UPM SASAR KEDUDUKAN 200 TERBAIK DUNIA MENJELANG 2020 | CORPORATE STRATEGY AND COMMUNICATIONS OFFICE
» NEWS » UPM SASAR KEDUDUKAN 200 TERBAIK DUNIA MENJELANG 2020

UPM SASAR KEDUDUKAN 200 TERBAIK DUNIA MENJELANG 2020

SERDANG, 11 Ogos (UPM) – Universiti Putra Malaysia (UPM) meletakkan sasaran untuk berada di dalam kelompok 200 universiti terbaik dunia menjelang tahun 2020 sebagai batu asas dalam memastikan UPM kekal relevan pada peringkat antarabangsa.

Naib Canselor UPM, Prof. Dato’ Dr. Fauzi Ramlan berkata usaha itu penting bagi memastikan UPM kekal berada dalam landasan yang tepat menjadi antara pemain global utama dunia dalam aspek pengajian, pembelajaran dan penyelidikan setaraf dengan universiti terkemuka dunia yang lain.

“Kita semua berkumpul bersama-sama hari ini bagi membincangkan agenda kritikal yang akan menentukan hala tuju UPM pada masa hadapan. Ianya sejajar dengan hasrat kerajaan dan juga universiti dalam menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju menjelang tahun 2020.

“Selaras dengan hasrat kerajaan ini, maka UPM harus mengorak langkah lebih proaktif dengan mengambil inisiatif memastikan ranking kita sentiasa berada di dalam kelompok 200 terbaik dunia. Ini tidak lain dan tidak bukan merupakan langkah yang wajar bagi memastikan kita kekal relevan bukan sahaja di peringkat negara, malah dunia secara keseluruhannya.

“Saya yakin, dengan kesungguhan, usaha dan doa dari semua pihak, perkara ini akan dapat direalisasikan.” katanya semasa ucapan perasmian Bengkel Penarafan Universiti Dunia di sini.

Dato’ Fauzi turut berkata bengkel yang dijalankan itu merupakan usaha terbaik oleh pihak Jawatankuasa Putra Global dalam mendukung pelaksananan Pelan Strategik UPM 2014-2020 melalui aktiviti pengantarabangsaan UPM itu sendiri.

“Bengkel ini merupakan satu komitmen pihak pengurusan universiti dan juga lambang kesungguhan UPM dalam percaturan QS World University Ranking.

“Intipati penting bengkel diyakini akan berjaya meningkatkan kesedaran, pengetahuan dan maklumat strategi ranking untuk dimanfaatkan oleh semua pegawai utama universiti.

“Pendedahan maklumat melalui bengkel ini juga penting bagi memastikan semua pemain utama pada peringkat pengurusan dan pegawai kanan UPM memahami secara menyeluruh hala tuju dan impak ranking terhadap reputasi dan imej universiti.” katanya.

Bengkel yang diadakan pada 11 dan 12 Ogos itu dikendalikan di bawah bimbingan dan seliaan Director of Knowledge, Enterprise and Analysis University of Hong Kong, Prof. Dr. Kevin J. Downing yang juga merupakan advisor, QS University Ranking.

Turut hadir pada bengkel dua hari itu Ahli Lembaga Pengarah Universiti, Jawatankuasa Pengurusan Universiti, Pegawai Kanan Universiti, Jawatankuasa Putra Global dan Persatuan Kakitangan Universiti.


Date of Input: | Updated: | nur_fareha

MEDIA SHARING

SEE ALSO
CORPORATE STRATEGY AND COMMUNICATIONS OFFICE
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-97696003 / 6009
03-97698972
SXDdRAR~