UPM, Pertubuhan Projek Kasih Anjur Baju Raya Project @ Putra Bakti 2016 | PEJABAT STRATEGI KORPORAT DAN KOMUNIKASI
» BERITA » UPM, Pertubuhan Projek Kasih anjur Baju Raya Project @ Putra Bakti 2016

UPM, Pertubuhan Projek Kasih anjur Baju Raya Project @ Putra Bakti 2016


Oleh: Noor Eszereen Juferi
Foto: Marina Ismail

SERDANG, 18 Jun – Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasama Pertubuhan Projek Kasih (PPK) menganjurkan Buku Raya Project @ Putra Bakti 2016 bagi menggalakkan semangat kesukarelawan di kalangan pengguna media sosial.

Ketua projek, Musliyana Mansor berkata program itu adalah unik yang membolehkan orang ramai menderma baju raya untuk golongan ibu tunggal,warga emas, anak-anak yatim dan asnaf di seluruh Malaysia, manakala sukarelawan menyumbangkan tenaga dan masa.

Katanya, antara aktiviti yang dilaksanakan adalah pengumpulan baju raya terpakai atau baharu,  pengasingan pakaian oleh sukarelawan dan menghantar baju raya ke lokasi anak yatim, ibu tunggal,  warga emas dan asnaf yang ditetapkan.

Pengasas PPK, Aida Suraya Daud pula berkata program kebajikan yang dimulakan pada tahun 2010 itu bermula dari laman sosial Twitter di Malaysia. Lebih 600 sukarelawan hadir ke acara tersebut sepanjang enam tahun ini.

“Pada kali ini, sebanyak 5,000 pasang baju raya yang terpakai dan baharu berjaya dikumpulkan hasil daripada sumbangan orang ramai. Pihak kami memilih UPM sebagai lokasi mengadakan projek ini kerana adalah mudah untuk orang ramai menghantar baju-baju raya, dan UPM juga menyediakan fasiliti yang kondusif,” katanya.

Sukarelawan Putra Bakti UPM, Farahyusrina Shahar, 32, berkata program itu memberi inspirasi kepada beliau untuk terus menjalankan aktiviti kesukarelawanan di masa akan datang.

“Saya mengetahui mengenai projek ini melalui rakan sekerja saya dan ini merupakan pengalaman pertama mengikuti program sebegini. Sambutan daripada orang ramai adalah amat baik,” katanya.

Rakannya Naszroul Haqimee Rahmat, 31, berkata program tersebut memberi manfaat kepada beliau kerana dapat membantu secara langsung golongan yang memerlukan.

“Ini antara sumbangan yang boleh saya lakukan dengan menyusun dan mengagihkan baju raya kepada badan kebajikan yang telah ditetapkan oleh pihak penganjur,” katanya – UPM


Tarikh Input: | Kemaskini: | amir_peli

PERKONGSIAN MEDIA

LIHAT JUGA
PEJABAT STRATEGI KORPORAT DAN KOMUNIKASI
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-97696003 / 6009
03-97698972
SXDdPAk~