UPM LONJAK KEDUDUKAN 270 UNIVERSITI TERBAIK DUNIA QS, KEDUA NEGARA | PEJABAT STRATEGI KORPORAT DAN KOMUNIKASI
» BERITA » UPM LONJAK KEDUDUKAN 270 UNIVERSITI TERBAIK DUNIA QS, KEDUA NEGARA

UPM LONJAK KEDUDUKAN 270 UNIVERSITI TERBAIK DUNIA QS, KEDUA NEGARA


SERDANG, 6 Sept – Universiti Putra Malaysia (UPM) membuat lonjakan tertinggi antara semua universiti penyelidikan negara (RU) sebanyak 61 anak tangga kepada kedudukan ke-270 universiti terbaik dunia berbanding ke-331 tahun lalu dalam senarai yang dikeluarkan Quacquarelli Symonds (QS) World University Rankings 2016/2017 hari ini.

Ini adalah pencapaian terbaik UPM meraih 300 universiti terbaik dunia sejak menyertai ranking tersebut selama 10 tahun selain mendapat kedudukan universiti kedua terbaik dalam Malaysia berbanding kedudukan kelima pada tahun lalu.

Naib Canselornya, Prof. Datin Paduka Dr. Aini Ideris berkata usaha UPM bagi memperkuatkan  fundamental universiti membuahkan hasil dengan pencapaian terkini dalam ranking QS.

“Indikator Academic Reputation yang menyumbang skor tertinggi dalam penarafan itu adalah antara faktor utama yang memperbaiki pencapaian UPM.

“Ini selaras dengan visi UPM iaitu untuk menjadi Universiti bereputasi antarabangsa, ranking QS secara langsung dapat membantu menilai tahap visibiliti UPM terutama dalam aspek pengajaran dan pembelajaran serta penyelidikan dan inovasi,” katanya.

Beliau berkata walaupun UPM telah melangkaui sasaran awalnya, warga universiti tidak boleh leka dan perlu mengekalkan momentum prestasi agar kecemerlangan dapat dicapai secara berterusan kerana saingan dalam QS amat sengit.

Prof. Datin Paduka Dr. Aini menyifatkan kejayaan ranking dunia itu sebagai kejayaan berganda dalam tempoh seminggu kerana pada 31 Ogos lalu, UPM tersenarai sebagai universiti inovatif terbaik negara oleh ranking Reuters Top 75: Asia’s Most Innovative Universities berdasarkan kecemerlangan UPM dalam sains, penciptaan teknologi baharu dan membantu memacu ekonomi global.

Pencapaian universiti penyelidikan lain ialah Universiti Malaya yang mendapat kedudukan 133 berbanding 146 tahun lalu (naik 13 tangga), Universiti Teknologi Malaysia (kedudukan 288, naik 15), Universiti Kebangsaan Malaysia (302, naik 10) dan Universiti Sains Malaysia (kedudukan 330 , 289 tahun lalu).

QS World University Ranking 2016 menilai lebih 4,000 universiti utama dunia berdasarkan enam indikator iaitu Academic Reputation (40%), Employer Reputation (10%), Faculty Student Ratio (20%), Citations per Faculty (20%), International Faculty (5%) dan International students (5%).

 


Tarikh Input: | Kemaskini: | amir_peli

PERKONGSIAN MEDIA

LIHAT JUGA
PEJABAT STRATEGI KORPORAT DAN KOMUNIKASI
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-97696003 / 6009
03-97698972
SXDcSAC~