dan 19 objektif strategik untuk memastikan UPM mempunyai daya saing yang tinggi dalam menawarkan perkhidmatan pengajian tinggi pada peringkat tempatan dan juga antarabangsa.

Melalui tema strategik iaitu Putra Global 200 yang menjadi teras Pelan Strategik 2014-2020 itu, Naib Canselor telah menetapkan matlamat untuk menghasilkan graduan yang berkualiti dan berdaya saing, membangunkan inovasi pengajaran dan pembelajaran, meluaskan pembangunan pelajar bersifat holistik, meningkatkan reputasi akademik melalui kepelbagaian kepakaran dan pembangunan program, meningkatkan aktiviti kemasyarakatan dan jaringan industri, RDCE yang berimpak tinggi, memastikan tadbir urus dan pengurusan sumber yang cekap dan berkesan.

Lima matlamat tersebut ialah:

* Mempertingkat kualiti dan daya saing graduan;
* Penjanaan nilai melalui ekosistem RDCE yang mantap dan lestari;
* Melonjakkan perkhidmatan jaringan industri dan masyarakat;
* Memperkasakan UPM sebagai Pusat Kecemerlangan Pertanian; dan
* Mempertingkat kualiti tadbir urus

Menurut Naib Canselor, sebagai salah sebuah Universiti Penyelidikan yang utama di negara ini, UPM mempunyai komitmen yang tinggi untuk merealisasikan hasrat menjadi sebuah universiti bereputasi antarabangsa khususnya dalam melonjakkan pencapaian kedudukan UPM dalam senarai 200 universiti terbaik di dunia dalam penilaian QS World University Ranking.

Saya percaya PG 200 akan memberi manfaat kepada universiti dan negara terutamanya dalam menonjolkan reputasi kesarjanaan UPM dalam penerokaan penyelidikan, penemuan dan pengembangan ilmu serta menghasilkan teknologi dan inovasi untuk kemakmuran masyarakat dan kemajuan negara, kata Dato’ Dr. Mohd Fauzi ketika berucap melancarkan Pelan Strategik itu, di Auditorium Veterinar, Fakulti Perubatan Veterinar, di sini.

Majlis pelancaran Pelan Strategik tersebut dihadiri lebih 400 jemputan termasuk pegawai kanan, pensyarah, staf, wakil alumni, persatuan kakitangan dan Majlis Perwakilan Pelajar UPM.

UPM, kata Dato’ Dr. Fauzi, berharap dengan wujudnya pelbagai inisiatif yang ditetapkan dalam pelan strategik itu, universiti berupaya melonjak kejayaan dengan lebih cemerlang dan berupaya bertindak secara berkesan dalam menyahut cabaran perubahan yang berlaku dalam landskap pengajian tinggi.

Beliau memberi keyakinan bahawa pada 2020, UPM akan mencapai kedudukan 200 universiti terbaik di dunia, di mana kejayaan akademik, penyelidikan, perkhidmatan profesional dan pengantarabangsaan bukan sahaja memberi manfaat kepada pembangunan pelajar komuniti UPM, tetapi ia juga akan memacu sumbangan bermakna kepada kekayaan dan pembangunan negara serta kemajuan manusia sejagat.

Pelan Strategik UPM 2014-2020 yang dilancarkan pagi ini mempunyai tiga fasa pengukuran pencapaian iaitu Fasa Pertama 2014-2015, Fasa Kedua 2016-2018 dan Fasa Ketiga 2019-2020.

Bagi mengekalkan legasi cemerlang UPM dalam bidang pertanian, Naib Canselor juga mengumumkan bahawa UPM akan memberi perhatian serius agenda pertanian melalui meningkatkan pembangunan modal insan bidang pertanian, menyediakan ilmu keusahawanan pertanian, meningkatkan teknologi dan inovasi pertanian serta meluaskan program pengembangan untuk teknologi pertanian.

Untuk menjamin kecemerlangan pertanian itu, katanya, UPM akan menggembleng usaha untuk menjadi Pusat Rujukan Sekuriti Makanan dan Pertanian Lestari dan Pusat Kecemerlangan Pengembangan Pertanian di rantau ini.

Pelan Strategik UPM 2014-2020 digubal selepas mendapat input daripada para pelajar, pegawai kanan, ketua jabatan, wakil persatuan, staf, alumni, wakil industri dan mereka yang mempunyai pengalaman dalam pentadbiran universiti ini.

Dokumen yang dihasilkan juga mengambil kira pencapaian Pelan Strategik UPM 2011-2013, PSPTN, kajian pasaran, kriteria QS World Ranking dan kajian kepuasan pelanggan.

 

 


Tarikh Input: | Kemaskini: | nur_fareha

PERKONGSIAN MEDIA

LIHAT JUGA
PEJABAT STRATEGI KORPORAT DAN KOMUNIKASI
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-97696003 / 6009
03-97698972
SXEQQAd~